Perkahwinan dalam Islam merupakan satu amanah dan ibadah yang menuntut kasih sayang, pengorbanan serta tanggungjawab bersama.
Ia menjadi asas penting dalam pembentukan keluarga yang sakinah (ketenangan), mawaddah (rasa cinta) dan rahmah (rasa belas kasihan).
Seiring dengan usaha memperkukuh nilai ini, forum Bersamamu sempena Pesta Keluarga Nasional 2025 telah diadakan pada 1 Jun di Singapore Expo, khusus untuk membincangkan peranan dan cabaran dalam membina institusi rumah tangga masyarakat Islam Singapura.
Forum yang bertemakan Perkahwinan: Sebuah Perjalanan Cinta Sejati itu dihadiri lebih 200 peserta dan dianjurkan oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), serta rakan kongsi masyarakat seperti Yayasan Mendaki, Masjid Darul Ghufran, Bapa Sepanjang Hayat, KidSTART, M Kuasa Tiga (M3) @Tampines dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, turut hadir selaku tetamu terhormat.
Panelis yang diundang untuk membincangkan isu-isu tersebut adalah tiga pakar tempatan, iaitu presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang juga Naib Kadi, Ustaz Mohammad Tarmizi Abdul Wahid; Pengasas IlmHub, Ustazah Shameem Sultanah; dan Pakar Terapi Kanan PPIS, Cik Nabilah Bagarib.
Selebriti tempatan, Marina Yusoff, bertindak sebagai moderator forum tersebut.
Forum dimulakan dengan soalan daripada moderator kepada Ustaz Tarmizi mengenai definisi cinta sejati, cara mengenali pasangan yang sesuai dan sama ada insan yang telah kita pilih itu adalah pilihan yang tepat.
Dalam menjawab pertanyaan tersebut, Ustaz Tarmizi menjelaskan bahawa kita tidak akan benar-benar mengetahui sama ada pasangan itu pilihan yang tepat sehingga kita melalui liku-liku kehidupan bersama, termasuk cabaran dan ujian.
Di samping memberikan contoh beberapa pasangan yang sedang melalui ujian kehidupan, Ustaz Tarmizi menasihatkan agar pasangan bersedia membincangkan isu-isu sukar secara terbuka dan jujur, kerana perbincangan yang ikhlas mampu memperkukuhkan lagi ikatan cinta.
Ustazah Shameem turut mengulas tentang trend semasa dalam kalangan golongan muda mengenai perkahwinan.
Beliau menjelaskan terdapat kecenderungan segelintir mereka untuk tidak mahu berkahwin kerana bimbang kehilangan kebebasan, kebimbangan terhadap kehamilan, serta hubungan dengan mentua.
Perasaan takut atau bimbang itu disebabkan ketidakpastian atau kesamaran kepada perkara yang bakal berlaku, tambahnya.
Namun, di sebalik ketidakpastian itu ada ruang untuk pembangunan diri, sama ada daripada aspek pemikiran, emosi dan keimanan.
Beliau memberi contoh Nabi Musa as di mana selepas hidup selesa sejak kecil di istana Firaun, baginda kemudian melarikan diri dan bersembunyi selama lapan tahun untuk mengelakkan diri daripada kezaliman Firaun.
Dalam tempoh lapan tahun itu, baginda mendapat pekerjaan dan berkahwin, lantas datang perintah kepadanya untuk berjumpa dan berdakwah dengan Firaun.
Ustazah Shameem menjelaskan bahawa Allah swt sebenarnya boleh sahaja memerintahkan Nabi Musa as untuk segera bertemu Firaun.
Namun, Allah swt membiarkan baginda melalui suatu tempoh yang menjadikannya lebih matang dan sekali gus lebih bersedia untuk menghadapi musuhnya.
Ustazah Shameem turut memberikan contoh lain, iaitu Siti Hajar ketika menghadapi ujian berat apabila ditinggalkan di padang pasir oleh suaminya, Nabi Ibrahim as.
Beliau berulang kali berlari antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah untuk mencari air, sehingga akhirnya diberikan oleh Allah swt anugerah air iaitu air zamzam.
Rahsia di sebalik anugerah tersebut ialah sikap Siti Hajar yang berpegang teguh kepada Allah swt, kerana sesiapa yang bersandar kepada-Nya pasti tidak akan disia-siakan.
Ketika ditanya mengenai perkara yang perlu diketahui oleh pasangan sebelum mendirikan rumah tangga, Cik Nabilah berkongsi empat nilai asas penting.
Pertama, sikap saling menghormati; kedua, mewujudkan rasa tenang dan selamat ketika bersama pasangan; ketiga, menunjukkan kasih sayang dengan cara yang diinginkan oleh pasangan; dan keempat, menzahirkan rasa kasih serta empati kepada pasangan.
Empat nilai ini penting untuk membantu pasangan menangani perbezaan yang wujud kerana mereka dibesarkan dalam suasana dan nilai yang berbeza, di samping saling memahami keperluan masing-masing dan memaafkan apabila berlaku kesilapan.
Cik Nabilah menegaskan bahawa jika cinta diibaratkan seperti api, maka empat nilai ini adalah bahan bakarnya agar api cinta terus menyala.
Dalam pusingan kedua forum, Ustaz Tarmizi berkongsi pandangannya tentang langkah yang boleh diambil oleh suami untuk mengukuhkan hubungan dengan pasangan serta ibu bapa atau mentua.
Beliau menceritakan pengalamannya apabila dihubungi seorang isteri yang ingin bercerai kerana berasakan suaminya hanya mementingkan perasaan ibunya dan mengabaikan perasaannya sebagai isteri.
Ustaz Tarmizi menegaskan bahawa realitinya, hubungan antara pasangan dengan mentua dan ipar-duai adalah sesuatu yang bukan mudah namun perlu ditangani dengan tenang dan hikmah.
Daripada perspektif seorang suami, menurutnya, pasti akan ada masa suami berada dalam situasi yang memerlukan mereka membuat pilihan untuk mengutamakan sama ada isteri atau ibu.
Dalam hal ini, Ustaz Tarmizi mengusulkan agar suami bersikap diplomatik dan menggunakan pendekatan bergilir, di mana suami perlu bersikap lembut namun tegas dengan menyatakan keperluan untuk memberi masa dan tumpuan kepada satu pihak dalam satu-satu masa.
Jika ada pihak yang berkecil hati, suami hendaklah memujuk mereka dengan sabar dan kelembutan.
Ustaz Tarmizi kemudian menasihati para isteri agar cuba mempunyai empati dan memahami pemikiran suami.
Ini kerana sejak kecil, ramai lelaki dididik dan diingatkan tentang kewajipan berbakti kepada ibu mereka.
Oleh itu, apabila perlu berbincang, lakukanlah dengan cermat, penuh rasa hormat dan berhikmah, termasuk memilih masa dan perkataan yang sesuai ketika berbicara.
Ustazah Shameem turut ditanya cara mengimbangi jangkaan dan harapan pasangan serta keluarga.
Beliau menjelaskan bahawa mengimbangi jangkaan kedua-dua pihak merupakan satu cabaran berterusan dan bukan sesuatu yang mudah.
Justeru, beliau berkongsi satu konsep yang beliau namakan sebagai ‘DBS’ – Doa, Barakah dan Sacrifice (doa, memohon keberkatan dan pengorbanan).
Menurutnya, sebagai manusia, kita mempunyai keupayaan yang terhad.
Oleh itu, doa menjadi bekalan yang penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Beliau memberi contoh doa Nabi Musa as (doa penerang hati) yang boleh diamalkan.
Barakah pula merujuk kepada permohonan keberkatan dalam masa dan usaha kita.
Apabila usaha kita diberkati Allah swt, walaupun masa bersama pasangan dan anak mungkin terhad akibat tuntutan kerja dan tanggungjawab lain, masa yang sedikit itu tetap memberi kesan yang besar dan berpanjangan.
Sacrifice atau pengorbanan pula adalah satu sikap penting dalam kehidupan berkeluarga.
Ia mengajar kita untuk mendahulukan kebajikan orang lain sebelum diri sendiri.
Ustazah Shameem mencontohkan Sayidatina Khadijah ra, seorang usahawan berjaya yang sanggup berkorban demi suaminya, Nabi Muhammad saw.
Disebabkan pengorbanan dan kesetiaannya, beliau dijanjikan syurga oleh Allah swt.
Sudut komunikasi dalam rumah tangga turut disentuh oleh Cik Nabilah, yang berkongsi pandangan tentang bagaimana pasangan boleh memelihara dan memperkukuh hubungan mereka, khususnya ketika berhadapan dengan konflik dan perasaan negatif yang mendalam.
Menurut beliau, pasangan “perlu berkonflik dengan cara yang berkesan”.
Apa yang dimaksudkan adalah memahami jenis-jenis konflik dan memilih cara komunikasi yang sesuai mengikut masa dan keadaan.
Tambah beliau, penting untuk pasangan mengenal pasti tujuan sebenar di sebalik konflik yang berlaku.
Adakah ia sekadar meluahkan perasaan kerana rasa tidak puas hati?
Atau sekadar ingin didengari dan difahami? Atau semata-mata ingin menang dalam perbalahan?
Cik Nabilah kemudian berkongsi satu pendekatan yang dinamakan konsep ‘3H’ dalam komunikasi antara pasangan, iaitu:
1) To be heard (untuk didengar)
2) To be hugged (untuk dipeluk)
3) To help (untuk dibantu)
Beliau menjelaskan bahawa ada kalanya seorang isteri hanya ingin meluahkan perasaan agar suaranya didengar dan difahami – bukan untuk diberikan penyelesaian.
To be hugged (untuk dipeluk) merujuk kepada keperluan memenuhi jangkaan pasangan terhadap sentuhan fizikal yang menenangkan, seperti pelukan.
Menurut Cik Nabilah, sentuhan sebegini mampu menenangkan sistem saraf dan ia bukanlah keperluan bagi kaum isteri sahaja, tetapi turut penting bagi para suami.
Akhir sekali, to help (untuk dibantu) menekankan keperluan menawarkan bantuan atau meminta pertolongan apabila diperlukan.
Pada penghujung forum, para peserta berpeluang mengemukakan soalan kepada panelis berkenaan topik yang dibincangkan.
Forum Bersamamu, yang diadakan serentak dengan sambutan Pesta Keluarga Nasional 2025, menjadi wadah bermakna untuk memperkukuh nilai kekeluargaan serta menanamkan erti cinta sejati dalam institusi perkahwinan – khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
Sokongan daripada badan dan agensi pemerintah kepada pasangan suami isteri adalah berterusan.
Maka para pasangan digalakkan merujuk kepada agensi tersebut bagi mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Penulis ialah naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Ketua Pembangunan Belia dan Keluarga, Masjid Darul Ghufran. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam kuliah Aqidah dan Falsafah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
“
“Forum Bersamamu, yang diadakan serentak dengan sambutan Pesta Keluarga Nasional 2025, menjadi wadah bermakna untuk memperkukuh nilai kekeluargaan serta menanamkan erti cinta sejati dalam institusi perkahwinan – khususnya dalam kalangan masyarakat Islam. Sokongan daripada badan dan agensi pemerintah kepada pasangan suami isteri adalah berterusan. Maka para pasangan digalakkan merujuk kepada agensi tersebut bagi mendapatkan bantuan apabila diperlukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg