ORANG mukmin yang tidak mempunyai kemampuan dari segi harta untuk berinfaq tidak perlu bersedih dan berputus asa untuk meraih pahala sedekah dan melakukan amal jariah.
Ini kerana Allah swt telah meluaskan kebaikan dalam pelbagai cara mengikut tahap kemampuan hamba-hamba-Nya iaitu dengan menyumbangkan idea, tenaga, promosi dan meramaikan jemaah, jelas Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah.
Menerangkan perkara ini, beliau memetik sepotong hadis Rasulullah saw yang maksud: "Setiap orang wajib bersedekah".
Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimanakah orang tidak berada?"
Jawab Rasulullah saw: "Dia bekerja dengan tangannya, pekerjaan itu bermanfaat bagi dirinya, dan dia boleh bersedekah."
Mereka bertanya pula: "Jikalau dia tidak dapat?"
Jawab Rasulullah saw: "Dia menolong orang yang sengsara yang memerlukan pertolongan."
Mereka bertanya lagi: "Kalau tidak ada?"
Jawab Rasulullah saw: "Lakukanlah kebaikan dan cegahlah diri dari melakukan keburukan. Baginya itu pun sedekah." (HR Imam Bukhari).
Dalam riwayat yang lain, Baginda saw telah bersabda yang bermaksud: "Setiap orang wajib melakukan sedekah saban hari selagi matahari masih terbit. Antara lain mendamaikan antara dua orang yang bersengketa, itu pun sedekah. Dan bila orang membantu menaikkan seseorang ke atas kenderaannya, itu pun sedekah. Atau dia angkut barangnya ke atas belakang kenderaan, itu pun sedekah. Dan menyingkirkan duri dari jalan, itu pun sedekah. Bahkan setiap langkah ketika ia berjalan untuk melakukan solat, itu pun sedekah." (Riwayat Ahmad).
Menurut Ustaz Ruhaizan, Islam telah menyenaraikan ratusan amalan yang mendatangkan bonus ruhi ini (iaitu sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh pacaindera) - daripada sekecil-kecil amalan mengalihkan duri di jalanan sehinggalah mengorbankan harta dan nyawa ke jalan Allah swt.
Imam Ibn Khatir menghuraikan bahawa setiap amalan soleh akan Allah swt gandakan keuntungannya sebagaimana seorang petani menaman benih di tanah yang subur.
Menjelaskan, Ustaz Ruhaizan berkata: "Daripada nilai $1 yang seseorang itu sedekahkan akan digandakan kepada 10 bonus hinggalah kenaikan kepada 700 bonus.
"Bahkan, amal jariahnya akan terus menerus menerbitkan bonus dan keuntungan.
"Jika dia menghulurkan derma bagi pembinaan atau membaik pulih sesebuah masjid atau menggali telaga, maka selagi masjid atau telaga itu masih digunakan, amal jariahnya akan terus menerus menerbitkan pahala baginya walaupun dia telah meninggal dunia."
Selain itu, sedekah juga boleh menjauhkan kita daripada penyakit dan pelbagai kesulitan yang datang dalam hidup kita, tambah Ustaz Ruhaizan.
Bagi mereka yang tidak berkemampuan menghulurkan sedekah dalam bentuk harta, terdapat amalan lain yang boleh menambahkan pahala serupa sedekah.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, daripada Abu Dzar, bahawa Rasulullah saw menyatakan:
"Jika tidak mampu bersedekah dengan harta, maka membaca tasbih, takbir, tahmid, tahlil, berhubungan suami-isteri, atau melakukan kegiatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah."
Menyimpulkan, Ustaz Ruhaizan berkata: "Banyak sekali peluang untuk kita melakukan amalan sedekah ini.
"Jika perkara-perkara yang disebutkan di atas pun mungkin dianggap berat oleh segelintir orang, antara cara termudah yang diajar oleh Nabi saw adalah "berkata-kata yang baik juga merupakan sedekah"."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg