Topik diikuti
Pergi ke BHkuHidupkan harapan, sayangi kehidupan
Islam tekankan kepentingan memelihara diri daripada keburukan dan kebinasaan
Hidupkan harapan, sayangi kehidupan
Ada kalanya seseorang yang kelihatan tenang sebenarnya sedang melalui pergolakan yang tidak diketahui oleh mereka yang di sekelilingnya.
Beliau mungkin masih datang bekerja, berbual bersama keluarga dan menjalani rutin kehidupan seperti biasa, tetapi dalam dirinya tersimpan tekanan, kesedihan atau rasa putus asa yang sukar diluahkan.
Setiap insan yang dicipta untuk menjalani kehidupan di dunia pasti akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Sama ada seseorang itu bersedia atau tidak, itulah sebahagian daripada hakikat kehidupan.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Namun ada ujian yang terasa terlalu berat untuk ditanggung.
Dalam keadaan seperti ini, seseorang mungkin berasa lemah, hilang harapan atau tidak lagi melihat jalan keluar daripada masalah yang sedang dihadapinya.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Ayat yang kedua ini bukan alasan untuk meremehkan kesukaran yang sedang dialami seseorang. Sebaliknya, ia memberikan harapan bahawa dalam setiap kesukaran masih ada ruang untuk mencari pertolongan, sokongan dan jalan keluar.
Kadangkala kemampuan seseorang untuk menghadapi ujian itu juga hadir melalui bantuan keluarga, sahabat, doktor, kaunselor dan mereka yang mempunyai kepakaran.
Di sinilah pentingnya sokongan daripada pelbagai sudut untuk membantu seseorang yang sedang menghadapi kemelut kehidupan sehingga merasakan tiada lagi harapan untuk meneruskan hidup.
Memelihara nyawa adalah tuntutan agama
Islam memandang berat soal kesejahteraan manusia.
Jika dilihat daripada tujuan syariat Islam diturunkan, ia bukan hanya mengatur persoalan ibadah, tetapi bertujuan memelihara kemaslahatan manusia secara menyeluruh.
Para ulama seperti Imam Al-Syatibi menjelaskan bahawa antara tujuan utama syariat ialah hifz al-nafs, iaitu memelihara nyawa.
Memelihara nyawa merupakan suatu tuntutan yang sangat penting.
Setiap manusia bertanggungjawab menjaga dirinya dengan sebaik mungkin dan tidak membiarkan dirinya terdedah kepada perkara-perkara yang boleh membawa kebinasaan.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Nisa, ayat 29 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
Rasulullah saw juga pernah berpesan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Janganlah memberikan kemudaratan pada diri sendiri dan jangan pula memudaratkan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah)
Begitulah penekanan yang diberikan oleh Islam mengenai kepentingan memelihara diri daripada keburukan dan kebinasaan.
Namun, tanggungjawab memelihara nyawa tidak seharusnya difahami sebagai tanggungjawab individu semata-mata.
Mereka yang di sekelilingnya juga mempunyai peranan untuk membantu apabila seseorang sedang melalui kesukaran.
Di sebalik angka ada kehidupan
Isu bunuh diri bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Di seluruh dunia, banyak nyawa hilang setiap tahun akibat bunuh diri.
Lebih membimbangkan, bunuh diri juga melibatkan golongan muda.
Ini mengingatkan kita bahawa isu tersebut bukan sesuatu yang jauh daripada kehidupan masyarakat kita.
Namun, di sebalik setiap angka terdapat seorang manusia dengan kehidupan dan cabaran yang mungkin tidak diketahui oleh orang lain.
Ada keluarga yang kehilangan insan tersayang, sahabat yang kehilangan teman dan masyarakat yang tertanya-tanya sama ada sesuatu boleh dilakukan lebih awal.
Hakikatnya, tekanan yang membawa seseorang kepada pemikiran untuk membunuh diri tidak semestinya berpunca daripada satu sebab.
Ia boleh melibatkan masalah kesihatan mental, hubungan, kehilangan orang tersayang, kesulitan kewangan, penyakit yang berpanjangan, kesunyian atau pelbagai tekanan yang berlaku serentak.
Sebab itu kita perlu berhati-hati daripada membuat andaian mudah terhadap apa yang sedang dilalui seseorang.
Apa yang kelihatan kecil bagi seseorang mungkin dirasakan sangat berat bagi orang lain.
Bukan sekadar bersabar dan banyakkan doa
Apakah yang boleh dilakukan apabila seseorang sedang berhadapan dengan tekanan emosi sehingga kehilangan harapan?
Dalam keadaan yang sukar, ibadah juga boleh menjadi ruang seseorang mengadu kelemahan dan keresahannya kepada Allah swt tanpa perlu berpura-pura bahawa dirinya sentiasa kuat.
Mengukuhkan hubungan dengan Allah swt dapat memberikan kekuatan rohani ketika berhadapan dengan kesukaran.
Seseorang juga perlu terus berbaik sangka kepada Allah dan mengingatkan dirinya bahawa setiap masalah mempunyai ruang untuk mencari jalan keluar.
Namun, ibadah dan rawatan bukanlah dua pilihan yang saling bertentangan.
Walaupun amalan zikir dan doa digalakkan dalam Islam, seseorang yang sedang mengalami tekanan emosi atau masalah kesihatan mental juga mungkin memerlukan bantuan profesional.
Mendapatkan rawatan daripada doktor, pakar psikiatri, ahli psikologi atau kaunselor bukan tanda seseorang itu lemah imannya.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha dan ikhtiar untuk memelihara diri, sebagaimana seseorang mendapatkan rawatan apabila mengalami penyakit fizikal.
Perlu diingat bahawa setiap keadaan memerlukan penilaian dan bantuan daripada mereka yang mempunyai kepakaran.
Menghadapi orang yang sedang bertarung dengan kekusutan fikiran dan emosi yang tidak stabil tidak semudah dengan memberikan nasihat supaya bersabar dan memperbanyakkan doa.
Nasihat agama boleh memberikan kekuatan, tetapi kita juga perlu mengetahui batas kemampuan diri dan bila masanya seseorang perlu dibantu untuk mendapatkan sokongan yang sesuai.
Kadangkala mereka perlukan seseorang yang mendengar
Sokongan daripada orang terdekat juga sangat penting.
Keluarga, sahabat, rakan sekerja dan anggota masyarakat boleh menjadi sebahagian daripada lingkungan sokongan kepada seseorang yang sedang menghadapi kesukaran.
Orang terdekat perlu peka terhadap perubahan yang membimbangkan, terutama apabila seseorang mula menyatakan rasa putus asa, merasakan dirinya menjadi beban, semakin menjauh daripada orang lain atau menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara.
Dalam keadaan seperti ini, jangan mudah menganggapnya sekadar mencari perhatian. Ambillah masa untuk bertanya khabar, mendengar dan memahami apa yang sedang dilaluinya.
Orang yang sedang kehilangan harapan tidak sentiasa memerlukan ceramah yang panjang.
Kadangkala, mereka terlebih dahulu memerlukan seseorang yang sanggup mendengar tanpa menghukum.
Kita juga tidak semestinya perlu mempunyai jawapan kepada setiap masalah yang diceritakan.
Ada waktunya, kehadiran seseorang yang mahu mendengar dengan sabar sudah menjadi langkah pertama yang membuka ruang untuk mendapatkan pertolongan.
Namun, jika seseorang meluahkan keinginan untuk mencederakan diri atau menamatkan hidupnya, luahan itu perlu diambil dengan serius.
Jangan memperlekehkan perasaannya atau tergesa-gesa memberikan jawapan.
Dengarkan dengan tenang, jangan biarkan dia bersendirian jika terdapat risiko keselamatan, dan bantu hubungkannya dengan ahli keluarga, profesional kesihatan atau saluran bantuan yang sesuai.
Daripada menghukum kepada membantu
Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang diperingati pada 10 September setiap tahun mengingatkan masyarakat bahawa usaha mencegah bunuh diri memerlukan penglibatan bersama.
Dari 2024 hingga 2026, tema yang diketengahkan ialah Mengubah Naratif tentang Bunuh Diri, dengan seruan agar Mulakan Perbualan.
Ia mengajak masyarakat mengubah cara berbicara mengenai bunuh diri, daripada budaya berdiam diri dan stigma kepada sikap lebih terbuka, penuh empati dan saling memberikan sokongan.
Semangat ini juga selari dengan tuntutan agama untuk memelihara nyawa.
Apabila seseorang sedang menghadapi tekanan yang berat, perkara yang diperlukan bukanlah penghukuman atau tuduhan bahawa dirinya kurang beriman.
Sebaliknya, beliau perlu dibantu untuk melihat bahawa masih ada ruang untuk mendapatkan pertolongan dan masih ada manusia yang mengambil berat terhadap dirinya.
Justeru, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan menurut kemampuan masing-masing.
Jika tidak pasti bagaimana untuk membantu seseorang yang mengalami tekanan emosi atau mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, bantulah mereka mendapatkan pertolongan daripada pihak yang terlatih danmempunyai kepakaran.
Mendapatkan bantuan bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu langkah untuk memelihara kehidupan.
Islam mengajar bahawa nyawa adalah amanah yang perlu dipelihara.
Tanggungjawab itu bukan hanya terletak pada mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran, tetapi juga pada masyarakat untuk mewujudkan suasana yang lebih prihatin dan saling membantu.
Kadangkala kita mungkin tidak mempunyai jawapan kepada masalah seseorang.
Namun kita masih boleh mendengar, menemani dan membantunya mendapatkan pertolongan.
Barangkali daripada sebuah perbualan yang penuh empati, seseorang kembali melihat bahawa masih ada harapan untuk meneruskan kehidupan.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair