Topic followed successfully
Go to BHkuIbu bapa bercerai; Usah sampai anak-anak jadi mangsa...
Ibu bapa bercerai; Usah sampai anak-anak jadi mangsa...
Ibu bapa bercerai; Usah sampai anak-anak jadi mangsa...
PERTANYAAN:
Saya sudah bercerai dan anak-anak dalam penjagaan ibunya. Sukar untuk saya bertemu dengan anak-anak kerana ibunya masih berdendam dengan saya. Apakah tanggungjawab bapa selepas perceraian dan wajarkah ibu menghalang bapa jumpa anak-anak?
PENCERAHAN:
Perceraian walaupun dibenci oleh Allah, ia merupakan suatu penyelesaian terakhir bagi menamatkan pertikaian suami isteri. Malah, dalam Al-Quran sendiri dianjurkan agar perpisahan tersebut dilakukan dengan cara yang baik tanpa permusuhan antara kededua pihak.
Firman Allah: "Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik." (Al-Baqarah, 2:229)
Andainya terdapat ketetapan mahkamah bagi membayar nafkah iddah dan mutaah (pampasan) untuk isteri. Maka bagi para suami, tunaikanlah seperti apa yang diputuskan, kerana itu juga merupakan ketetapan Allah swt yang diperintahkan dalam Al-Quran.
Moga dengan itu, ia menjadi satu hadiah dari bekas suami bagi mengenangkan jasa bekas isterinya sepanjang masa mereka berumah tangga. Mudah-mudahan ia bakal menimbulkan rasa akrab keduanya walaupun sudah tidak bersama lagi.
Begitu juga, jika perpisahan tersebut membuahkan zuriat antara pasangan suami isteri. Maka sebagai bapa, mereka masih bertanggungjawab menunaikan kewajipan tanggungan bulanan yang diperintahkan oleh mahkamah bagi sara hidup anak tersebut.
Dalam hal penjagaan dan kawalan, tidak kira hak penjagaan milik mutlak ibu atau bapa, atau hak bersama.
Kededua ibu dan bapa hendaklah menghormati keputusan mahkamah demi mengambil kira kemaslahatan si anak.
Walaupun ada masanya, perpisahan berlaku dalam keadaan yang amat menyakitkan. Timbul rasa dendam dan kepedihan kerana rasa dikhianati pasangan.
Adalah penting sikap tersebut tidak diperlihatkan kepada si anak. Ibu dan bapa perlu komited untuk tidak menjadikan sebarang pertelingkahan keduanya memberi kesan kepada si anak.
Sebaliknya, mereka perlu memastikan kesan perceraian ini seminimal mungkin kepada anak, iaitu dengan memberikan kasih sayang secukupnya kepada anak walaupun keduanya sudah tidak sehaluan, dan tidak tinggal bersama lagi.
Sebarang usaha memburukkan pasangan bagi mengambil hati anak atau menafikan hak ibu atau bapa daripada menziarahi anak kerana konflik peribadi mereka berdua bukan sahaja merupakan satu perkara yang dilarang agama, tetapi juga tidak membantu meningkatkan kestabilan emosi dan minda anak kita. Bukan itu sahaja, ia juga dikira melanggar ketetapan keputusan mahkamah.
Ingatlah, anak yang membesar tanpa kasih sayang sempurna daripada seorang ayah boleh memberikan kesan negatif dari sudut psikologi dan pembesaran anak. Antara kesan tersebut ialah timbul rasa malu akibat ketiadaan ayah, kesepian, rendah harga diri dan sebagainya. Ini pastinya bukan sesuatu yang diinginkan oleh kededua ibu dan bapa.
Maka itu, ketepikan dahulu segala konflik peribadi dan kepentingan sendiri.
Berikanlah si anak peluang bagi mengecap kasih sayang seorang yang bernama ayah atau ibu. Yang mana akhirnya, kesejahteraan emosi, mental dan fizikal anaklah yang menjadi keutamaan kita, bukan yang lain-lain.
- Jawapan diberikan Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, yang merupakan ahli bersekutu Jawatankuasa Fatwa serta ahli Lembaga Rayuan Muis. Beliau juga merupakan perunding agama dan pembangunan keluarga di YusriYusoff Consulting (yusriyusoff.com)

