SAYA pernah ditanya, Ustaz apa cintakan negara kita ni ada ke dalam syariat Islam?
Jawapan saya: Abang, Imam Bukhari pernah meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah saw melihat tembok-tembok Madinah ketika pulang daripada bermusafir, Rasulullah saw akan mendorong unta atau tunggangannya agar bersegera dan bergerak lebih laju agar dapat sampai ke kota Madinah lebih cepat.
Di dalam kitab Fathul Bari, Imam Ibn Hajar al-'Asqalani menerangkan bahawa hadis ini bukan sahaja menunjukkan keutamaan kota Madinah tetapi juga bahawa mencintai tanahair seseorang itu adalah sesuatu yang disyariatkan di dalam agama kita.
Bahkan, ketika Nabi saw diperintahkan berhijrah ke Madinah, Baginda menoleh ke Makkah seraya berkata "Demi Allah engkau (yakni Makkah) adalah sebaik-baik tanah dan tanah yang paling dicintai oleh Allah swt Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar".
Mencintai sesuatu termasuk negara tempat kita dilahirkan, dibesarkan bahkan membina impian dan kebahagiaan serta menyaksikan cabaran kehidupan diiktiraf oleh ilmuan Islam seperti Imam Ibn Hajar al-'Asqalani serta Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni sebagai perkara yang alami. Ia terbit daripada hati dan sanubari. Ia diletakkan Allah pada lubuk hati agar ktia kemudian merasa aman, senang dan tenteram tinggal di sesuatu tempat.
Namun cinta itu akan ada pasang surutnya. Pasti akan ada ujian dan badai melanda. Namun itulah lumrah cinta. Ia menjadikan hidup kita tidak sunyi dan membosankan. Ia menambah nilai dan erti dalam kehidupan. Begitu juga dalam cinta kita kepada negara. Ada masa dan kalanya cinta kita tercabar oleh keadaan di sekeliling mahupun dalaman. Namun, cinta yang jujur dan ikhlas akan mendorong kita untuk mengatasi cabaran tersebut.
Semenjak beberapa bulan yang lalu, kita telah mula melihat beberapa insiden yang menunjukkan ketegangan dalam hubungan antara kaum. Ini adalah bukan hanya cabaran masyarakat Islam Singapura tetapi rakyat Singapura secara amnya.
Kita sebagai sebuah masyarakat perlu teruskan usaha kita untuk mengekalkan keamanan dan merapatkan terus hubungan yang telah kita bina. Kita tidak mampu membiarkan insiden-insiden yang semestinya mengguris perasaan sebahagian kita untuk menghakis cinta kita pada negara tumpah darah kita. Inilah pengorbanan kita dan semoga ia diterima sebagai ibadah kita. Semoga cinta kita pada negara dan keinginan untuk kesejahteraannya akan mendekatkan kita kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dirgahayu Singapura.....


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg