Pada 2025, suami saya meninggalkan tanah airnya, Ghana, untuk memulakan hidup baru bersama saya di Singapura.

Ia satu keputusan yang diambil selepas pelbagai pertimbangan faktor, dan ini ditentukan sebagai keputusan yang terbaik buat kami berdua.

Secara zahirnya, ia mungkin kelihatan seperti keputusan biasa – seorang suami yang berpindah untuk mengikuti isterinya.

Namun, di sebalik tiket penerbangan sehala, proses berpindah dan dokumen imigresen, banyak pengorbanan besar yang perlu sang suami lakukan.

Beliau meninggalkan kerjaya yang telah dibinanya selama bertahun-tahun selain keluarga, sahabat, rutin terbiasa, makanan kegemaran yang mudah didapati, bahkan, sebuah kehidupan yang memberinya rasa kepunyaan.

Suami saya berpindah ke sini tanpa jaminan tentang apa dinantinya.

Saya melihatnya menyesuaikan diri, menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk memulakan lembaran baru dalam hidupnya di sini.

Semakin saya menyaksikan beliau menyesuaikan diri di sini, semakin saya memahami bahawa pengorbanan jarang datang dengan ‘bunyi kuat’.

Ia hadir dalam bentuk yang sunyi, bahkan kadangkala tidak disedari pun.

Pengorbanan sering dikaitkan dengan sesuatu yang besar – menggadaikan masa, wang atau tenaga demi orang lain.

Tetapi, tanpa kita sedari, pengorbanan sebenarnya sering berlaku dalam perkara kecil yang kita pilih setiap hari.

Ini mungkin ibu bapa yang mengetepikan keinginan masing-masing demi memastikan kehendak anak dapat dituruti.

Apabila kita memilih bekerja lebih masa demi membawa pulang lebih banyak wang di hujung bulan walaupun jika tubuh terasa letih dan sakit, ini juga satu bentuk pengorbanan ‘senyap’ yang ditempuhi.

Ia juga hadir apabila kita memilih memaafkan seseorang sedangkan hati kita masih lagi terluka, demi menjaga dan memelihara hubungan.

Pengorbanan tidak bererti kita semestinya kehilangan sesuatu.

Apabila direnungkan, pada saya, pengorbanan kadangkala bererti pertukaran – kita melepaskan sesuatu yang bermakna untuk mendapatkan sesuatu yang kita percaya adalah lebih baik atau bermakna dalam kehidupan.

Contohnya, menghentikan pemakanan yang lemak dan bergoreng (walaupun ia makanan kegemaran) dan meningkatkan tahap senaman supaya kesihatan tubuh dan kesejahteraan mental lebih baik bagi jangka panjang.

Dalam hubungan pula, perbuatan mengurangkan kegiatan kurang berfaedah – seperti menatap skrin telefon bimbit secara berlebihan – dan memberikan lebih perhatian kepada pasangan boleh mewujudkan kepercayaan dan kasih sayang yang lebih mendalam antara satu sama lain.

Bagaimanapun, itulah yang menjadikan pengorbanan mencabar kerana kita perlu melepaskan sebahagian daripada diri kita – masa, keselesaan, ego, impian, atau rasa pasti.

Namun, mungkin di situlah letaknya nilai sebenar pengorbanan.

Ia mengajar kita makna sebenar tentang cinta umpamanya, bahawa cinta bukan diucapkan dengan kata-kata indah tetapi melalui pilihan yang dibuat – sama ada seorang ayah yang membanting tulang demi memastikan keperluan isteri dan anak mencukupi setiap hari, atau seorang ibu yang sanggup melepaskan peluang naik pangkat kerana ingin utamakan membesarkan anak.

Ia juga mengajar kita tentang diri kita sendiri – keutamaan sebenar dalam kehidupan, tahap daya tahan kita dalam menghadapi cabaran, keikhlasan hati kita dalam melakukan sesuatu, dan keberanian kita dalam melepaskan sesuatu yang digenggam.

Memahami perkara ini membuat saya lebih menghargai pilihan kecil yang kita buat setiap hari – sama ada untuk keluarga, pasangan, mahupun masa depan sendiri.

Jika kita dapat memahami sebab dan tujuan sebenar dalam melepaskan sesuatu, pengorbanan tidak lagi akan dilihat sebagai satu beban tetapi sebagai satu langkah matang untuk mencapai apa yang lebih penting dalam hidup.

“Pengorbanan sering dikaitkan dengan sesuatu yang besar – menggadaikan masa, wang atau tenaga demi orang lain. Tetapi, tanpa kita sedari, pengorbanan sebenarnya sering berlaku dalam perkara kecil yang kita pilih setiap hari.”
Penulis.