Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fahami isu, jadikan dunia lebih mampan

Oct 1, 2023 | 5:30 AM
LEBIH BERKEKALAN: Kita perlu memahami isu kemampanan dan kesannya ke atas kehidupan agar kita lebih menghargai usaha yang dilakukan bagi menjadikan bumi kita lebih hijau.
LEBIH BERKEKALAN: Kita perlu memahami isu kemampanan dan kesannya ke atas kehidupan agar kita lebih menghargai usaha yang dilakukan bagi menjadikan bumi kita lebih hijau. - Foto PIXABAY

Isu kemampanan baru-baru ini mendapat perhatian saya.

Kerap saya dengar atau ternampak perkataan kemampanan, atau ‘sustainability’, di pelbagai wadah.

Ia menjadi perbendaharaan kata basahan bagi banyak pihak, dari sektor awam hingga di kalangan pihak swasta.

Banyak firma bahkan menggunakannya sebagai ‘umpan’ demi menarik perhatian pengguna atau mempromosikan sesuatu produk.

Pengguna pula lebih tertarik dengan produk yang ‘mampan’, manakala pelabur juga yakin melabur dalam syarikat yang mengamalkan dasar kemampanan.

Namun apakah sebenarnya pengertian di sebalik istilah kemampanan, atau pembangunan mampan itu? Sudahkan kita benar-benar fahami dasar kemampanan yang diamalkan banyak pihak kini?

Bagi orang biasa macam saya, ia mungkin istilah yang agak abstrak dan kompleks yang mungkin tidak mudah diserap minda.

Laman web Institut Pembangunan Mampan Antarabangsa memberikan pengertian pembangunan mampan sebagai pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejas kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.

Cakap mudahnya ialah melakukan sesuatu perkara atau kegiatan yang berguna dan bermanfaat bukan sahaja buat diri kita sendiri hari ini tetapi juga ia dapat berkekalan sehingga ke anak cucu di masa hadapan.

Namun, sebelum mengorak langkah untuk melakukan sesuatu itu, adalah baik juga jika kita mengetahui dahulu atau memahami lebih dekat apakah isu kemampanan yang perlu kita ambil peduli.

Isu kemampanan luas dan mempunyai pelbagai aspek. Secara ringkasnya ia antara lain berhubung kait dengan isu perubahan iklim.

Perubahan iklim menyebabkan bumi menjadi lebih panas dan cuaca ekstrem menjadi tidak menentu, hingga boleh menjejas ekosistem kehidupan, contohnya dari segi bekalan air, makanan dan kehidupan bandar.

Isu kemampanan juga membabitkan cara kita menggunakan tenaga, makanan dan bahan-bahan lain. Penggunaan berlebihan menyebabkan pengeluaran karbon yang tinggi serta pengeluaran sampah dan sisa yang meningkat.

Kemampanan sosial pula melibatkan keupayaan masyarakat memenuhi keperluan asas hari ini dan masa depan seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan. Keperluan yang diagihkan secara saksama boleh mengurangkan jurang antara rakyat.

Dari segi ekonomi, ia merujuk kepada amalan yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan perniagaan jangka panjang tanpa menjejas aspek sosial, persekitaran dan budaya.

Pendek kata, kemampanan melibatkan pelbagai segi. Perjalanannya berliku dan memerlukan pelan bertindak menyeluruh demi mencapai kehidupan yang lebih berkekalan.

Mujur Singapura mempunyai rancangan sedemikian menerusi Pelan Hijau Singapura 2030.

Dilancarkan pada Februari 2021, ia merupakan agenda nasional bagi pembangunan mampan negara melibatkan antara lain usaha membina kehidupan yang mampan dan masa depan lebih berdaya tahan.

Antara sasarannya termasuk menanam sejuta pokok di Singapura; mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah sebanyak 30 peratus menjelang 2030; memerlukan kereta baru menggunakan tenaga lebih bersih bermula 2030; meluaskan rangkaian laluan berbasikal sehingga sekitar 1,300 kilometer; dan menghijaukan 80 peratus bangunan di Singapura menjelang 2030.

Kita sebagai rakyat biasa boleh memainkan peranan dalam memajukan agenda ini. Contohnya, mengamalkan kegiatan mengitar dan mengguna semula; menyokong pengeluaran produk setempat; menggunakan pengangkutan awam atau berbasikal; dan menggunakan peralatan jimat tenaga.

Namun, lebih penting ialah pendidikan. Menerusi pendidikan ia dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu kemampanan.

Dengan pendidikan kita dapat lebih menghargai usaha yang dilakukan negara dan pelbagai pihak untuk menangani cabaran perubahan iklim atau cabaran lain yang dihadapi demi mencapai kehidupan yang lebih mampan.

Dalam hal ini, pihak sekolah telah pun memainkan peranannya. Anak-anak kita di sekolah telah diajar tentang cabaran perubahan iklim, sama ada di bilik darjah mahupun di luar darjah, misalnya mengadakan lawatan lapangan bagi meningkatkan pemahaman mereka dalam isu-isu tersebut.

Di peringkat lebih tinggi pula, usaha sedang dijalankan untuk membangunkan sekumpulan pemimpin dan pemikir yang dapat menjadi pemangkin usaha mencapai kemampanan.

Misalnya di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), mereka mempunyai rangka kerja pendidikan kemampanan yang bertujuan untuk membangunkan pemimpin dan agen perubahan kemampanan generasi seterusnya.

Bahkan, bermula 2024, kohort mahasiswa baru SMU perlu mengikuti dan menyelesaikan kursus kemampanan, sedang pihak universiti itu menawarkan kursus baru Sarjana Kemampanan bermula Ogos 2024.

Bagi golongan dewasa atau yang lebih tua seperti saya, pemahaman kita terhadap kemampanan boleh dipertingkatkan menerusi penyertaan dalam kegiatan atau acara kemampanan.

Diharap ini dapat meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya isu kemampanan dan betapa mendesaknya cabaran kemampanan yang kita hadapi.

Kesimpulannya, isu kemampanan bukan sahaja memerlukan perhatian pemimpin dunia atau perniagaan sahaja tetapi perhatian setiap seorang daripada kita.

Usaha membangunkan masa depan yang lebih mampan dan berkekalan adalah tanggungjawab kita bersama.

Kita perlu memikirkan bukan sahaja kebaikan buat diri kita hari ini, tetapi juga kebaikan yang berkekalan demi anak-anak kita di masa depan.

“...Isu kemampanan bukan sahaja memerlukan perhatian pemimpin dunia atau perniagaan sahaja tetapi perhatian setiap seorang daripada kita. Usaha membangunkan masa depan yang lebih mampan dan berkekalan adalah tanggungjawab kita bersama. Kita perlu memikirkan bukan sahaja kebaikan buat diri kita hari ini, tetapi juga kebaikan yang berkekalan demi anak-anak kita di masa depan.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg