PEJAM celik pejam cilik kita sekarang sudah pun berada dalam 1 Rejab hari ini.
Sedang ramai menganggap ketibaan Rejab sebagai bermulanya tempoh menghitung waktu atau countdown, lebih tepat 60 hari menjelang ketibaan Ramadan, Rejab sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.
Memulakan tazkirah mengenai kelebihan Rejab kepada Berita Harian, Ustaz Muhammad Khairani Basiran, Ketua Komunikasi Strategik Jalinan Masyarakat Masjid En-Naeem, berkata:
"Putaran masa bererti Rejab kini muncul kembali di hadapan kita, bulan suci yang diangkat darjatnya di sisi Allah melebihi bulan-bulan lain yang terdapat dalam setahun.
"Dalam menyambut bulan ini, perlu untuk kita ketahui setiap amalan perlu berdasarkan kepada nas dan dalil yang kukuh daripada Al-Quran dan juga hadis."
Beliau menjelaskan, antara 12 bulan dalam setahun, Allah swt menerangkan terdapat empat yang digelar "asyhurul hurum" atau "bulan-bulan haram".
Firman Allah swt dalam surah At-Taubah, ayat 36, yang bermaksud: "Sesungguhnya jumlah bulan di sisi Allah adalah 12 bulan menurut ketetapan Allah pada hari diciptakan langit dan bumi, empat daripadanya haram (suci). Itulah agama (ketetapan) yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri-diri kamu di dalamnya."
Menurut Ustaz Khairani, Nabi Muhammad saw pula menjelaskan bahawa keempat-empat bulan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari dan Muslim ini adalah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN SEBAGAI BULAN HARAM?
Dalam Zaadul Masir, Abu Ya'la rh menjelaskan bahawa bulan-bulan ini dinamakan sebagai "bulan haram" atas dua sebab: pertama kerana diharamkan peperangan dan pembunuhan pada bulan-bulan tersebut; dan kedua larangan melakukan maksiat.
"Khusus dalam Rejab juga berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menyaksikan Nabi saw dibawa Allah swt dari Makkah ke Baitulmakdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk diberikan perintah solat fardu seperti yang kita ketahui pada hari ini.
"Kedudukan peristiwa ini dalam Rejab melambangkan kepada kita kepentingan dan kedudukan solat fardu di sisi Allah swt dan hal ini banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah saw," tambah Ustaz Khairani.
Antara hadis yang sering kita dengar tentang bulan ini, tambah beliau, adalah hadis yang bermaksud: "Rejab itu bulan Allah, Syaaban itu bulanku (Nabi Muhammad saw) dan Ramadan itu bulan umatku".
Ustaz Khairani menjelaskan bahawa hadis ini, bagaimanapun, dikategorikan oleh Syaikh As-Syaghani sebagai maudhuk atau palsu tetapi kelebihan dan keutamaan Rejab tidak dinafikan oleh ulama.
MENGELAK MELAKUKAN DOSA DAN MEMPERBANYAK AMAL BAIK
Ibnu Abbas ra menerangkan bahawa dosa bagi melakukan maksiat pada bulan-bulan haram adalah lebih besar daripada bulan-bulan yang lain.
Begitu juga sebaliknya, amal baik yang dilakukan pada bulan-bulan tersebut digandakan pahala dan ganjarannya di sisi Allah swt.
Habib Hassan Al-Attas, dalam Risalah Kelebihan Bulan Rejab tulisannya, pula berkata "apa lagi yang dicari oleh seorang soleh apabila dia yakin akan sabda Nabi saw yang mengatakan bahawa Rejab adalah bulan Allah! Tidak syak lagi mereka yang penuhkan di dalamnya dengan beribadah kepada Allah akan mendapat rahmat yang besar daripada-Nya".
Bertolak dari situ, secara umumnya kita dianjurkan supaya giat melaksanakan amal soleh dan kebaikan sepanjang Rejab yang mulia ini.
"Walaupun tidak ada anjuran amalan yang khusus pada bulan ini, antara amalan yang dapat kita lakukan adalah bersedekah dan berpuasa.
"Sedekah atau membelanjakan harta di jalan Allah dijanjikan oleh-Nya mendapat ganjaran yang berlipat kali sehingga 700 lipatan, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran.
"Lantas jika kita gandingkannya dengan gandaan yang diberikan kepada amalan dalam bulan haram, ini bermaksud sedekah yang kita keluarkan dalam Rejab dan bulan-bulan haram yang lainnya mendapat pahala yang lebih banyak di sisi Allah swt," kata Ustaz Khairani.
MEMPERBANYAK ISTIGHFAR
Sesuai dengan kedudukan Rejab yang istimewa, umat Islam turut digalakkan memperbanyakkan beristighfar meminta ampun kepada Allah swt.
Habib Ali Zainal Abidin, pendakwah terkenal dari Malaysia, berkata Nabi Muhammad saw beristighfar dalam sehari paling kurang 100 kali dan ada yang meriwayatkan sebanyak 70 kali pada hari-hari biasa.
Ini sesuai dengan hadis Rasulullah saw yang bermaksud: "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan pohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali." (Hadis riwayat Muslim).
"Jadi kita sebagai umat Nabi Muhammad saw yang penuh dengan dosa perlulah menambah istighfar kita, lebih-lebih lagi dalam Rejab.
"Kalaulah pada hari biasa kita beristighfar sebanyak 100 kali, kita perlulah menambah istighfar pada Rejab kerana ganjarannya amatlah besar pada bulan ini," tulis Habib Ali Zainal Abidin dalam blognya.
LATIHAN HADAPI SYAABAN DAN RAMADAN
Amalan-amalan baik (amar makruf) dan menghindarkan dosa-dosa (nahi mungkar) ialah ibarat menanam benih dan pohon-pohon dalam Rejab supaya tanaman-tanaman ini akan tumbuh dalam bulan berikutnya (Syaaban) dan akan dituai buahnya dalam Ramadan kelak.
Inilah sebabnya ulama dahulu menggalakkan kaum Muslimin supaya beribadat sebanyak-banyaknya dan bertaubat dalam Rejab supaya terlatih menghadapi bulan-bulan berikutnya iaitu Syaaban dan Ramadan.
Ini ditekankan Ustaz Khairani, yang menambah bahawa kedudukan Rejab yang berhampiran dengan Ramadan menjadikannya waktu yang sesuai menjadi batu loncatan bagi membuat persiapan bagi diri kita.
Berpuasa dalam Rejab, katanya, merupakan antara amalan yang dilakukan oleh Ibnu Abbas ra, Sufyan al-Tsauri, al-Hasan al-Basri dan Abu Ishaq as-Saibi.
"Akhir kalam, kesucian dan keagungan Rejab sebagai salah satu di antara empat bulan haram di sisi Allah tidak dinafikan oleh ulama dan kelebihan beramal pada bulan ini dipersetujui.
"Perbanyakkanlah amalan, tingkatkan amal kebajikan dan lebih berwaspada daripada melakukan apa jua bentuk kemaksiatan pada bulan ini," ujar Ustaz Khairani.
"Semoga kita diberikan Allah swt kekuatan mendekatkan diri kepada-Nya dan memberikan kita usia dan kesihatan untuk bertemu Ramadan yang bakal menjelang."
SEDEKAH DAN AMALAN DALAM REJAB DIGANDAKAN
"Sedekah atau membelanjakan harta di jalan Allah dijanjikan oleh-Nya mendapat ganjaran yang berlipat kali sehingga 700 lipatan, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran. Lantas jika kita gandingkannya dengan gandaan yang diberikan kepada amalan dalam bulan haram, ini bermaksud sedekah yang kita keluarkan dalam Rejab dan bulan-bulan haram yang lainnya mendapat pahala yang lebih banyak di sisi Allah swt." - Ustaz Muhammad Khairani Basiran, Ketua Komunikasi Strategik Jalinan Masyarakat Masjid En-Naeem.
EMPAT BULAN SUCI - REJAB BERSAMA ZULKAEDAH, ZULHIJAH DAN MUHARAM
"Sesungghnya jumlah bulan di sisi Allah adalah 12 bulan menurut ketetapan Allah pada hari diciptakan langit dan bumi, empat daripadanya haram (suci). Itulah agama (ketetapan) yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri-diri kamu di dalamnya." (At-Taubah: 3) HIDAYAH
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg