Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan pengampunan. Namun, 10 malam terakhir –yang bermula malam ini – mempunyai keistimewaan yang tidak ada tandingnya berbanding bulan-bulan lain.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Qadr, ayat 3, yang bermaksud: “Malam lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”
Inilah saat di mana kita mendambakan keberkatan dalam beribadat, dan memohon keampunan dengan penuh harapan kepada-Nya.
Rasulullah saw juga bersabda mengenai kewujudan 10 malam terakhir: Sabda Baginda: “Carilah lailatulqadar pada malam yang ganjil pada 10 malam yang akhir dari Ramadan.” (HR Bukhari).
Malam lailatulqadar bukan sahaja dikenali sebagai salah satu malam yang mempunyai keutamaan yang melimpah, bahkan dipercayai lebih mulia dibanding 1,000 bulan. Maka tidak hairanlah ia amat dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia.
Pada 10 malam terakhir Ramadan, jangan sia-siakan setiap detiknya. Setiap amalan kecil yang dilakukan dengan ikhlas dapat membawa berkat yang besar. Mari manfaatkan setiap peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan memohon keberkatan-Nya.
Semoga kita diberkati dan diberi kesempatan untuk bertemu dengan malam lailatulqadar ini.
Bagaimana kita dapat memanfaatkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya?
Pada Ramadan ini juga, terdapat peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya Al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk buat sekalian umat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 185).
Dalam sepotong hadis riwayat Abdullah bin Mas‘ud ra, Nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam Al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “Alif Laam Miim” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.” (HR At-Tirmidzi).
Justeru, kita dapat memahami daripada hadis tersebut bahawa dengan membaca Al-Quran, kita akan memperoleh pahala yang dilipatgandakan oleh Allah swt.
Apatah lagi membacanya pada 10 malam terakhir Ramadan. Ini dapat dilakukan secara bersendirian atau melalui tadarus secara berkumpulan.
Dengan amalan tersebut, kita dapat menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan mengharapkan keberkatan dan kebaikan serta memberatkan neraca amalan kita di akhirat.
Sungguh indah keajaiban berdoa. Bermunajat di atas sejadah tika bersujud, namun dapat didengari sampai ke langit, Subhanallah!
Kita diberikan kelebihan untuk berdoa sebagai tempat meminta apa yang sering dihajati dalam hati. Sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui segala keinginan yang terkandung dalam hati kita ini. Dia jualah yang menentukan segala perkara terbaik untuk kita.
Sebagai Muslim, kita harus percaya dengan segala qada dan qadar-Nya dan husnudzon atau bersangka baik terhadap apa yang ditentukan dalam hidup kita.
Dengan itu, marilah kita merebutkan peluang ini dan memanfaatkan waktu-waktu mustajab yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya.
Tambahan pula, kita sedang berpuasa maka, akan bergandalah pahala dan mustajab doa-doa kita, insya-Allah.
Ingin saya kongsikan waktu-waktu yang paling mustajab untuk berdoa, terutama dalam Ramadan:
1. Waktu Sahur
Perkara ini disebutkan dalam Surah Az-Zariyat, ayat 18. “Ketika waktu sahur, mereka berdoa memohon keampunan.”
2. Semasa sedang berpuasa
Bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Rasulullah saw ada menyatakan dalam hadis riwayat At-Tirmidzi bahawa orang yang berpuasa hingga dia berbuka merupakan antara tiga golongan yang doanya tidak ditolak.
3. Di antara azan dengan iqamah
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Doa di antara azan dengan iqamah tidak tertolak.” (HR At-Tirmidzi).
Berdoalah dan bermohon kepada Allah swt apa yang kita hajatkan sambil menunggu waktu iftar ketika menanti tibanya azan maghrib.
Malam lailatulqadar merupakan satu malam dalam Ramadan yang sangat diimpi-impikan oleh umat Islam.
Pada malam tersebut, kita digalakkan memperbanyakkan membaca doa sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw iaitu “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa’ fa’fu ‘anna”, yang ertinya “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah kami.”
Iktikaf adalah istilah yang berasal dari perkataan Arab iaitu “Akafa” yang bererti menetap atau bersendirian. Dalam konsep Islam, iktikaf bermaksud berdiam diri dalam masjid untuk mencari keredaan Allah swt.
Ketika beriktikaf, seorang Muslim akan bermuhasabah atas perbuatannya. Iktikaf dilakukan dengan berdiam diri dalam masjid dan menghabiskan seluruh waktunya untuk beribadah seperti berdoa, berzikir, membaca Al-Quran dan sebagainya.
Dalam konteks Singapura, beriktikaf memiliki beberapa kepentingan yang relevan:
Menguatkan kehidupan kerohanian
Dengan beriktikaf, ia dapat menguatkan kehidupan kerohanian seorang Muslim. Di tengah kesibukan dan tekanan zaman moden, beriktikaf memberikan peluang kepada kita meningkatkan hubungan dengan Allah swt dan memperkukuh ikatan spiritual.
Menyediakan ruang refleksi dan kontemplasi
Dalam masyarakat Singapura yang serba cepat dan sibuk, beriktikaf memberikan kesempatan bagi seorang Muslim untuk merenungkan tujuan hidup, menilai perkembangan kerohanian mereka, dan merencanakan langkah-langkah untuk peningkatan diri.
Mempereratkan hubungan dengan masjid atau institusi Islam
Iktikaf juga dapat memperteguhkan hubungan sesama masjid atau institusi Islam sebagai pusat kegiatan keagamaan dan sosial dalam masyarakat Muslim di Singapura. Melalui amalan ini, masyarakat yang terlibat akan aktif dengan pelbagai aktiviti dan program. Ia juga dapat mempereratkan silaturahim di antara sesama umat Islam.
Qiam dari perkataan asalnya dalam bahasa Arab ialah qowama yang bermaksud berdiri.
Qiam yang dimaksudkan di sini ialah menghidupkan malam hari dalam Ramadan dengan beribadat kepada Allah swt, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir, yang di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Dalam Ramadan, kita digalakkan menunaikan solat-solat sunat yang dikenali dengan solat tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian, solat tahajud, solat hajat, solat taubat dan solat witir.
Terdapat sepotong hadis yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiamullail. Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (HR Bukhari).
Sama ada kita berkesempatan mendirikan solat-solat malam secara bersendirian atau berjemaah di masjid, kedua-duanya adalah peluang keemasan yang harus kita kejarkan, terutama pada malam-malam terakhir Ramadan.
Tanpa kita sedari, Ramadan ini banyak mengajarkan kepada kita erti disiplin diri dengan bangun seawal pagi demi bertemu Sang Kekasih.
Tambahan pula, amalan ini dapat membantu memperkukuhkan nilai-nilai kebaikan dan moral dalam masyarakat serta membimbing individu untuk hidup lebih bermakna dan bertanggungjawab.
Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah swt untuk meraih keuntungan besar dari Ramadan adalah melalui bersedekah.
Islam sering menganjurkan umatnya untuk memperbanyakkan bersedekah. Ini kerana nilai bersedekah dalam bulan barakah ini sangat besar tanpa kita sedari.
Walaupun ekonomi di Singapura yang kian meningkat kos saranya, ini tidak menghambat diri seorang insan untuk bersedekah, berinfak mahupun mengeluarkan zakat harta jika sudah cukup nisab.
Di antara keutamaan bersedekah dalam bulan ini ialah mendapatkan pahala yang berlipat ganda, meningkatkan rasa simpati dan menebarkan kebaikan kepada orang lain. Dengan adanya wadah bersedekah secara dalam talian menjadikan sedekah semakin mudah.
Pada 10 malam terakhir Ramadan adalah waktu yang istimewa bagi umat Islam untuk meningkatkan amalan ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah swt, terutama lailatulqadar.
Dengan mempraktikkan semua amalan yang tertera dengan penuh kesungguhan, umat Islam dapat mengisi tempoh ini dengan pelbagai ibadat yang berharga, serta meraih keberkatan dan keampunan daripada Allah swt.
Ustazah Norhidayah Mohamed Noor ialah pengarah pengasas Arabic Edu Hub (Bahasa Arab & Al-Quran). Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pengiktirafan Tahap 1 Skim Pengiktirafan Asatizah.
“
Malam lailatulqadar bukan sahaja dikenali sebagai salah satu malam yang mempunyai keutamaan yang melimpah, bahkan dipercayai lebih mulia dibanding 1,000 bulan. Maka tidak hairanlah ia amat dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Pada 10 malam terakhir Ramadan, jangan sia-siakan setiap detiknya. Setiap amalan kecil yang dilakukan dengan ikhlas dapat membawa berkat yang besar. Mari manfaatkan setiap peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan memohon keberkatan-Nya. Semoga kita diberkati dan diberi kesempatan untuk bertemu dengan malam lailatulqadar ini.“
“Carilah lailatulqadar pada malam yang ganjil pada 10 malam yang akhir dari Ramadan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg