Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luang masa dalami kelebihan Rejab

Antara empat bulan dihormati dalam Islam; usah zalimi diri dengan sengketa, perpecahan dan racuni hubungan sesama manusia
Jan 10, 2025 | 5:30 AM
Ulama sangat menggalakkan setiap Muslim memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat, berdoa, bersedekah, berbakti kepada jiran tetangga dan berpuasa pada bulan-bulan haram, termasuk Rejab, kerana setiap kebaikan dalam bulan haram akan digandakan kerana kesucian bulan tersebut.
Ulama sangat menggalakkan setiap Muslim memperbanyakkan amalan soleh seperti solat sunat, berdoa, bersedekah, berbakti kepada jiran tetangga dan berpuasa pada bulan-bulan haram, termasuk Rejab, kerana setiap kebaikan dalam bulan haram akan digandakan kerana kesucian bulan tersebut. - Foto ISTOCKPHOTO

Tatkala penduduk dunia merai kemunculan tahun baru 2025, umat Islam melangkah masuk ke bulan Islam yang baru, iaitu Rejab.

Rejab merupakan bulan ketujuh dalam kalendar Islam, dan ulama mengatakan bahawa ia dinamakan Rejab kerana masyarakat Arab pada zaman jahiliah mengagungkan bulan ini memandangkan ia tergolong dalam bulan-bulan haram.

Allah swt berfirman tentang bulan haram yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” (Surah At-Taubah: 36).

Empat bulan haram yang dimaksudkan ialah Muharam, Zulkaedah, Zulhijah dan Rejab.

Ulama hadis mengatakan bahawa Rejab secara tersendiri tidak mempunyai fadilat khusus kerana hadis-hadis mengenainya sangat lemah atau palsu.

Namun, sebahagian ulama menyebut beberapa perkara yang boleh dikupas berkaitan Rejab.

Usah zalimi diri

Antara hukum berkenaan bulan haram ialah dilarang pertumpahan darah dan peperangan pada bulan-bulan tersebut, kerana kesucian bulan-bulan itu.

Allah swt berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan haram yang dihormati, katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar.” (Surah Al-Baqarah: 217).

Begitu juga setiap bentuk kezaliman dilarang pada bulan itu kerana Allah swt juga berfirman: “Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)”. (Surah At-Taubah: 36).

Kita diberi amaran supaya tidak menzalimi diri sendiri dengan melakukan maksiat pada bulan-bulan suci itu kerana dosa mencabul kehormatan bulan-bulan suci itu sama seperti melakukan maksiat yang kecil dosanya di tempat suci, seperti Tanah Haram, yang menggandakan dosa tersebut.

Ia adalah satu perkara yang jarang diketahui ramai.

Maka janganlah kita terus-menerus menzalimi diri dengan membenarkan diri kita terjerumus ke dalam dosa yang hanya akan membawa kerugian di dunia dan akhirat.

Begitu juga, jangan biarkan sembarang persengketaan, dan perpecahan di antara kita terus meracuni hubungan sesama manusia.

Inilah cara kita dapat mematuhi perintah Allah swt agar tidak menzalimi diri sendiri pada bulan mulia ini.

Bulan undang pahala

Sebagaimana dosa digandakan pada Rejab, begitu juga pahala amalan soleh digandakan pada bulan-bulan mulia.

Ulama sangat menggalakkan setiap Muslim memperbanyak amalan soleh seperti solat sunat, berdoa, bersedekah, berbakti kepada jiran tetangga dan berpuasa pada bulan-bulan haram kerana setiap kebaikan akan digandakan kerana kesucian bulan tersebut.

Namun, tiada hadis sahih yang menetapkan hari tertentu serta solat tertentu pada Rejab kerana hadis yang berkaitan dengannya lemah atau rekaan.

Kita harus berhati-hati dalam menyebarkan maklumat, khususnya di media sosial, dan menyelidik dahulu sebelum menisbahkan sesuatu kepada Rasululllah saw, kerana ia merupakan satu jenayah yang sangat besar di sisi agama.

Sabda Baginda saw: “Janganlah kalian berdusta atas namaku, kerana sesiapa yang berdusta atas namaku, maka hendaklah dia bersiap memasuki neraka.” (HR Bukhari).

Sebagaimana kita berhati-hati dengan berita palsu, begitu juga kita sebagai seorang Muslim harus menyelidik dan bertanya dahulu sebelum menyebarkan sesuatu berkenaan agama Allah swt.

Bulan Israk Mikraj

Antara peristiwa ajaib yang berlaku dalam sejarah Baginda saw ialah Israk dan Mikraj, iaitu peristiwa Nabi Muhammad saw dibawa ke Baitulmakdis dan kemudian diangkat ke langit tujuh untuk bertemu Allah swt.

Ulama berbeza pandangan mengenai bila peristiwa itu berlaku, namun pendapat paling masyhur dan muktamad dalam mazhab Syafii ialah ia berlaku pada Rejab.

Peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi banyak pengajaran penting, antaranya ialah keutamaan solat sebagai satu ibadah yang sangat tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Allah swt tidak mensyariatkan solat lima waktu hanya dengan menurunkannya kepada Baginda saw, tetapi perintah itu diberikan di tingkatan langit tertinggi secara langsung kepada Rasulullah saw tanpa perantaraan.

Ini menunjukkan kepentingan solat lima waktu dan signifikannya sebagai sebahagian daripada identiti seorang Muslim.

Ini boleh melahirkan kesedaran pada kita untuk merenung kembali bagaimana hubungan kita dengan solat lima waktu.

Adakah anda baru mula tekal dalam menunaikan solat lima waktu?

Maka Rejab kali ini boleh menjadi peluang bagi anda melakukannya dan menghayati kepentingan solat yang perintahnya diturunkan pada bulan ini.

Bagi mereka yang sudah tekal solat setiap hari, sejauh mana khusyuknya anda?

Adakah anda memastikan setiap rukun dan bacaan dilakukan dengan sempurna?

Ambillah peluang ini untuk mendalami ilmu tentang hukum-hakam solat dan pelajari bacaan yang berbeza agar anda dapat meningkatkan solat ke tahap yang lebih baik.

Bulan persiapan bagi bulan mendatang

Ulama menyifatkan Rejab sebagai pembuka kepada musim penuh kebaikan dan keberkatan.

Dalam kitab Lataif Al-Maarif, tulisan Imam Ibn Rajab al-Hanbali, beliau menggambarkan tahun ibarat sebuah pohon, dengan Rejab sebagai masa ketika daun-daun pokok itu mula menghijau dan berkembang.

Syaaban pula adalah masa pokok itu tumbuh subur dengan banyak cabang, manakala Ramadan diibaratkan sebagai waktu buahnya masak dan untuk dipetik.

Melalui perumpamaan itu, Rejab dilihat sebagai peluang bagi kita memulakan persediaan diri dalam menyambut keberkatan Ramadan yang bakal tiba.

Ini adalah waktu yang baik untuk memperbaharui niat dan azam, seiring dengan memasuki tahun baru, agar kita dapat membersihkan hati dan jiwa, serta mempersiapkan diri untuk menerima segala rahmat dan keampunan yang diturunkan pada bulan mendatang, termasuk Ramadan.

Rejab menjadi satu titik permulaan untuk menanam benih keimanan dan ketakwaan yang akan dapat dilihat hasilnya pada Ramadan.

Ia bulan bagi kita lebih bersemangat dan lebih mudah untuk memperbanyakkan amalan soleh serta menahan panggilan syaitan dan nafsu.

Maka apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memanjatkan doa kepada Allah swt agar diberi taufik kepada kita, menggerakkan hati kita, dan memberikan panduan untuk meraih manfaat dari bulan ini.

Dan perbanyakkanlah doa, seperti yang masyhur: Allahumma Barrik lana fii Rejab wa Sya’ban wa balighna Ramadan, yang bermaksud: “Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada Ramadan.”

Artikel ini sumbangan Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg