TANGAN yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Seiringan kelebihan dan kemuliaan yang terdapat dalam bulan suci Ramadan yang bakal tiba ini, Attawasol Insaniy Singapura menawarkan acara tahunan 'Bingkisan Ramadan' kepada rakyat Singapura agar dapat berpeluang beramal demi mendapatkan saham akhirat yang dijanjikan Allah swt dengan merealisasikan harapan penduduk atau masyarakat yang lebih memerlukan, pelajar tahfiz dan juga anak-anak syurga di rumah kebajikan dengan memberi bantuan kepada mereka.
Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, berkata:
"Kita bersyukur ke hadirat Ilahi, dalam masa beberapa hari lagi kita akan berada dalam bulan yang mulia Ramadan. Marilah sama-sama kita terus manfaatkan peluang keemasan ini dan tingkatkan ibadah dengan mengejar fadilat luar biasa anugerah pemberian Allah swt pada Ramadan ini. Setiap amalan sunah bulan Ramadan menjadi ladang pahala tersendiri bagi umat Islam yang menjalankannya dengan sungguh-sungguh. Setiap amalan, dalamnya dilipat gandakan dengan gandaan yang sangat banyak."
Acara 'Bingkisan Ramadan' anjuran Attawasol Insaniy bertujuan mengumpul sumbangan ikhlas untuk mengagihkan iftar serta sahur kepada penerima agihan di Indonesia. Dengan kemurahan hati jemaah, menurut Ustaz Dr Leyaket, setiap tahun sumbangan iftar dan daging kambing adalah daripada kandang dan perusahaan syarikatnya sendiri. Selain memasak lauk-pauk daripada daging kambing dan ayam, mereka juga memberikan keperluan dapur dan kurma daripada jenis yang lebih baik yang dihantarkan dari Singapura.
"Apa yang kami di Attawasol Insaniy usahakan adalah sesuatu yang tidak lain, hanya ingin mengundang pandangan rahmat Allah swt bersama jemaah yang menaburkan ihsan. Ini adalah usaha mulia untuk menaik tarafkan mutu kehidupan penerima pengagihan. Sering sekali saya mendengar rintihan doa-doa yang terbaik yang mereka lantunkan untuk penderma," kongsi Ustaz Dr Leyaket.
Tambahnya:
"Walaupun kami tidak dapat bersama untuk mengagih habuan pada Ramadan tahun ini, kami tidak ingin mengecewakan penerima yang sangat mengharapkan bantuan kami. Kami bekerjasama rapat dengan rakan sukarelawan dan kakitangan kami di Indonesia dengan terus menjalankan amanah ini dan menyampaikan habuan yang dikumpul melalui projek 'Bingkisan Ramadan'. Ini tahun ke-17 kami menjalankan kegiatan ini.
"Kami sangat utamakan tumpuan pada acara pengagihan habuan Ramadan kerana kami sendiri yang biasanya menjalankannya."
Ustaz Dr Leyaket sendiri telah pergi ke Indonesia pada Februari 2022 lalu untuk melawat kawasan yang telah dikenal pasti kekurangan mereka. Beliau memastikan penduduk di sini adalah orang yang benar-benar memerlukan.
Tahun ini, senarai tumpuan mereka adalah di perkampungan pedalaman dan pergunungan di kawasan Gunung Kidul, Sleman, Panti Asuhan Daarut Taqwa (rumah anak yatim kelolaan Attawasol Insaniy Singapura), Pesantren Daarut Tauhied, Purworejo (pesantren kerjasama Khidmat Khataman Al-Qur'an), juga di kota Bondowoso, Tangerang dan penduduk kampung di Kalimantan, Kepulauan Riau dan Pesantren Rubat Al-Ghanna, Banten.
Attawasol Insaniy juga menawarkan khidmat Pembacaan Al-Quran hingga khatam secara individu atau jamak, dan pembacaan tahlil setiap hari untuk mereka yang tersayang yang sudah pergi meninggalkan keluarga. Bagi khidmat ini, sijil tanda pelaksanaan pembacaan seluruh 30 Juzuk Al-Quran atas nama-nama arwah (individu) dan qari akan dikirimkan pada akhir bulan Syawal kepada peserta menerusi pos.
Semua khidmat Ramadan akan berakhir pada 24 April ini bersamaan 21 Ramadan 1443 Hijrah, kecuali fidyah dan wakaf pembinaan rumah anak yatim dan badal Haji.
Ustaz Dr Leyaket menitipkan doa dan berharap:
"Semoga Allah swt menerima dan memberkahi semua sumbangan serta amal ibadah jemaah dan mudah-mudahan menjadikan ia sebagai penyebab terkabulnya semua hajat di dunia dan akhirat."
"Apa yang kami di Attawasol Insaniy usahakan adalah sesuatu yang tidak lain, hanya ingin mengundang pandangan rahmat Allah swt bersama jemaah yang menaburkan ihsan. Ini adalah usaha mulia untuk menaik tarafkan mutu kehidupan penerima pengagihan. Sering sekali saya mendengar rintihan doa-doa yang terbaik yang mereka lantunkan untuk penderma." - Pengasas Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar.
HULUR SUMBANGAN
Sesiapa yang ingin meyumbang demi meraih pahala berganda dalam bulan suci ini, sila:
Anda dapat melihat kemajuan pengagihan di Facebook: Attawasol Insaniy Singapore.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg