Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Wacana

Meniup nafas baru kepimpinan, relawan masjid

Hampir 1 dari 3 dilantik adalah anggota lembaga masjid baru

Apr 19, 2019 | 05:30 AM

HAMPIR satu daripada tiga sukarelawan yang dilantik atau dilantik semula merupakan anggota lembaga pengurusan masjid (MMB) yang baru, satu perangkaan kukuh dalam pembaharuan kepimpinan masjid setempat selain semangat kesukarelawan bernafas baru dalam kalangan masyarakat Islam di sini, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood.

Sejumlah 224 anggota sukarelawan daripada 18 masjid bagi kelompok masjid bahagian timur telah dilantik secara rasmi sebagai anggota MMB dalam satu majilis pelantikan pemimpin masjid di auditorium Hab Islam Muis baru- baru ini.

Daripada jumlah tersebut, 183 atau 82 peratus adalah lelaki dengan bakinya merupakan pemimpin wanita.

Pelantikan anggota MMB kelompok timur itu adalah tambahan kepada sekitar 600 anggota MMB lain daripada 52 masjid yang ada di serata Singapura.

Menghargai komitmen dan sumbangan tenaga sukarelawan berkhidmat kepada masyarakat, Encik Esa dalam ucapannya berkata masjid terus memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan sosial selain memberi sokongan kepada golongan kurang berkemampuan serta mereka yang keperluan mereka jarang dipenuhi dalam masyarakat.

Menurutnya, ini dapat dilakukan dengan memanfaatkan kolaborasi antara tiga agensi - Muis, Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M3).

Pemimpin, kakitangan dan sukarelawan masjid, tambah Encik Esa, merupakan aset penting dalam usaha mendekati keluarga kurang berkemampuan ini selain menggalak penglibatan lebih ramai sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Memberikan contoh beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan pihak masjid, Encik Esa menarik perhatian terhadap usaha Muis bekerja rapat dengan rakan kongsi M3 dalam menyokong golongan banduan dan keluarga mereka.

Tambahnya, ada juga masjid yang telah pun mula mengambil bahagian dalam usaha KelasMatematika@CC dan inisiatif Marital First Responder.

"Kami berharap untuk mendapatkan penglibatan lebih banyak masjid dalam inisiatif-inisiatif ini di masa hadapan dan berharap anda akan dapat memberikan sokongan," ujarnya.

Di samping itu, Encik Esa turut berharap masjid setempat akan dapat memperkenal inisiatif dari bawah ke atas atau 'ground-up' untuk memenuhi keperluan mereka yang keperluan mereka jarang dipenuhi termasuk mereka yang berkeperluan khas.

Sehubungan ini, Encik Esa memuji usaha yang telah dijalankan beberapa masjid dalam memenuhi keperluan golongan ini.

Misalnya Masjid Al-Islah, katanya, telah menganjurkan program untuk kanak-kanak yang mempunyai gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) manakala Masjid Al-Istighfar pula telah menawarkan pengajian Islam bagi belia yang mempunyai keupayaan intelek rendah.

Meskipun akur dengan usaha pemimpin masjid melakarkan pelbagai strategi serta program yang sesuai untuk masyarakat, Encik Esa memberi penekanan terhadap peranan utama pemimpin masjid iaitu sebagai pengamanah masjid.

Beliau menggesa agar para pemimpin masjid memastikan urus tadbir masjid yang kukuh terutama dalam hal kewangan agar dapat terus mengekalkan kepercayaan masyarakat.

"Saya bermohon kepada semua agar kewangan masjid diurus secara betul dan audit tahunan dijalankan dalam jangka masa yang ditetapkan," katanya.

Tempoh pelantikan anggota MMB selama tiga tahun itu telah bermula sejak 1 April lalu dan akan berkuatkuasa sehingga 31 Mac 2022.


" Kami berharap untuk mendapatkan penglibatan lebih banyak masjid dalam inisiatif-inisiatif ini di masa hadapan dan berharap anda akan dapat memberikan sokongan."
- Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood, yang menarik perhatian pada maanfaat yang boleh diraih melalui kolaborasi antara tiga agensi - Muis, Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M3).

Artikel Terkini