‘Keseronokan’ bahang pilihan raya telah lama berlalu, dan barisan Kabinet serta penjawat politik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah pun diumumkan.
Tumpuan daripada retorik politik dan berkempen kini beralih kepada urusan pentadbiran serta pelan jangka pendek dan panjang, bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi negara dalam dunia yang kian tidak menentu.
Selain pengumuman menteri dan penjawat awam yang bakal memimpin kementerian masing-masing, bagi masyarakat Melayu/Islam, barisan pemimpin politik Melayu juga mendapat tumpuan.
Jelas, seperti yang diutarakan oleh dua pengamat dalam podcast terbitan akhbar ini NoTapis BHerbual – tokoh akademik, Profesor Madya Walid Jumblatt Abdullah; dan peguam, Encik Ahmad Nizam Abbas – meskipun dengan persaraan Dr Mohd Maliki Osman, kepimpinan politik Melayu/Islam kekal utuh, malah kepimpinan pelapis kini diperteguh.
Dr Mohd Maliki sebelum ini memegang jawatan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).
Penjawat politik Melayu/Islam dalam pemerintah kini adalah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga memegang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kementerian Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, serta Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Melengkapi barisan pemimpin politik Melayu/Islam pemerintah ialah Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026 dan Dr Syed Harun Alhabsyi, yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025.
Dengan kehadiran Encik Zaqy, 50 tahun; Cik Rahayu, 45 tahun; Encik Zhulkarnain, 44 tahun dan Dr Syed Harun, 40 tahun, kedudukan pemimpin pelapis Melayu/Islam tampak kukuh.
Encik Masagos pada usia 62 tahun dan Dr Faishal, 56 tahun, merupakan pemimpin lebih mapan.
Meskipun tumpuan harus beralih daripada pilihan raya, namun yang pasti terdapat beberapa iktibar yang boleh diambil semua tokoh politik, termasuk pemimpin politik Melayu/Islam.
Pilihan Raya Umum 2025 telah menggariskan kepentingan sifat empati dan mendengar secara aktif dalam kepimpinan politik.
Bagi kepimpinan politik Melayu/Islam, kepentingan itu juga adalah satu keperluan yang agak mendesak.
Dalam pilihan raya lalu, terdapat semacam gelombang yang menggambarkan rasa tidak puas hati sebahagian masyarakat, yang merasakan luahan hati mereka tidak didengar.
Ini menurut beberapa pemerhati dicerminkan menerusi kemenangan tipis pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines yang dipimpin Encik Masagos, yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam.
PAP memperoleh hanya sekitar 52 peratus undi dalam pertandingan empat penjuru dengan Parti Pekerja (WP), yang bertanding di GRC Tampines buat kali pertama, memperoleh 47 peratus undi.
GRC Tampines mempunyai penduduk Melayu yang ramai, iaitu sekitar 25 peratus.
Dalam ucapan selepas pilihan raya, Encik Masagos mengakui keperluan mendekati masyarakat dengan cara yang lebih mendalam, dan berbeza dengan apa yang dilakukan sekarang.
Para pengamat berpendapat, apa yang diperlukan ialah menonjolkan sikap empati dalam kepimpinan.
Empati dalam kepimpinan politik melibatkan lebih daripada sekadar memahami keprihatinan masyarakat.
Ia memerlukan usaha yang tulen untuk menghayati pengalaman dan perspektif mereka.
Dengan mendengar secara aktif, yang merupakan komponen utama empati, ia membolehkan pemimpin memahami nuansa sentimen masyarakat.
Lantaran itulah, kajian menunjukkan bahawa mendengar secara aktif memupuk kepercayaan, mengurangkan salah faham dan meningkatkan keupayaan menyelesaikan konflik – semuanya penting untuk membangunkan hubungan yang kukuh antara pemimpin dengan masyarakat yang mereka pimpin.
Di peringkat nasional, konsep Sesi Bertemu Rakyat (MPS) menunjukkan usaha yang diinstitusikan untuk memudahkan komunikasi terus antara Anggota Parlimen (AP) dengan penduduk, iaitu pengundi mereka.
MPS jelas berkesan dalam memupuk hubungan antara pemimpin dengan penduduk.
Mungkin sesi seperti MPS tidaklah begitu mudah atau praktikal untuk dilaksanakan bagi masyarakat Melayu/Islam, namun para pemimpin politik perlu memikirkan cara untuk masyarakat lebih luas melahirkan pandangan dan keprihatinan mereka secara lebih langsung.
Pokoknya proses mendengar pandangan dan luahan perasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada pemimpin badan-badan masyarakat dan kumpulan tertentu.
Natijahnya, pilihan raya umum telah menyerlahkan lagi peranan penting empati dan mendengar secara aktif dalam kepimpinan politik.
Sedang Singapura dan masyarakat Melayu/Islam terus mengharungi cabaran yang kompleks, pemimpin yang mengutamakan hubungan yang tulen akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memupuk kepercayaan, perpaduan dan kemajuan dalam masyarakat mereka.
Ini bagaimanapun perlu berteraskan prinsip dan sikap individu yang memimpin itu menganggap dirinya sebagai rakyat biasa, yang duduk di kerusi pemimpin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg