HIDUP INKLUSIF DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Fahami pengertian, manfaat sekularisme

Siri rencana Program Pengajian Hubungan Silang Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP) dengan kerjasama Berita Harian (BH)

FAHAMAN sekularisme merupakan salah satu fahaman yang banyak disalahfaham pengertiannya hari ini.

Sekiranya kita mengkaji fahaman ini dengan mendalam serta menghayati sejarahnya, kita akan dapati bahawa fahaman sekularisme ini telah banyak membawa kebaikan kepada insan sejagat termasuk umat Islam.

Sejak dahulu lagi, umat Islam telah memanfaatkan ilmu-ilmu sekular untuk membangun negara dan masyarakat.

Etika yang diilhamkan oleh fahaman sekularisme juga telah digunapakai untuk membentuk sistem perundangan, terutama sekali perundangan antarabangsa.

Perundangan ini telah membawa kepada kerukunan kehidupan duniawi.

Sumbangan sekularisme yang paling besar ialah manfaatnya pada dasar sistem politik dan kenegaraan.

Ini telah menyumbang kepada keharmonian sosial yang dinikmati oleh umat Islam khususnya yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Negara sekular juga telah menjamin bahawa kehidupan keIslaman dapat dilestarikan.

Pendek kata fahaman sekularisme telah banyak menyumbang kepada kemaslahatan umat Islam.

Tidak dinafikan bahawa fahaman awal sekularisme telah menjalani proses evolusi sehingga lahirnya satu aliran ekstrem yang keras menentang agama dan konsep keTuhanan.

Aliran ini tidak boleh diterima dan telah ditolak sepenuhnya oleh sarjana-sarjana agama.

Walaupun umat Islam sejagat telah hidup dengan fahaman sekularisme sejak awal abad kedua puluh dan telah meraih banyak kebaikan, namun salah tanggapan terhadapnya masih wujud lagi.

BUKAN KONSPIRASI BARAT

Satu salah tanggapan adalah fahaman sekularisme ini merupakan rekaan Barat untuk meracuni fikiran umat Islam serta menghancurkan agama Islam. Ini jelas tidak benar.

Fahaman sekularisme telah diperkenalkan di Eropah semata-mata untuk menyelamatkan benua itu dari kehancuran akibat konflik agama yang sengit dan pertumpahan darah antara kelompok beragama. Ia tiada kaitan dengan agama Islam mahupun penganutnya.

Fakta sejarah menunjukkan bahawa Eropah telah ditakluk oleh Gereja menerusi empayar Roma yang berlandaskan agama Kristian.

Gereja memerintah sebahagian besar Eropah dengan pemerintahan kuku besi.

Gabungan kuasa politik dan kuasa keagamaan telah memberi pemimpin agama kekuatan luar biasa untuk menindas rakyat, merampas harta benda mereka dan mengawal kehidupan beragama dengan menggunakan paksaan.

Kekejaman pihak Gereja telah melahirkan satu gerakan tindak balas yang bermula pada tahun 1517 Masihi.

Dikenali sebagai gerakan Reformasi, ia telah berjaya membebaskan umat Kristian daripada genggaman kekuasaan Gereja.

Dunia Kristian berpecah dengan lahirnya kelompok Protestan. Walaupun begitu, persengkataan agama tidak berakhir di situ.

Kelompok Protestan pula berpecah belah menjadi pelbagai denominasi, seperti Lutheran, Metodis, Anglikan dan Calvinism yang sentiasa bercanggah sesama sendiri.

Ini diburukkan lagi dengan terbentuknya negara-negara berdaulat yang berlandaskan sesuatu denominasi agama Kristian yang kemudiannya dijadikan agama rasmi negara.

Setiap rakyat dipaksa untuk memeluk agama rasmi negara walaupun mereka tidak bersetuju. Mereka hilang kebebasan dan penindasan besar-besaran berlaku.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya peperangan agama yang dahsyat di Eropah selama 150 tahun dari awal abad ke 16 hingga pertengahan abad ke 17.

Sejarah hitam yang dilalui Eropah sekian lama telah menyebabkan para cendikiawan untuk mengasingkan agama daripada sistem politik.

Maka lahirlah fahaman sekularisme bagi Eropah untuk menyelamatkan benua itu dari api kebinasaan agama yang dinyalakan oleh pelbagai golongan agama sendiri.

Penjelasan sejarah di atas menunjukkan bahawa fahaman sekularisme lahir bukan untuk menguburkan agama Islam atau untuk menewaskan umat Islam. Namun ia dibentuk sebagai satu reaksi dan kepentingan yang dirasakan perlu demi kebaikan agama dan negara.

BUKAN ANTI-TUHAN

Fahaman sekularisme diperkenalkan demi desakan keperluan sejarah dan bukan untuk melenyapkan agama. Ia mula wujud bukan dengan niat untuk menentang kewujudan Tuhan.

Oleh kerana itu, agama (iaitu agama Kristian) masih kekal dan kepercayaan kepada Tuhan masih bertahan.

Apa yang berlaku adalah pengasingan fungsi-fungsi masyarakat kepada bidang-bidang khusus.

Misalnya, pada masa lampau, Gereja memainkan peranan sebagai pusat pendidikan dan pusat perubatan selain dari fungsi utamanya sebagai tempat beribadah.

Selepas wujudnya fahaman sekularisme, Gereja masih tetap memainkan peranan sebagai tempat beribadah manakala fungsi-fungsi duniawi yang lain diambil alih oleh institusi-institusi bersifat sekular seperti universiti dan rumah sakit.

Ini jelas menunjukkan bahawa fahaman sekularisme ini tidak disasarkan untuk memerangi agama. Namun, ia bertujuan untuk mengatur satu cara hidup yang lebih tertib dan mengelakkan konflik agama dari berlaku.

Sebagai contoh, Amerika Syarikat diasaskan oleh pendatang dari Eropah pada awal abad ketujuh belas yang melarikan diri dari perang agama yang sedang membara di sana.

Mereka mempunyai kehidupan beragama yang kuat. Walaupun arus sekularisme datang ke Amerika dari Eropah, penduduk awal Amerika tetap mempertahankan kepercayaan agama mereka.

Walaupun begitu, mereka masih menerima fahaman sekularisme untuk mengelakkan perpecahan masyarakat Kristian yang mempunyai pelbagai kelompok denominasi.

Oleh kerana itu, fahaman sekularisme diterapkan dalam Perlembagaan Amerika sebagai alat untuk menyepadukan mereka.

Namun begitu, agama tetap berpengaruh dalam kehidupan masyarakat. Kadar penduduk Amerika yang beragama (iaitu 90 peratus) merupakan salah satu yang tertinggi di dunia.

BUKAN TIDAK BERMORAL

Satu lagi salah tanggapan mengenai sekularisme adalah ia menggalakkan cara hidup tidak bermoral dan kehidupan yang dipenuhi dengan maksiat.

Ini adalah tanggapan yang salah. Walaupun sekularisme tidak berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan, sejarah telah membuktikan bahawa ia telah mampu untuk mengembalikan kehidupan bermoral di benua Eropah yang sebelum itu telah dihakis oleh golongan pemerintahan agama.

Ini menunjukkan bahawa sekularisme bukanlah satu fahaman yang menggalakkan kemaksiatan atau gejala-gejala yang tidak sihat berleluasa dari segi moraliti.

Malah, salah satu pegangan utama yang menjadi landasan sekularisme adalah dimensi moraliti.

Perbezaannya adalah nilai-nilai moral yang termaktub dalam fahaman sekularisme berdasarkan kepada hukum-hukum alamiyah.

Ini adalah aspek moraliti yang terbit mengikut naluri manusia yang inginkan kebaikan tetapi dihasilkan dengan penggunaan akal.

Sarjana agama saperti Thomas Aquinas percaya bahawa hukum alamiyah juga dipengaruhi oleh wahyu dan hukum-hukum Tuhan.

Fahaman sekularisme menekankan prinsip-prinsip seperti hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap setiap agama atau kepercayaan dan keterbukaan dalam menghadapi kepelbagaian.

Ia sangat menginginkan kebaikan untuk masyarakat dan kemaslahatan umum. Prinsip-prinsip ini menjadi landasan kepada perundangan yang menyumbang kepada kehidupan bermoral.

Misalnya, dengan ilham etika dari sekularisme sarjana Belanda, Grotius, telah merintis jalan untuk melahirkan sistem perundangan antarabangsa pada abad ketujuh belas.

Pendekatan yang diambil Grotius, walaupun tidak akur kewujudan Tuhan, tidak bermakna agama itu ditolak.

Grotius menunjukkan bahawa pendekatan mengikut aliran sekularisme dapat wujud dengan harmoni bersama dengan aliran keagamaan tanpa perlu untuk mewujudkan permusuhan di antara keduanya.

Kesimpulannya, fahaman sekularisme ini telah membawa banyak manfaat dan kebaikan kepada insan sejagat.

Namun demikian, aliran sekularisme ekstrem yang memusuhi Tuhan dan mengambil sikap anti-agama semakin dominan pada hari ini.

Aliran ini sama sekali tidak dapat diterima. Para sarjana hari ini telah menyusulkan supaya agama dikembalikan untuk mengimbangi fahaman sekularisme ekstrem ini.

  • Nota: Penulis adalah Ketua bagi Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura.

"Satu salah tanggapan adalah fahaman sekularisme ini merupakan rekaan Barat untuk meracuni fikiran umat Islam serta menghancurkan agama Islam. Ini jelas tidak benar. Fahaman sekularisme telah diperkenalkan di Eropah semata-mata untuk menyelamatkan benua itu dari kehancuran akibat konflik agama yang sengit dan pertumpahan darah antara kelompok beragama. Ia tiada kaitan dengan agama Islam mahupun penganutnya....Fahaman sekularisme diperkenalkan demi desakan keperluan sejarah dan bukan untuk melenyapkan agama. Ia mula wujud bukan dengan niat untuk menentang kewujudan Tuhan."
- Ketua bagi Program Pengajian Hubungan Silang Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura, Haji Mohammad Alami Musa