Sebagai salah seorang naib kadi serta jurunikah di Singapura, ramai pasangan sering berkongsi dengan saya kisah detik manis pertemuan mereka.
Sudah tentu platform pertemuan anak muda hari ini tidak sama dengan cara datuk nenek kita pada zaman dahulu.
Kini ada pasangan yang bertemu di media sosial, seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
Terkini antara yang menjadi wadah pertemuan adalah aplikasi ‘Muzmatch’ dan sebagainya.
Tidak kurang juga yang bertemu ketika di tempat kerja atau sejak di bangku sekolah.
Masih ada juga pasangan yang bertemu hasil perkenalan oleh saudara-mara serta sahabat handai masing-masing.
Saya memberitahu bakal mempelai bahawa apa jua cara atau kisah pertemuan mereka dengan pasangan masing-masing, semua itu merupakan kisah dan sejarah unik bagi setiap pasangan.
Namun saya sering menekankan sewaktu sesi temu duga yang dijalankan secara bersemuka dalam program Bersamamu, salah satu garis masa terpenting dalam kehidupan setiap pasangan suami isteri adalah saat mereka diijabkabulkan.
Program Bersamamu merupakan program apabila kadi dan naib kadi memberi bimbingan kepada pasangan sebelum dan selepas perkahwinan sepanjang dua tahun pertama pernikahan mereka.
Ketika seorang lelaki melafazkan: “Aku terima nikahnya”, itulah detik yang paling bermakna dan terpenting dalam kehidupan seorang mukmin.
Saat lafaz ‘aku terima nikahnya’ itu merupakan detik apabila dua jiwa bersatu, melangkah bersama ke arah satu perjalanan hidup, berlandas cinta, tanggungjawab dan keredaan Tuhan yang satu.
Kami sering tekankan agar kita perlu faham pengertian perkahwinan dan tujuan perkahwinan itu apabila ingin mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan merupakan salah satu institusi yang diberkati, dipelihara oleh undang-undang syariah yang teliti serta memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia ini.
Perkahwinan bukan sekadar ikatan perjanjian yang tertera di dalam sijil antara dua individu, bahkan ia merupakan satu ikrar suci kepada Allah swt untuk hidup bersama dengan penuh kasih sayang, saling melengkapi dan mencapai kemuncak kebahagiaan di akhirat.
Dalam konteks masyarakat Singapura yang serba moden, nilai perkahwinan tetap relevan dan amat penting untuk dihayati agar institusi keluarga terus menjadi tonggak utama masyarakat.
Perkahwinan bukan sahaja merupakan salah satu nikmat, malah perkahwinan juga merupakan tanda kekuasaan Allah swt bagi yang membolehkan manusia mencapai ketenangan jiwa dan kebahagiaan.
Allah swt berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 21:
“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenismu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Di dalam rumah tangga, pasangan suami isteri memainkan peranan sebagai pemimpin dan pembimbing antara satu sama lain.
Sebagai contoh, mereka bertanggungjawab mendidik anak-anak untuk mengenal agama dan menjadi insan yang bertanggungjawab.
Dalam suasana dunia hari ini yang penuh dengan cabaran seperti keruntuhan moral, perkahwinan menjadi benteng utama untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam keluarga serta masyarakat.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa perkahwinan di era moden menghadapi pelbagai cabaran.
Antaranya ialah tekanan ekonomi, perubahan gaya hidup dan pengaruh media sosial.
Di Singapura, kos sara hidup yang tinggi sering menjadi punca tekanan dalam perkahwinan, terutama bagi pasangan muda.
Selain itu, nilai individualisme yang semakin menonjol kadangkala menyebabkan pasangan sukar untuk bertolak ansur.
Kami akur dan faham akan perkara ini.
Maka itu di sinilah peranan agama menjadi penting dalam dunia perkahwinan era moden ini.
Saya sering memberi pesanan kepada bakal mempelai:
“Ingatlah, tiada siapa yang menjamin bahawa perjalanan rumah tangga ini senang. Tetapi dengan adanya agama, mudah-mudahan ia menjadi tenang.”
Kita juga sedia maklum akan kehidupan kita hari ini yang agak sukar untuk mengelak daripada media sosial, walaupun bermanfaat, ia juga sering menjadi sumber konflik apabila ia disalahgunakan.
Contohnya, penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menyebabkan ketidakpercayaan atau perbandingan yang tidak sihat antara pasangan.
Dalam keadaan ini, adalah penting bagi pasangan untuk mengamalkan komunikasi yang jujur dan membina, serta menjadikan agama sebagai panduan untuk mengatasi masalah.
Amal sikap sabar dan syukur
Dalam setiap perkahwinan, pasti ada cabaran. Rasulullah saw bersabda:
“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.”
Kesabaran dan sikap saling menghargai adalah kunci untuk menangani cabaran dalam rumah tangga.
Bina komunikasi berkesan
Dalam era moden, komunikasi yang berkesan menjadi kunci kepada perkahwinan yang bahagia.
Pasangan suami isteri harus meluangkan masa untuk berbincang, memahami keperluan antara satu sama lain dan menyelesaikan masalah bersama.
Elakkan bersikap egois atau menganggap pasangan memahami tanpa penjelasan yang jelas.
Cari ilmu dan baiki diri
Menghadiri kursus perkahwinan atau bengkel keluarga juga boleh membantu memperkukuh hubungan.
Jadikan agama sebagai asas
Sentiasa kembali kepada ajaran Islam. Solat berjemaah, membaca Al-Quran bersama dan berdoa untuk kebahagiaan rumah tangga adalah antara amalan yang boleh mengeratkan hubungan.
Perkahwinan itu indah, namun tidak semua yang indah itu sempurna.
Tidak ada perkahwinan yang sempurna, tetapi setiap perkahwinan yang berlandaskan iman dan takwa mampu menjadi sumber kekuatan.
Ingatlah bahawa pasangan kita adalah anugerah Allah swt.
Hargailah mereka, walaupun dalam kekurangan, kerana cinta yang sebenar adalah tentang menerima kekurangan itu dengan penuh kasih sayang.
Penulis ialah naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), dan bekas penuntut Madrasah Al-Junied Al-Islamiah serta lulusan Kuliah Dakwah, Universiti Abu Nour, Damsyik, Syria. Beliau juga pengasas syarikat ByQunya SG.
“
Perkahwinan itu indah, namun tidak semua yang indah itu sempurna. Tidak ada perkahwinan yang sempurna, tetapi setiap perkahwinan yang berlandaskan iman dan takwa mampu menjadi sumber kekuatan. Ingatlah bahawa pasangan kita adalah anugerah Allah swt. Hargailah mereka, walaupun dalam kekurangan, kerana cinta yang sebenar adalah tentang menerima kekurangan itu dengan penuh kasih sayang.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg