Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iktibar daripada kisah Nabi Nuh

Sorot nilai iman, taat serta kasih sayang Allah bagi golongan beriman
Aug 24, 2025 | 5:30 AM
Kisah Nabi Nuh as mengingatkan bahawa keimanan dan ketaatan kepada Allah swt adalah pelindung sejati dalam kehidupan.
Kisah Nabi Nuh as mengingatkan bahawa keimanan dan ketaatan kepada Allah swt adalah pelindung sejati dalam kehidupan. - Foto hiasan PIXABAY

Perkataan ‘kisah’ bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan orang Melayu.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa perkataan itu sebenarnya berasal daripada bahasa Arab, iaitu ‘qissoh’.

Istilah yang diambil daripada bahasa Arab itu sarat dengan makna mendalam, yang turut digunakan oleh Allah swt dalam Al-Quran.

Para ulama mentafsirkannya dengan pengertian yang luas, antaranya merujuk kepada cerita, kejadian atau peristiwa yang berlaku pada suatu masa tertentu.

Kisah dalam Al-Quran

Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-A’raaf, ayat 176:

“Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

Ayat di atas menegaskan bahawa kisah-kisah dalam Al-Quran bukan sekadar cerita, bahkan disampaikan agar manusia berfikir.

Berfikir menjadikan akal manusia berfungsi serta terpimpin melalui kisah yang disampaikan.

Kaedah penceritaan itu juga sesuai untuk semua peringkat – daripada kanak-kanak hingga orang dewasa, bahkan warga emas sekali pun – kerana bercerita adalah satu cara penyampaian yang menarik, mudah difahami dan menghiburkan.

Allah swt berfirman dalam Surah Yusuf, ayat 111:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-Nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-Nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-Kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa kisah para nabi mengandungi pelajaran yang memberi iktibar kepada orang yang berakal.

Kisah-kisah ini bukanlah rekaan, sebaliknya ia membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab terdahulu.

Malah, ia hadir sebagai keterangan yang menjelaskan segala sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi mereka yang beriman.

Kisah Nabi Nuh as

Antara kisah para nabi, artikel ini memilih untuk menyorot kisah Nabi Nuh as kerana beberapa sebab, antaranya:

– Baginda termasuk dalam kalangan Ulul ‘Azmi – gelaran serta martabat khusus bagi rasul yang memiliki sifat ketabahan dan kesabaran yang luar biasa tingginya.

– Baginda berdakwah menyeru kaumnya kepada Allah swt selama 950 tahun.

– Baginda digelar bapa kepada manusia selepas Nabi Adam as kerana seluruh generasi selepasnya berasal daripada keturunannya, setelah kaumnya yang ingkar dibinasakan oleh Allah swt.

– Kisah baginda bersama anaknya yang dirakam dalam Al-Quran menjadi pengajaran berharga, khususnya buat setiap bapa dalam mendidik anak-anak dan memimpin keluarga.

Antara kisah Nabi Nuh as yang dirakam dalam Al-Quran ialah sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Hud, ayat 42 dan 43:

“(Mereka semua naik) dan bahtera itu pun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya:

‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.’

Anaknya menjawab: ‘Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.’

Nabi Nuh berkata: ‘Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya.’

Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) daripada orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.”

Hikmah dan pelajaran

Kisah Nabi Nuh as, sebagaimana disebut dalam Surah Hud, ayat 42 dan 43, mengandungi pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, antaranya:

– Nabi Nuh as berdakwah selama 950 tahun menyeru kaumnya beriman kepada Allah swt. Namun, hanya segelintir sahaja yang menyahut seruan baginda.

Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 14:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu baginda tinggal di antara mereka 1,000 tahun kurang 50 tahun. Kemudian mereka dilanda banjir besar, sedang mereka adalah orang-orang yang zalim.”

– Ayat 42 dan 43 dalam Surah Hud menunjukkan bahawa Allah swt membinasakan mereka yang ingkar dan zalim dengan menenggelamkan mereka dalam banjir besar yang melampaui ketinggian gunung.

– Kisah itu juga menggambarkan betapa besarnya kuasa Allah swt yang mampu mendatangkan bencana sedahsyat itu, bahkan lebih dahsyat lagi jika Dia kehendaki.

– Azab tersebut diturunkan setelah mereka diberi tempoh yang panjang, selama 950 tahun, untuk beriman dan kembali kepada Allah swt. Namun kerana terus-menerus ingkar, mereka akhirnya dibinasakan dan kezaliman mereka dihapuskan.

– Ayat itu juga menegaskan bahawa Allah swt Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Adil tidak akan membiarkan kezaliman berlarutan tanpa balasan, walaupun ia berlangsung selama ratusan tahun.

– Antara yang turut dibinasakan ialah anak Nabi Nuh as sendiri. Walaupun beliau merupakan anak seorang nabi yang mulia di sisi Allah swt, beliau tidak terkecuali daripada azab kerana keingkarannya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keadilan Allah swt tidak membezakan antara anak seorang nabi dengan manusia biasa – yang menjadi ukuran hanyalah iman dan ketaatan kepada-Nya.

– Ayat dan kisah tersebut turut menegaskan jaminan dan perlindungan Allah swt untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dan taat kepada-Nya, meskipun jumlah mereka sedikit. Sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Hud, ayat 40:

“Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersamanya (Nabi Nuh as), melainkan sedikit sahaja.”

– Dari sudut bilangan, pengikut Nabi Nuh as hanyalah segelintir. Namun, merekalah yang dikasihani dan diselamatkan oleh Allah swt daripada azab banjir besar kerana keimanan dan ketaatan mereka.

– Kisah Nabi Nuh as dan kaumnya mengingatkan kita bahawa nilai iman amat tinggi di sisi Allah swt. Walaupun jumlah orang beriman kecil, Allah tetap melimpahkan rahmat-Nya, berupa kasih sayang dan perlindungan, kepada golongan itu.

Kesimpulan dan iktibar

Kisah Nabi Nuh as menekankan bahawa iman dan ketaatan merupakan asas utama kehidupan seorang hamba.

Kita perlu sentiasa berusaha memupuk serta menambah keimanan kerana dengan iman yang kukuh, ketaatan kepada Allah swt juga akan meningkat. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Fath, ayat 4:

“Supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).”

Maka seiring dengan bertambahnya usia kemerdekaan Singapura dan semangat SG60, wajarlah masyarakat Melayu/Islam Singapura memperkukuh iman, selaras dengan segala kemajuan yang telah dikecapi sepanjang enam dekad lalu.

Dengan bertambahnya iman dan ketaatan, meskipun kita merupakan golongan minoriti, mudah-mudahan Allah swt mencurahkan kasih sayang-Nya, memelihara negara ini serta melindunginya daripada segala musibah dan kesulitan, sebagaimana Dia melindungi kaum Nabi Nuh as yang beriman daripada banjir besar, meskipun bilangan mereka amat sedikit.

Penulis ialah pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg