Sempena menyambut Hari Keluarga, Masjid An-Nur akan menganjurkan ‘Hari Usrah Saeedah’ (Hari Keluarga Bahagia) pada 8 Jun 2024.
Temasya sehari suntuk bermula 7 pagi hingga 11 malam itu bertujuan memupuk ikatan kekeluargaan yang kukuh.
Pada hari tersebut, ibu bapa, anak-anak, rakan-rakan masjid serta sukarelawan akan berkumpul untuk meneroka kegembiraan serta berkongsi pengalaman melalui penglibatan dalam kegiatan yang menyeronokkan, yang boleh mengeratkan hubungan keluarga.
Pelbagai kegiatan sudah diatur, seperti bersenam dan berjalan pantas, acara sukan melibatkan ibu bapa dan anak-anak, bengkel kaligrafi, kesihatan, sesi perbincangan remaja dan majlis tadarus serta khatam Al-Quran.
Mereka juga boleh ikut serta dalam majlis ilmu, yakni sesi ceramah agama dan forum perdana yang membina jambatan persaudaraan dengan penduduk kejiranan kawasan Woodlands dan Marsiling.
‘Hari Usrah Saeedah’ itu juga bertujuan menyemarakkan lagi usaha Masjid An-Nur menarik lebih ramai anggota masyarakat datang ke masjid dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan kekeluargaan yang telah dilakarkan.
Acara tahunan kali ini menampilkan penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara yang akan menceriakan lagi suasana karnival dan kekeluargaan.
Orang ramai dipersilakan mengambil bahagian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg