Topik diikuti
Pergi ke BHkuMakna ihsan, adil terhadap pekerja dalam Islam
Setiap pekerja berhak dihormati, dihargai tanpa kira kerja
Setiap tahun, Hari Pekerja disambut sebagai penghargaan kepada sumbangan golongan pekerja dalam membangunkan ekonomi dan masyarakat.
Walaupun sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei telah berlalu, persoalan tentang makna sebenar penghargaan terhadap pekerja wajar terus direnungi.
Di sebalik sambutan itu, wujud satu kelompok yang sering kurang diberi perhatian – mereka yang bekerja di belakang tabir tanpa pengiktirafan sewajarnya.
Golongan itu termasuk pekerja pembersihan, penghantar makanan, pekerja binaan, pengawal keselamatan dan ramai lagi yang menjalankan tugas penting setiap hari.
Walaupun peranan mereka amat ketara dalam memastikan kelancaran kehidupan harian, mereka sering kali dianggap ‘tidak kelihatan’ dalam masyarakat.
Di Singapura, sumbangan mereka amat besar. Tanpa mereka, bandar tidak akan sentiasa bersih, bangunan tidak akan berdiri megah dan perkhidmatan harian tidak akan berfungsi dengan lancar.
Namun persoalannya sejauh mana kita benar-benar menghargai mereka?
Nilai manusia bukan pada kerja
Dalam dunia moden, nilai seseorang sering diukur berdasarkan status pekerjaan, tahap pendidikan atau pendapatan.
Mereka yang bekerja di pejabat atau sektor profesional sering mendapat lebih penghormatan berbanding mereka yang melakukan kerja fizikal.
Namun, Islam menolak penilaian sebegitu.
Dalam ajaran Islam, kemuliaan seseorang tidak ditentukan oleh jenis pekerjaan, sebaliknya oleh ketakwaan dan akhlaknya.
Setiap pekerjaan yang halal adalah mulia di sisi Allah swt.
Seorang pekerja pembersihan yang jujur dan amanah lebih mulia daripada seseorang yang berpangkat tinggi tetapi tidak memiliki kewibawaan.
Prinsip ini mengingatkan bahawa semua pekerjaan yang halal mempunyai nilai dan maruah tersendiri.
Nabi Muhammad saw memberikan contoh yang sangat jelas dalam menghargai setiap individu tanpa mengira kedudukan.
Baginda tidak membezakan layanan antara golongan kaya dengan miskin, atau antara mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dengan rendah.
Dalam kehidupan harian, Baginda saw menghormati semua orang, termasuk mereka yang melakukan kerja yang dianggap biasa oleh masyarakat.
Salah satu prinsip penting yang diajarkan oleh Baginda ialah keadilan terhadap pekerja, termasuk memastikan mereka menerima hak dengan segera dan tidak dizalimi.
Ini menunjukkan dalam Islam, pekerja bukan sekadar tenaga kerja, tetapi manusia yang mempunyai maruah dan hak.
Islam dan keadilan sosial
Dalam kehidupan harian, ramai antara kita mungkin berinteraksi dengan pekerja ini tanpa benar-benar menyedari kewujudan mereka.
Kita berjalan di bangunan yang bersih tanpa memikirkan siapa yang membersihkannya.
Kita menerima makanan yang dihantar tanpa memikirkan cabaran yang dihadapi penghantar tersebut.
Lebih membimbangkan, ada kalanya golongan ini berdepan dengan layanan yang kurang baik – dipandang rendah dan diabaikan, bukan sebagai insan yang mempunyai maruah dan perasaan.
Dalam ekonomi moden, terutama dengan peningkatan ekonomi gig, ramai pekerja juga berdepan ketidakstabilan pendapatan, tekanan masa dan kekurangan perlindungan sosial.
Keadaan itu menjadikan mereka lebih terdedah kepada keletihan dan ketidakadilan.
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan.”
Ayat ini menunjukkan Islam sangat menekankan keadilan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam hubungan antara majikan, pekerja dan masyarakat.
Konsep keadilan menuntut agar setiap individu diberikan haknya tanpa diskriminasi.
Ini termasuk hak dihormati, dilayan dengan baik dan diberi ganjaran yang adil atas usaha mereka.
Selain itu, Islam juga mengajar konsep ihsan, iaitu berbuat baik melebihi apa yang diwajibkan.
Dalam konteks ini, menghargai pekerja bukan sekadar memenuhi tanggungjawab minimum, malah melibatkan sikap empati, penghormatan dan keprihatinan.
Pada masa yang sama, Islam melarang sebarang bentuk kezaliman terhadap manusia, termasuk dalam urusan pekerjaan.
Firman Allah swt dalam Surah Hud, ayat 85: “Dan janganlah kamu mengurangkan hak-hak manusia…”
Prinsip ini menegaskan bahawa setiap pekerja berhak mendapat layanan yang adil dan tidak dizalimi.
Keadilan dalam Islam bukan sekadar prinsip yang diucapkan, tetapi tanggungjawab yang perlu dizahirkan dalam setiap interaksi harian.
Cara kita melayan pekerja – sama ada dengan hormat atau sebaliknya, mencerminkan nilai sebenar yang kita pegang.
Dalam dunia yang semakin menilai manusia berdasarkan fungsi dan hasil, Islam mengingatkan setiap insan mempunyai maruah yang wajib dipelihara.
Apabila keadilan dan ihsan menjadi asas dalam hubungan kerja, barulah terbina masyarakat yang bukan sahaja berdaya penghasilan tinggi, malah berperikemanusiaan dan diberkati.
Sikap hormat sesama insan
Menghargai pekerja tidak semestinya memerlukan tindakan besar atau perubahan sistem yang kompleks.
Ia boleh bermula dengan perkara kecil dalam interaksi harian yang sering kita anggap remeh, namun membawa makna yang besar kepada maruah seorang insan.
Antaranya ialah dengan memberi salam dan senyuman ketika berurusan, sebagai tanda penghormatan sesama manusia.
Mengucapkan terima kasih atas khidmat yang diberikan, walaupun ia kelihatan kecil, sebenarnya mengiktiraf usaha dan tenaga yang dicurahkan oleh seseorang pekerja.
Selain itu, menghormati usaha mereka juga bermaksud tidak memperlekeh atau memperkecilkan kerja yang dilakukan, walaupun ia mungkin kelihatan mudah.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelakkan sikap memandang rendah pekerjaan tertentu hanya kerana status sosial atau jenis tugas yang dilakukan.
Perubahan sikap ini mungkin kelihatan kecil dan tidak ketara pada pandangan sesetengah pihak, namun kesannya sangat besar terhadap maruah, motivasi dan kesejahteraan seseorang pekerja.
Satu ucapan yang baik atau sikap yang menghormati boleh memberi makna mendalam kepada mereka yang sering bekerja di belakang tabir tanpa perhatian.
Lebih penting lagi, cara kita melayan pekerja mencerminkan akhlak dan nilai seorang Muslim yang sebenar.
Islam mengajar umatnya untuk menilai manusia bukan berdasarkan kedudukan atau pekerjaan mereka, namun berdasarkan nilai kemanusiaan yang sama di sisi Allah swt.
Apabila kita membiasakan diri dengan sikap hormat dan ihsan dalam setiap interaksi, ia bukan sahaja memuliakan orang lain, malah membentuk peribadi kita sendiri sebagai insan yang beradab dan berperikemanusiaan.
Kesimpulan
Hari Pekerja bukan sekadar tentang menghargai sumbangan ekonomi, malah tentang mengiktiraf nilai kemanusiaan di sebalik setiap pekerjaan.
Ia mengajak kita untuk melihat semula bagaimana kita melayan orang lain bukan berdasarkan status atau pekerjaan mereka, namun sebagai insan yang mempunyai maruah dan perasaan.
Dalam dunia yang semakin sibuk dan berorientasikan hasil, mudah untuk kita terlepas pandang perkara asas ini.
Namun, Islam sentiasa mengingatkan kemuliaan terletak pada akhlak dan keadilan.
Akhirnya, golongan pekerja ini sebenarnya merupakan tulang belakang kepada kehidupan harian kita.
Tanpa mereka, banyak perkara yang kita anggap biasa tidak akan dapat berjalan seperti sepatutnya.
Hari Pekerja seharusnya menjadi peringatan setiap pekerjaan yang halal mempunyai nilai dan setiap pekerja berhak dihormati.
Apabila kita mula melihat golongan pekerja ini sebagai insan yang dimuliakan oleh Allah swt, barulah kita benar-benar memahami makna penghargaan yang sebenar.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
