Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Hentikan keganasan rumah tangga, tanggungjawab kita bersama

Sep 07, 2020 | 05:30 AM



"KEGANASAN rumah tangga bukan masalah saya."



Ini merupakan sentimen kebanyakan orang yang memilih untuk tidak mengambil peduli akan isu keganasan rumah tangga.



Namun, isu ini bukanlah sesuatu yang langka, atau jarang berlaku.



Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), terdapat 2,459 perintah perlindungan peribadi (PPO) yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 2019; dan 76.4 peratus diberikan kepada golongan wanita atas ancaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak lelaki.



Malah, keganasan rumah tangga menjadi getir terutama pada waktu pemutus rantaian jangkitan dengan peningkatan 22 peratus keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada pihak polis.



Namun, apakah respons kita sebagai sebuah masyarakat?



Baru-baru ini, pusat perlindungan wanita, Casa Raudha dengan kerjasama The Whitehatters, sebuah daya usaha sosial, telah mengadakan kempen untuk menghentikan keganasan rumah tangga.



Antara tujuan utama kempen ini ialah mendidik masyarakat umum tentang apa sebenarnya keganasan rumah tangga dan apa yang boleh kita lakukan untuk sama-sama membendung masalah ini.



Kempen ini dilakukan kerana wujudnya salah faham dalam kalangan masyarakat umum.



Oleh itu, menjelaskan duduk perkara sebenar mengenai masalah ini menjadi fokus kempen yang sedang berlangsung ini.



BANYAK FAKTOR



Penting dinyatakan bahawa masalah keganasan rumah tangga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.



Di dalam acara sembang bersama selebriti Suhaimi Yusoff baru-baru ini, beberapa mitos mengenai keganasan rumah tangga diperjelaskan.



Kita tidak seharusnya memikirkan keganasan yang terjadi di dalam bentuk fizikal sahaja; ia boleh bersifat verbal (seperti kata-kata ancaman, herdikan atau yang bersifat tengkingan) dan mental (seperti menakut-nakutkan sehingga timbul trauma psikologi atau menyebabkan seseorang hilang daya untuk melawan situasi ganas).



Ini yang membuat keganasan rumah tangga kadangkala sukar dikesan kecuali jika ada tanda-tanda kecederaan fizikal.



Tetapi, kenapakah mangsa keganasan rumah tangga sering berdiam diri sehingga masalah berlarutan?



Menurut Cik Zaharah Ariff, anggota pengasas Casa Raudha, ada banyak perkara yang menyebabkan mangsa sukar untuk meninggalkan penderanya.



Antaranya ialah ketergantungan, di mana mangsa menganggap tidak ada pilihan lain ataupun sokongan dari pihak luar.



Apatah lagi, rasa malu kepada anggota keluarga lain ataupun faktor agama yang tidak menyukai perceraian, menyebabkan ramai mangsa untuk terus menerima nasib mereka.



Sebahagian kes pula disebabkan rasa kasihan terhadap anak yang mungkin hilang bapanya jika terjadi perceraian ataupun si isteri tidak mempunyai pendapatan cukup untuk menyara hidup sendiri.



Masalah praktikal seperti ini memasungkan azam mangsa untuk keluar dari lingkaran keganasan yang dihadapi.



Namun, perlu diingatkan juga bahawa agama menyeru kita untuk merubah keadaan hidup kepada arah yang lebih baik.



Ustaz Zahid Zin yang banyak membimbing pasangan yang mengalami masalah rumah tangga, menyebut bahawa tindakan untuk keluar dari keganasan rumah tangga akan memutuskan lingkaran keganasan, bukan hanya terhadap isteri yang dipukul tetapi juga anak-anaknya yang dapat hidup tanpa rasa takut.



Jadi, memastikan keganasan rumah tangga ditangani dari awal akan mempunyai dampak positif untuk masa depan mangsa dan anggota keluarga terdekat mereka.



Di dalam hal ini, saluran-saluran pertolongan sudah tersedia dan harus disebarluaskan.



Ini ditekankan oleh Cik Shahrany Hassan, pengasas The Whitehatters. Para mangsa tidak seharusnya berasa bersendirian tanpa jalan keluar.



Terdapat beberapa talian yang dikendalikan 24-jam yang dapat memberi sokongan segera ataupun nasihat segera.



Menurut Encik Ahmad Nizam Abbas, seorang peguam, mendapatkan PPO merupakan langkah pertama dan ia mudah dilakukan tanpa bantuan guaman.



Sekiranya pendera mencabar perintah mahkamah, maka ada saluran untuk mangsa mendapatkan bantuan guaman, terutama jika mereka dari golongan berpendapatan rendah.



TUGAS BERSAMA



Jadi, apakah yang dapat kita lakukan di dalam situasi di mana keganasan rumah tangga menjadi persoalan besar di dalam masyarakat?



Pertama, kita harus memikirkan isu ini sebagai masalah bersama dan bukannya masalah peribadi.



Walaupun keganasan terjadi di ruang domestik keluarga, perlakuannya bersifat kriminal dan tertakluk kepada undang-undang.



Oleh itu, kita tidak harus menutup mata dan membiarkan ia berlanjutan.



Keganasan rumah tangga akan berleluasa sekiranya kita tidak ambil peduli dan membiarkan pendera terus-menerus memperlakukan mangsa sesuka hati, walaupun dia anggota keluarga terdekat, seperti suami misalnya.



Nasihat "jangan masuk campur hal rumah tangga orang" mungkin ada hikmahnya tetapi tidak boleh diaplikasikan ketika berlaku keganasan, sama ada bersifat fizikal, verbal mahupun mental.



Kedua, pendidikan terhadap hubungan suami-isteri yang berlandaskan sikap saling hormat-menghormati haruslah diperkuatkan.



Seorang suami tidak harus melihat dirinya sebagai ketua keluarga yang mempunyai kuasa mutlak terhadap isteri sehingga berasakan dia mempunyai hak mendisiplinkan isteri.



Inilah antara corak berfikir yang menjadi landasan keganasan di dalam banyak kes penderaan.



Agama mengajar kita bahawa rumah tangga seharusnya berlandaskan nilai-nilai sakinah (tenang/damai), mawaddah (saling mencintai) dan al-rahmah (berkasih sayang).



Ia bukan dominasi lelaki (suami) terhadap wanita (isteri).



Kajian-kajian telah pun menunjukkan yang keganasan rumah tangga dapat dibendung sekiranya unsur kesetaraan hubungan suami dan isteri terwujud dan dibudayakan dalam keluarga.



Oleh itu, sebagai sebuah masyarakat yang menyanjung nilai rahmatan lil alamin, isu keganasan rumah tangga merupakan antara cabaran utama kita bersama.



Sekiranya tidak dibendung, ia berpotensi merosakkan masa depan individu-individu yang terperangkap dalam lingkaran keganasan.



Sekiranya itu terjadi, keluarga sebagai asas sesebuah masyarakat akan terlerai dan kita akan terus dibelenggu oleh masalah-masalah sosial lainnya yang bermula dari kondisi keluarga yang tidak stabil.



Menjadi upstander (seorang yang turut berperan dan tidak hanya ambil sikap sambil lewa) merupakan tanggungjawab dan amanah kita bersama.



Mohamed Imran Mohamed Taib seorang fasilitator untuk kempen End Domestic Violence yang diselenggarakan oleh Casa Raudha dan The Whitehatters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >