Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berinfak untuk baiki taraf hidup masyarakat

Feb 4, 2022 | 5:58 AM
MAHU TERUS DAMPINGI MASYARAKAT: Masjid Al-Amin yang terletak di Telok Blangah Way ini ingin terus mendampingi masyarakat Islam di sini. - Foto-foto MASJID AL-AMIN
MAHU TERUS DAMPINGI MASYARAKAT: Masjid Al-Amin yang terletak di Telok Blangah Way ini ingin terus mendampingi masyarakat Islam di sini. - Foto-foto MASJID AL-AMIN -

IBNU Umar menceritakan bahawa Rasulullah saw memegang kedua bahunya lalu bersabda: "Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau musafir dan persiapkan dirimu termasuk orang yang akan menjadi penghuni kubur (pasti akan mati)."

Dan Ibnu Umar juga berkata Rasulullah bersabda; "Jika engkau berada di petang hari, janganlah menunggu pagi hari. Dan jika engkau berada di pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Rebutlah peluang di waktu sihatmu sebelum sakitmu dan hidupmu sebelum matimu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengulas hadis di atas, Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan, berkata kedua-dua hadis itu membawa maksud yang Rasulullah saw menganjurkan umat Islam agar bersedekah dan beribadah dalam keadaan sihat kerana ia lebih baik, berbanding ketika sakit.

"Antara tujuh orang yang diberi naungan syurga Allah swt pada hari akhirat ialah pemuda-pemuda yang meluangkan masa untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukanlah sesuatu yang dilakukan ketika sudah ditimpa sakit sahaja. Sebab itu, Rasulullah sebut perkataan 'pemuda' kerana pada waktu mudalah, kita memiliki kesihatan dan tenaga yang kuat untuk berbuat kebaikan. Begitu juga dengan harta, ia perlulah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

"Jangan sampai hampir meninggal dunia, baru kita mula teringat untuk berinfak dan bersedekah. Sedekah dalam keadaan sihat itu lebih baik, berbanding sedekah dalam keadaan nazak. Oleh itu, jelaslah dunia ini hanya persinggahan. Sebaik-baik bekalan untuk kembali ke dunia abadi adalah dengan berbakti kepada rumah Allah," jelas Ustaz Syafiee.

Selain berwakaf dan berinfak, Ustaz Syafiee juga mengajak masyarakat Islam agar meningkatkan ilmu dan mutu ibadah dengan menyertai program-program Masjid Al-Amin sepanjang Februari ini.

Pada 26 Februari, Masjid Al-Amin akan menganjurkan kursus online tentang alam syurga dan neraka, seperti yang digambarkan dalam Al-Quran.

Dari 24 Februari hingga 3 Mac pula, masjid akan mengadakan kursus 'Fiqh Taharah' yang memberi pendedahan tentang fiqh mandi hadas, berwuduk secara sah, dan bersuci.

Bagi yang ingin belajar Al-Quran, Masjid Al-Amin sedia membantu anda mengenal huruf serta tajwid melalui kelas mengaji (hibrid) pada setiap hari Isnin dan Selasa, bermula dari 21 Februari sehingga 29 Mac nanti.

Buku qiraati dan nota akan diagihkan untuk melancarkan proses pembelajaran. Kursus tarannum secara Zoom bersama Qari kebangsaan, Ustaz Sadid Abdul Latiff, juga akan diadakan pada setiap hari Isnin bermula 21 Februari hingga 14 Mac.

"Masjid ialah platform terbaik untuk menggandakan pahala serta membaiki akhlak masing-masing. Maka, ikutilah program-program sertai majlis-majlis ilmu, sentiasa hulurkan bantuan tenaga dan sumbangan fizikal agar kita menjadi golongan yang hatinya terpaut pada masjid, seterusnya mendapat naungan di akhirat kelak," pesan Ustaz Syafiee.

Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Al-Amin, Encik Muhd Khairul Jameel Yahya, turut menambah, dunia ini dijadikan sebagai tempat persinggahan sementara dan masjid memainkan peranan yang besar untuk menyediakan pusat mencari ilmu bagi persiapan hari akhirat.

Jelas beliau: "Dunia harus dikecapi, namun dunia pegang di tangan sahaja. Selebihnya, dakaplah akhirat dengan sepenuh jiwa agar anda tidak tersungkur di akhir garisan nanti. Ingatan kepada Allah harus terus kekal kuat dan teguh dalam menjalani segala urusan dunia.

"Justeru, persiapkan diri menuju ke negeri akhirat termasuk tentang ilmu menjalani kehidupan di dunia dengan penuh bertakwa dan beriman. Untuk itu, Masjid Al-Amin berusaha menjadi taman pencinta ilmu dalam menyediakan pelbagai ilmu agama untuk masyarakat Islam membuat persiapan beralih ke alam selanjutnya, iaitu alam akhirat.

"Selagi nyawa masih bersambung, kumpullah saham akhirat kerana ia sangat penting, sebelum melangkah ke dunia yang kekal selamanya. Yakinlah, dunia ini hanya tempat persinggahan bagi setiap manusia dan yang kekal hanyalah alam akhirat yang dinanti-nantikan iaitu syurga Allah."

"Selagi nyawa masih bersambung, kumpullah saham akhirat kerana ia sangat penting, sebelum melangkah ke dunia yang kekal selamanya. Yakinlah, dunia ini hanya tempat persinggahan bagi setiap manusia dan yang kekal hanyalah alam akhirat yang dinanti-nantikan iaitu syurga Allah." - Pengerusi Masjid Al-Amin, Encik Mohd Khairul Jameel Yahya.

"Jangan sampai hampir meninggal dunia, baru kita mula teringat untuk berinfak dan bersedekah. Sedekah dalam keadaan sihat itu lebih baik, berbanding sedekah dalam keadaan nazak. Oleh itu, jelaslah dunia ini hanya persinggahan. Sebaik-baik bekalan untuk kembali ke dunia abadi adalah dengan berbakti kepada rumah Allah.'' - Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan.

CARA MENYUMBANG

- Derma boleh dilakukan melalui pemindahan wang ke akaun semasa DBS dengan nombor 012-009859-6 atau Paynow UEN No: S91MQ0008B001.

- Masyarakat juga boleh menyampaikan derma secara langsung ke masjid (waktu pejabat) atau dari rumah dengan menghubungi 6272-5309.

- Sila lungsuri https://alaminmosque.mimbar.sg/organization/168?p=infaq untuk menghulur infaq atau wakaf anda ke Masjid Al-Amin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg