Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak adalah amanah, bukan sekadar ukuran pencapaian
Tugas ibu bapa bukan hanya sediakan anak untuk berjaya dalam kehidupan, tetapi bantu mereka bina hati, iman dan akhlak yang akan menemani mereka sepanjang perjalanan hidup
Anak adalah amanah, bukan sekadar ukuran pencapaian
Setiap ibu bapa pasti inginkan yang terbaik bagi anak-anak mereka.
Mereka mahukan anak-anak belajar dengan baik, mempunyai masa depan yang cerah, membesar dengan penuh keyakinan dan akhirnya menjadi seseorang yang mampu berdiri sendiri.
Dalam kehidupan hari ini, keinginan itu kadangkala bermula sejak anak masih kecil.
Ibu bapa memikirkan tentang persekolahan anak-anak mereka, kelas tambahan, aktiviti pengayaan, sukan atau kemahiran yang mungkin dapat membantu anak-anak mereka pada masa hadapan.
Jadual mereka boleh menjadi semakin padat, bukan semestinya kerana ibu bapa mahu memberi tekanan, tetapi kerana mereka mahu membuka sebanyak mungkin peluang untuk anak-anak mereka.
Ini kerana mereka enggan anak-anak mereka ketinggalan dalam apa jua yang diceburi.
Lebih-lebih lagi dalam masyarakat seperti Singapura yang menitikberatkan pendidikan dan usaha, pencapaian mudah menjadi salah satu cara kita mengukur perkembangan seorang anak.
Kita gembira apabila anak mendapat keputusan yang baik, menunjukkan bakat atau berjaya dalam sesuatu yang diusahakan.
Semua itu tentu wajar diraikan.
Namun di tengah-tengah segala usaha untuk membantu mereka maju, mungkin ada satu soalan yang jarang kita tanyakan: adakah anak-anak kita tahu bahawa mereka tetap berharga, walaupun mereka tidak sentiasa berjaya?
Kerana seorang anak juga sedang belajar memahami nilai dirinya melalui cara orang dewasa melihat dan melayannya.
Jika perhatian paling banyak diberikan ketika dia berjaya, jika pujian paling banyak datang ketika dia mencapai sesuatu, atau jika namanya sering dibandingkan dengan adik-beradik dan rakan-rakan, dia mungkin perlahan-lahan belajar bahawa untuk berasa dirinya cukup baik, dia perlu sentiasa membuktikan sesuatu.
Tetapi, bagaimana ketika dia gagal? Bagaimana ketika keputusan peperiksaannya tidak seperti yang diharapkan?
Apabila dia tidak terpilih, tidak menang, atau memerlukan lebih banyak masa berbanding orang lain?
Pada saat seperti inilah seorang anak mungkin paling perlu diyakinkan bahawa kegagalan boleh diperbaiki, tetapi nilainya sebagai seorang insan tidak pernah bergantung pada satu keputusan atau pencapaian.
Anak-anak adalah amanah, bukan sekadar pencapaian
Islam tidak pernah mengajar kita untuk meremehkan usaha atau kecemerlangan.
Bahkan kita digalakkan untuk menuntut ilmu, berusaha bersungguh-sungguh dan melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin.
Namun, seorang anak bukan hanya dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan, bakat, atau pencapaiannya.
Anak-anak adalah amanah daripada Allah swt.
Dan dalam membesarkan amanah ini, tugas kita bukan hanya menyediakan mereka untuk berjaya dalam kehidupan, tetapi membantu mereka membina hati, iman dan akhlak yang akan menemani mereka sepanjang perjalanan hidup.
Rasulullah saw sendiri menunjukkan bahawa hubungan dengan anak-anak dibina dengan rahmah.
Dalam satu hadis, al-Aqra’ bin Habis melihat Rasulullah saw mencium cucunya, al-Hasan bin Ali ra.
Beliau kemudian berkata bahawa beliau mempunyai 10 orang anak tetapi tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.
Rasulullah saw lalu bersabda:
“Barang siapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Peristiwa yang ringkas ini menunjukkan sesuatu yang sangat besar: bahawa kasih sayang bukan sesuatu yang perlu disembunyikan daripada anak-anak.
Mereka perlu merasai kasih sayang itu.
Kadangkala orang dewasa beranggapan bahawa terlalu banyak kelembutan akan menjadikan anak lemah atau terlalu dimanjakan.
Sedangkan kasih sayang dan disiplin tidak semestinya bertentangan.
Seorang anak boleh diajar tentang tanggungjawab sambil tetap dilayan dengan rahmah.
Dia boleh ditegur tanpa dihina, dibimbing tanpa dibandingkan, dan diperbetulkan tanpa rasa bahawa kasih sayang terhadapnya telah berkurang.
Allah swt mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka...” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
Ayat ini mengingatkan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga jauh lebih besar daripada memastikan anak-anak berjaya dalam urusan dunia.
Kita juga sedang membantu membentuk iman, akhlak dan hubungan mereka dengan Allah swt.
Dalam mengejar masa depan yang baik untuk mereka, jangan sampai kita terlalu sibuk menyediakan apa yang mereka perlukan untuk dunia sehingga terlupa menyediakan hati mereka untuk akhirat.
Apabila anak gagal
Mungkin antara saat paling penting dalam proses membesarkan anak bukan ketika mereka berjaya, tetapi ketika mereka gagal.
Ketika seorang anak membawa pulang keputusan yang mengecewakan, melakukan kesilapan, kalah dalam pertandingan, atau gagal memenuhi harapan orang tua, reaksi pertama orang dewasa boleh meninggalkan kesan yang jauh lebih panjang daripada yang kita sedari.
Sudah tentu kesilapan perlu diperbetulkan. Usaha juga perlu dipertingkatkan.
Tetapi sebelum memberikan nasihat, mungkin ada waktunya seorang anak perlu mendengar:
“Tidak mengapa, kita cuba lagi.”
Atau sekadar mengetahui bahawa kegagalannya tidak menjadikannya kurang disayangi.
Kerana dunia di luar sana akan sentiasa mempunyai cara untuk memberitahu anak-anak bahawa mereka belum cukup baik.
Mereka mungkin dibandingkan melalui keputusan, kebolehan, penampilan, atau pencapaian.
Rumah seharusnya menjadi tempat yang mengingatkan mereka bahawa nilai seorang manusia lebih besar daripada semua ukuran itu.
Dalam semua ini, ibu bapa juga perlu berlaku ihsan terhadap diri sendiri.
Keinginan untuk melihat anak berjaya selalunya lahir daripada kasih sayang dan rasa tanggungjawab.
Ibu bapa mahu menyediakan yang terbaik kerana mereka tahu dunia yang bakal dihadapi bukan sentiasa mudah.
Namun mungkin ibu bapa juga perlu sesekali bertanya: Adakah kebimbangan kita tentang masa depan sedang membuatkan kita terlepas melihat siapa anak kita pada hari ini?
Dalam usaha menyediakan mereka untuk kehidupan yang akan datang, jangan sampai setiap perbualan hanya berkisar tentang apa yang perlu mereka perbaiki, capai, atau lakukan seterusnya.
Berhati-hati dengan perbandingan
Kadangkala perbandingan berlaku tanpa niat di sebalik kata-kata yang diluahkan.
Antaranya: “Lihat kakak kamu.” “Kawan kamu boleh, kenapa kamu tidak?” “Dulu abang umur kamu sudah boleh buat ini.”
Mungkin tujuan kita adalah untuk memberi motivasi.
Tetapi bagi seorang anak, kata-kata seperti ini boleh membawa mesej yang berbeza.
Dalam persekitaran yang kompetitif, perbandingan juga mudah berlaku tanpa kita sedari.
Ibu bapa pernah mendengar tentang anak orang lain yang mendapat keputusan lebih baik, memasuki program tertentu, mempunyai lebih banyak kemahiran atau sudah mencapai sesuatu pada usia yang sama.
Sebagai ibu bapa, mudah untuk berasa bimbang: adakah anak mereka sedang ketinggalan?
Namun perjalanan seorang anak bukan perlumbaan yang perlu dimenangi lebih awal.
Tidak semua yang berkembang lebih pantas akan maju lebih jauh, dan tidak semua yang mengambil masa sedang gagal.
Setiap anak berkembang dengan perjalanan yang berbeza.
Ada yang cepat dalam pelajaran tetapi mengambil masa untuk membina keyakinan.
Ada yang tidak menonjol dalam akademik tetapi mempunyai hati yang sangat lembut.
Ada yang pendiam tetapi penuh perhatian terhadap orang lain.
Ada juga yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk menemui kekuatan dirinya.
Tugas kita bukan menjadikan setiap anak sama, tetapi membantu mereka mengenali potensi yang Allah swt kurniakan sambil membimbing kelemahan mereka dengan sabar.
Dan mungkin ada sifat-sifat yang tidak pernah muncul pada sijil atau diraikan dengan piala tetapi sangat bernilai di sisi Allah, seperti kejujuran, belas kasihan, kesabaran, adab, keberanian, meminta maaf, dan sikap mudah membantu orang lain.
Apa yang anak-anak akan ingat?
Kadangkala kita melihat seorang anak dan terus memikirkan apa lagi yang perlu diperbaiki: pelajarannya, disiplinnya, cara dia menggunakan masa atau perkara yang belum dikuasainya.
Tetapi mungkin sesekali kita perlu melihat mereka tanpa terlebih dahulu mencari kekurangan.
Di sebalik keputusan peperiksaan, kesilapan dan tingkah laku yang kadangkala menguji kesabaran, ada seorang anak yang masih sedang belajar memahami dunia, mengenali dirinya dan mencari tempat yang membuatnya berasa selamat.
Apabila anak-anak membesar nanti, mungkin mereka tidak mengingati setiap hadiah yang pernah dibelikan atau setiap nasihat yang pernah diberikan.
Tetapi mereka mungkin mengingati bagaimana perasaan mereka ketika bersama ibu bapa, terutama ketika mereka melakukan kesilapan.
Mereka mungkin mengingati sama ada kita mendengar ketika mereka mahu bercerita, atau memeluk mereka ketika mereka kecewa, atau boleh pulang kepada kita ketika dunia terasa terlalu berat.
Dan yang lebih penting, pengalaman itu juga boleh membentuk bagaimana mereka memahami kasih sayang, rahmah, dan hubungan dengan Allah swt.
Oleh sebab itu, dalam kesibukan menyediakan masa depan untuk anak-anak, jangan sampai ibu bapa terlepas kehidupan yang sedang berlaku di hadapan mereka.
Ada waktunya anak-anak memerlukan nasihat. Ada waktunya mereka memerlukan disiplin. Dan ada waktunya mereka hanya memerlukan kehadiran ibu bapa.
Mereka berharga sebelum mereka berjaya
Sempena Hari Kanak-Kanak di Singapura, mungkin hadiah yang paling bermakna bukan hanya sesuatu yang boleh dibeli atau dibungkus.
Mungkin hadiah itu ialah keyakinan yang tertanam dalam hati seorang anak bahawa dirinya didengar, diterima, dan disayangi.
Ibu bapa tetap boleh mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Ibu bapa tetap boleh mengajar anak-anak mereka supaya rajin, berdisiplin, dan tidak berputus asa.
Tetapi dalam semua itu, biarlah mereka tahu bahawa kasih sayang ibu bapa bukan hadiah yang hanya diberikan apabila mereka berjaya.
Kerana anak-anak tidak perlu menjadi yang paling pintar, paling berbakat atau paling menonjol untuk menjadi berharga.
Sebelum mereka membawa pulang keputusan yang membanggakan, atau memenangi apa-apa anugerah, atau sebelum dunia mengenali siapa mereka, mereka sudah pun merupakan amanah yang Allah swt letakkan dalam kehidupan kita untuk dibimbing, dijaga, dan disayangi.
Dan mungkin suatu hari nanti, apabila mereka sudah dewasa, antara perkara paling berharga yang mereka bawa daripada zaman kanak-kanak bukanlah ingatan tentang berapa banyak yang pernah mereka capai.
Sebaliknya keyakinan bahawa ketika mereka sedang belajar menjadi diri sendiri, ada sebuah rumah yang sentiasa menyediakan ruang untuk mereka kembali.
Lebih indah lagi jika daripada rumah itulah mereka belajar bahawa kasih sayang, rahmah dan penerimaan yang mereka rasakan membawa mereka mengenali sesuatu yang lebih besar – bahawa dalam setiap perjalanan hidup, ada Allah swt yang sentiasa menjadi tempat untuk kembali.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair