Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:32
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Fatwa kontemporari harus sejajar konteks dan keperluan masa kini

Feb 10, 2024 | 05:30 AM



‘Keyakinan, Daya Tahan dan Memperkasa – Memperkasakan Masyarakat Islam Masa Hadapan Melalui Fatwa’.

Itulah tema persidangan dua hari pada 2 dan 3 Februari. Persidangan Fatwa Dalam Masyarakat Kontemporari yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan dijalankan oleh Pejabat Mufti itu telah dihadiri oleh para ulama undangan dari luar negara, asatizah dan juga pemimpin masyarakat tempat.


Antara ulama ulung yang hadir pada persidangan tersebut ialah Mufti Besar Mesir, Shaikh Dr Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam, yang telah menyampaikan ceramah di hari kedua persidangan.

Kepentingan Konteks Dalam Fatwa

Islam secara dasarnya adalah sebuah dialog yang berterusan di antara nas-nas agama yang bersifat tetap dan realiti kehidupan yang sentiasa berkembang dan berubah-ubah. Perubahan zaman dengan kecanggihan teknologi serta konteks kehidupan yang berubah dan semakin mencabar hari ini telah menuntut para ulama dan asatizah untuk merubah pendekatan dakwah dan pemikiran fatwa.

Dalam pemikiran dan proses pengeluaran fatwa, konteks menjadi pertimbangan utama. Konteks yang dimaksudkan di sini ialah keadaan sesuatu masyarakat, era dan juga keperluan setiap masyarakat dan keadaan yang berbeza.

Sebagai contoh, sebagai sebuah masyarakat minoriti, Muslim Singapura mengamalkan Islam dengan konteks dan disiplin hukum yang khusus, berbeza dengan Muslim yang hidup sebagai masyarakat majoriti.

Para ulama kontemporari juga telah memberi panduan bagi Muslim yang hidup sebagai masyarakat minoriti, dengan mengambil kira aspek budaya, nilai dan konteks kehidupan sesuatu tempat dan juga keadaan.

Keadaan zaman telah menuntut institusi fatwa di negara ini untuk bergerak dengan lebih progresif dan mengikut konteks. Cabaran sosio agama hari ini memerlukan para asatizah kita untuk mencari huraian permasalahan masa kini yang tidak wujud hukumnya dalam teks-teks agama. Maka dari itu, pentingnya Jawatankuasa Fatwa meneroka jalan baru dan inisiatif demi maslahat masyarakat hari ini.

Makmal Fatwa

Antara inisiatif Pejabat Mufti dalam memperkasa kajian fatwa hari ini ialah penubuhan Makmal Fatwa.

Makmal Fatwa ini memberi peluang kepada asatizah muda untuk terlibat awal dalam kerja berkaitan fatwa dan memperoleh pengalaman praktikal dalam menerapkan perundangan Islam kepada isu-isu dunia sebenar.

Pada waktu yang sama, kajian yang dilakukan astizah muda ini akan membawa manfaat yang besar kepada Jawatankuasa Fatwa melalui hasil kajian yang mendalam. Kajian Makmal Fatwa ini akan memperkayakan perbincangan ilmiah dalam bidang perundangan Islam dan juga isu-isu kontemporari.

Buat masa ini, Pejabat Mufti telah mengenal pasti empat tema yang telah menjadi topik kajian sekumpulan asatizah muda seramai 17 orang. Mereka telah memulakan kajian sejak September yang lalu. Empat tema tersebut ialah Teknologi Makanan, Kewangan, Kecerdasan Buatan dan Teknologi Perubatan.

Secara tidak langsung, inisiatif ini juga membantu mempersiap barisan kepimpinan keagamaan masa hadapan. Asatizah masa hadapan akan mengharungi banyak cabaran dek perubahan zaman dan konteks yang kian berubah.

Antara kajian yang dilakukan dalam Makmal Fatwa ini yang telah membantu dalam menghasilkan fatwa di sini ialah kajian teknologi makanan yang meneliti isu daging kultur.

Fatwa Daging Kultur

Dalam ucaptamanya, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir mengumumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa daging kultur secara amnya halal dimakan oleh orang Islam sekiranya ia memenuhi syarat-syarat tertentu.

Antara syarat utama yang diletakkan Jawatankuasa Fatwa dalam menghalalkan daging kultur ini ialah ia harus dihasilkan menggunakan sel yang diambil daripada haiwan yang halal atau dibenarkan dalam Islam.

Fatwa terkini ini menunjukkan bahawa adalah penting untuk mempunyai kedudukan agama yang jelas mengenai sesuatu perkara lebih-lebih lagi dengan huraian makanan yang mampan kian mendapat perhatian sejagat.

Keputusan yang diambil Jawatankuasa Fatwa ini sejajar dengan peningkatan kesedaran sejagat terhadap pengeluaran makanan mampan dan menangani kebimbangan masyarakat Islam mengenai pemakanan produk makanan baru seperti daging kultur.

Mengukuh Hubungan

Antara hasil ketara dari persidangan fatwa ini ialah pengukuhan hubungan di antara Pejabat Mufti dan badan fatwa luar negara. Sehari sebelum persidangan ini bermula, dua Memorandum Persefahaman (MOU) telah dimeterai di sini dalam rangka mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara Muis dan badan fatwa luar negara.

MOU pertama yang dimeterai ialah antara Muis dengan Dar al-Ifta’ Al-Masriyyah di Mesir. Dar al-Ifta’ Al-Masriyyah ialah sebuah badan penasihat, kehakiman Islam yang ditubuhkan sebagai pusat penyelidikan Islam dan perundangan Islam di Mesir. Ia menawarkan bimbingan dan nasihat agama umat Islam melalui pengeluaran fatwa mengenai isu-isu harian dan kontemporari.

MOU kedua pula dimeterai antara Muis dengan Akademi Fiqh Antarabangsa-IIFA (Majma’ Al-Fiqh) yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi. Menurut Dr Nazirudin, proses fatwa perlu melibatkan ramai anggota masyarakat dan juga pakar pelbagai industri bagi mewujudkan perkongsian bersama.

Tambah beliau lagi, perkongsian ini akan membolehkan pertukaran pandangan dan kepakaran antara negara, termasuk penyelidikan yang dilakukan di institusi fatwa masing-masing. Ia tidak bermakna kita menyatukan semua fatwa kerana perlu ada perubahan dari segi konteks.

Pindaan AMLA

Sementara itu, antara perkembangan terkini yang melibatkan institusi fatwa Singapura ialah pindaan Rang Undang-Undang Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) yang telah dibahaskan di Parlimen dan telah diluluskan dewan yang bersidang baru-baru ini. Pindaan pada Amla ini telah melibatkan dua perkara.

Pertama, Muis kini akan diperkasa untuk menubuh wakafnya sendiri melalui pertubuhan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS). WMS akan membolehkan lebih ramai individu mewakafkan aset mereka bagi generasi akan datang dan bagi masyarakat Islam Singapura kekal berdikari dari segi kewangan dan mampu menangani keperluan dan cabaran masa depan.

Kedua, Jawatankuasa Fatwa Muis akan diperluas daripada empat kepada lapan anggota. Peningkatan ini akan membolehkan Jawatankuasa Fatwa memanfaatkan kepakaran yang lebih luas termasuk dalam kalangan asatizah.

Kesimpulan

Masyarakat Islam di seluruh dunia menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks dan pelbagai.

Asatizah perlu menilai dan menyesuaikan pendekatan mereka secara berterusan menangani isu-isu yang mendesak ini dengan berkesan, dan membimbing masyarakat Islam agar mereka dapat menyesuaikan pemahaman dan pengamalan agama pada konteks masa kini.

Dengan berbuat demikian, mereka terus kekal berpegang teguh pada prinsip tradisi dan warisan Islam serta progresif dalam mencari huraian bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

Di Singapura, institusi fatwa memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan sosio-agama masyarakat Islam dengan menawarkan penyelesaian melalui bimbingan agama dan fatwa.

Oleh kerana keadaan dan konteks masa kini yang semakin rumit, kepimpinan agama di sini perlu terus melibatkan diri dalam perbincangan yang komprehensif untuk mencari penyelesaian yang berkesan kepada isu dan cabaran dunia.

Nota: Ustaz Dr Mohamed Ali ialah Anggota Bersekutu Kanan Jawatankuasa Fatwa Muis dan anggota Lembaga Rayuan Muis. Beliau juga adalah Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Khadijah dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >