Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah – demikian tajuk satu forum perdana yang bakal diadakan di Masjid Al-Taqua di Jalal Bilal, Bedok Road, pada Ahad, 15 Oktober.
Forum tersebut akan menampilkan dua penceramah undangan khas dari Malaysia iaitu Ustazah Dr Nurhafizah Musa dan Ustazah Asni Abu Mansor.
Mengulas sedikit sebagai previu kepada forum tersebut, Ustaz Abdul Manaf Rahmat, pegawai kanan agama Masjid Al-Taqua, yang akan menjadi moderator forum itu, berkata tajuk, Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah, dipilih kerana ia bersesuaian dengan sepotong hadis Nabi saw yang bermaksud “dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”. (HR Muslim).
“Wanita adalah salah satu makhluk ciptaan Allah swt yang mulia. Wanita memiliki kedudukan yang sangat agung dalam Islam.
“Islam sangat menjaga harkat, martabat seorang wanita. Wanita yang mulia dalam Islam adalah Muslimah yang solehah,” jelas Ustaz Abdul Manaf.
Menurut beliau, kededua anggota panel forum itu akan membincangkan, antara lain, ciri-ciri wanita solehah, bagaimana kaum Hawa zaman ini dapat mencapai kedudukan istimewa itu, dan cabaran yang dihadapi mereka dalam menggalas tugas sebagai ibu, isteri dan dalam konteks Singapura, sebagai karyawan atau pekerja cemerlang.
Ingin tahu apakah ciri-ciri itu? Jangan lepaskan peluang menghadiri forum ini.
Forum bermula pada 10 pagi.
Semua Muslimin dan Muslimat dipersilakan hadir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg