Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Eh! Nak masuk sekolah pun kena interviu?

Jul 18, 2023 | 05:00 AM



“Apakah kekuatan dan kelemahan anda?”

“Apakah yang boleh anda sumbang jika kami memilih anda?”

Bukan, ini bukan soalan yang diajukan kepada seseorang yang sedang memohon pekerjaan.

Sebaliknya inilah antara soalan yang diajukan kepada para pelajar yang perlu melalui sesi temu ramah bagi permohonan Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA).

Skim DSA yang diperkenalkan pada 2004 oleh Kementerian Pendidikan (MOE) merupakan laluan untuk pelajar mendapat tempat dalam sekolah menengah atau maktab rendah pilihan berdasarkan bakat dan pencapaian sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan GCE peringkat ‘O’.

Secara tidak langsung, ia juga memberi peluang kepada institusi pendidikan seperti sekolah menengah dan maktab rendah fleksibiliti lebih luas untuk memilih dan mengambil pelajar berdasarkan penilaian secara holistik bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan bukan akademik serta pencapaian pelajar.

Pelajar boleh memohon untuk ke sekolah pilihan menerusi pelbagai jenis domain termasuk sukan, bidang seni, akademik seperti Matematik dan Sains serta kepimpinan.

Bagi sesetengah domain dan sekolah yang lebih popular, sesebuah sekolah itu boleh menjangkakan sehingga ratusan permohonan.

Setiap sekolah juga mempunyai caranya yang tersendiri tentang bagaimana mereka mahu memilih pelajar yang layak diterima masuk sekolah itu melalui DSA.

Daripada perbualan saya dengan beberapa ibu bapa lain yang turut menghantar anak mereka ke DSA, ada sekolah yang meskipun mengambil pelajar melalui domain sukan, mereka tetap akan menilai terlebih dahulu keputusan peperiksaan murid di Darjah 5 dan awal Darjah 6.

Sekiranya keputusan murid tidak memenuhi gred kelayakan bagi sekolah tersebut, murid itu terus tidak akan diundang untuk sesi percubaan atau trial.


Katanya, mereka tidak mahu pelajar ketinggalan dari segi pelajaran di sekolah.

Ada sekolah pula yang lebih mengutamakan domain DSA seperti mana tujuan asal skim tersebut dan akan memberi peluang yang saksama kepada semua murid yang memohon untuk menunjukkan bakat mereka dengan mengundang mereka ke sesi trial.


Ada sekolah meski seseorang murid memohon untuk sesuatu domain tetapi tidak pernah mencuba atau tiada pengalaman dalam domain tersebut, murid itu terus tidak akan dipilih. 

Bagaimanapun sebaliknya juga pernah berlaku di mana sekolah menghargai minat mendalam murid terhadap domain itu melebihi kemahiran atau pengalaman mereka dalam domain tersebut dan akan memberi mereka peluang untuk menjalani sesi trial.


Saya juga agak terperanjat dengan cara berbeza-beza yang diambil pihak sekolah dalam menjalankan skim ini dengan sebaik mungkin.

Tetapi lebih daripada sekadar melihat kebolehan, keupayaan dan kemahiran murid dalam sesuatu domain, terdapat satu lagi proses yang perlu dilalui pelajar sebelum mereka akhirnya dipilih sekolah berkenaan.

Inilah proses sesi temu ramah.

Proses temu ramah ini juga mempunyai pelbagai cara untuk dijalankan bergantung kepada setiap sekolah.

Tidak semua sekolah yang akan menjalankan sesi temu ramah secara individu, ada yang akan melakukannya secara berkumpulan.

Dan dalam temu ramah berkumpulan itu, bukan sahaja soalan yang akan diutarakan.

Adakalanya pelajar dalam kumpulan itu akan diberikan sesuatu situasi atau kegiatan untuk menilai sikap mereka dalam mengemudi aktiviti yang diberikan secara berkumpulan.

Sekolah akan melihat sama ada pelajar itu boleh bekerja secara berpasukan atau mahu mendominasi aktiviti itu sahaja dan tidak memberi peluang kepada orang lain, ataupun pelajar itu jenis yang sekadar berpeluk tubuh sahaja dan akan membiarkan teman mereka melaksanakan tugas itu tanpa memberikan idea pun.

Jika pelajar itu yang sekadar memerintah temannya yang lain sahaja, juga akan dinilai prospek keseluruhannya dalam proses DSA itu.

Wah! Bila saya dengar perkongsian seorang teman mengenai proses DSA yang dilalui anaknya, terdetik dalam hati susah juga proses ini.

Pelbagai aspek diambil kira dan bukan sahaja kemahiran pelajar dalam domain yang dipilih.

Sesi temu ramah ini juga dijalankan dengan cara yang berbeza dengan ada yang melakukannya terlebih dahulu sebelum melihat kehebatan pelajar dalam domain. Ada pula sekolah yang akan memilih antara pelajar terbaik dalam sesi trial, sebelum memanggil mereka untuk sesi temu ramah.


Apa pun, saya perlu membuat persiapan untuk anak saya sekiranya dia perlu menjalani sesi temu ramah itu.

Dah macam peperiksaan pula!

Meskipun saya tahu daripada beberapa orang teman tentang soalan-soalan kerap yang ditanyakan pihak sekolah, saya tetap mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak saya bagi sesi bengkel mempersiapkan diri untuk DSA yang dianjurkan antara pusat tuisyen terbesar di sini, Mindstretcher.

Daripada bengkel dua hari itu, pelbagai perkara yang dapat saya dan anak sulung saya pelajari terutama cara terbaik untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

Malah mereka juga mengadakan sesi temu ramah simulasi agar pelajar dapat membiasakan diri dengan format.

Dalam sesi itu, anak saya yang agak berat mulut perlu menjawab beberapa soalan dan daripada jawapannya, guru tersebut memberikan penilaian mengenai prestasi dan mutu jawapan yang diberikan anak saya.

Agak menyeluruh juga panduan yang diberikan dan ini memberi saya lebih banyak keyakinan tentang cara menjawab dengan baik semasa sesi temu ramah itu.

Misalannya apabila ditanya mengapa anak saya memilih sekolah tersebut, anak saya menjawab yang sekolah itu telah melahirkan pelajar yang holistik di mana pelajarnya dapat meraih pencapaian tinggi dalam kedua-dua bidang akademik dan bukan akademik.

Guru itu menjawab meski jawapannya boleh diterima tetapi adalah lebih baik jika anak saya membuat sedikit homework mengenai budaya dan moto sekolah itu untuk menambah kepada jawapannya selain menunjukkan kepada guru yang menemu ramah itu bahawa anak saya benar-benar tahu akan latar belakang sekolah itu dan berminat untuk memasukinya.


Meskipun telah menjalani sesi persiapan temu ramah ini, anak saya tetap gementar semasa sesi temu ramah sebenar berlaku.

Saya tidak menyalahkannya. Sedangkan orang dewasa kalau diinterviu akan gugup, apatah lagi budak 12 tahun!

Temu ramah yang pertama dijalaninya dilakukan secara berkumpulan – 12 murid dalam satu kumpulan.

Mereka perlu berkongsi dengan ringkas tentang diri mereka.

Pada mulanya anak saya menjawab yang dia seorang yang kelakar. Mata saya terbeliak apabila dia menceritakan kepada saya.

Dalam hati saya berkata, “Sejak bila budak ni kelakar?”

Tetapi kemudian dia katakan selepas beberapa murid memberikan jawapan mereka, barulah dia mengangkat tangan semula dan memberikan jawapan yang lebih baik.

Dia berkongsi yang dia sebenarnya seseorang murid yang mudah menyerap pelajaran, tidak kira akademik ataupun bukan akademik dan tidak mudah mengaku kalah meskipun berdepan dengan masalah.

Lega sikit bila dia menyatakan demikian.

Apa pun, anak saya masih ada dua lagi sesi DSA untuk dilalui.

Doakan yang terbaik untuk kami (termasuk ibunya sekali yang lebih gementar daripada si anak yang perlu melalui proses ini!).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >