Topic followed successfully
Go to BHkuMemahami kepentingan hubungan keluarga utuh dalam Islam
Memahami kepentingan hubungan keluarga utuh dalam Islam
Memahami kepentingan hubungan keluarga utuh dalam Islam
USTAZAH IZZATI SUHAIMI
Keluarga dalam Islam
Keluarga merupakan unit kecil dalam struktur masyarakat yang dibina di atas perkahwinan atau pernikahan, terdiri daripada ayah (suami), ibu (isteri) dan anak.
Pernikahan pula adalah proses pembentukan sesebuah keluarga. Ia merupakan perjanjian yang sangat kuat, yang disebut dalam Al-Quran sebagai misthaqan galiza antara suami dengan isteri.
Dengan pernikahan, maka terbentuklah rumah tangga yang sempurna, mawaddah (kasih sayang) dan sakinah (ketenangan hati).
Aspek utama keluarga dalam Islam
Mengekalkan keluarga yang harmoni dan bahagia adalah tanggungjawab penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Perkahwinan dan keluarga dianggap sebagai institusi suci dalam Islam, dan Al-Quran menggambarkannya sebagai sumber keselesaan, cinta, dan rahmat.
Allah swt berfirman yang ertinya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum: 21).
Anjuran berkeluarga
Islam menganjurkan umatnya supaya berkeluarga, kerana pembentukan keluarga yang diniatkan kerana Allah swt akan sentiasa dinilai sebagai ibadat.
Rasulullah saw menyuruh kita berkeluarga agar semakin ramai keturunan atau generasi yang bakal taat kepada Allah swt dan Baginda juga melarang orang yang tidak mahu berkeluarga jika mereka mampu.
Hak dan tanggungjawab
Setelah bergelar suami isteri, mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama, yang menyaksikan kaum lelaki diperintahkan menjadi pelindung dan pemelihara kepada isteri.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah swt menerusi firman-Nya: “Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada hartanya.” (Surah An-Nisaa’: 34).
Pendidikan anak-anak
Setelah mempunyai anak, ibu bapa bertanggungjawab membesarkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam, mengajar mereka tentang tauhid kepada Allah swt, dan membimbing mereka ke arah kebenaran.
Berkata Sayidina Ibn Umar Al-Khattab ra dalam kitab Tuhfah al-Maudud oleh Imam Ibn Qayyim, yang bermaksud: “Didiklah anakmu, kerana sesungguhnya engkau akan dipertanggungjawabkan tentang pendidikan dan pengajaran yang engkau berikan kepadanya. Dan dia juga akan ditanya (esok) mengenai kebaikan dirimu kepadanya serta kebajikannya kepadamu.”
Firman Allah swt bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar; mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahriim: 6).
Ayat ini menegaskan bahawa, peranan suami isteri dalam keluarga adalah sama, iaitu menjaga dan mendidik anak-anak dengan nilai agama yang berterusan serta melengkapkan mereka dengan ilmu duniawi yang diperlukan.
Ini bagi memastikan agar anak-anak kekal terpandu dengan panduan Ilahi dan jauh daripada kemurkaan-Nya.
Anak-anak mempunyai hak untuk disayangi, dijaga, dan dididik. Manakala, ibu bapa digalakkan menunjukkan belas kasihan dan kebaikan terhadap mereka.
Bukan itu sahaja, bahkan peranan ibu bapa lebih daripada itu, iaitu memastikan anak-anaknya diasuh dengan ibadat dan pendidikan agama seperti mengaji, bersolat dan berpuasa.
Ibu bapa hari ini juga perlu memiliki pengetahuan untuk membimbing anak-anak dalam berhadapan dengan persekitaran kehidupan yang canggih masa kini.
Mengekalkan hubungan erat dan rasa hormat
Konsep keluarga besar adalah penting dalam Islam, dengan umat Islam digalakkan mengekalkan hubungan yang erat dengan saudara-mara dan menunjukkan rasa hormat dan kebaikan terhadap mereka.
Allah swt berfirman: “Bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisaa’: 1).
Sebagai umat Islam, kita diperintahkan mengeratkan ikatan kekeluargaan, menyelesaikan konflik melalui kemaafan dan persefahaman, dan mengutamakan hubungan dan nilai kekeluargaan yang murni.
Ahli keluarga perlu menyokong dan melindungi satu sama lain, memberi bimbingan moral dan dorongan, saling membantu menjalani kehidupan dengan akhlak mulia dan soleh.
Keperluan dalam landskap kehidupan masa kini
Dalam landskap kehidupan yang kian mencabar, ibu bapa perlu peka dengan trend masa kini dan memahami konteks semasa, agar mereka faham bagaimana memandu anak-anak mengharungi cabaran masa kini.
Ini termasuk kesediaan berbincang isu-isu sensitif, seperti pendidikan seksual, alam remaja, isu keluarga dan rumah tangga.
Ibu bapa harus tingkatkan kemahiran keibubapaan agar dapat mengharungi cabaran semasa.
Anak-anak pula, diharapkan menunjukkan rasa hormat dan taat kepada ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi mereka yang telah lanjut usia, manakala ibu bapa digalakkan supaya bersabar dan memahami anak-anak mereka.
Setiap daripada mereka digalakkan mengamalkan sikap pemaaf dan belas kasihan antara satu sama lain. Anak-anak harus bersangka baik terhadap ibu-bapa bila bercanggah dengan kemahuan diri mereka.
Kesimpulan
Dengan mengamalkan nilai-nilai mulia ini, keluarga Muslim boleh membina asas keluarga yang kukuh berdasarkan kasih sayang, rasa hormat, dan soleh, dan menjadi sumber keselesaan dan sokongan antara satu sama lain.
Ini mencerminkan keluarga sakinah yang dimahukan Allah swt bagi hamba-Nya.
Pendekatan ini juga akan dapat kita laksanakan dengan lebih berkesan jika setiap individu dalam keluarga dapat memainkan peranan masing-masing dengan meluangkan lebih banyak masa yang bermutu untuk berinteraksi bersama, berbincang mengenai semua hal, sama ada soal persekolahan, pekerjaan ataupun kehidupan.
Gunakan masa yang singkat ini sebaik mungkin agar anak-anak kita dapat merasakan pemerhatian atau keprihatinan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh daripada ibu bapa mereka.
Kesediaan mendengar luahan pendapat dan perasaan tentunya dapat membantu keharmonian keluarga sehingga dapat terjalin hubungan yang mesra.
Ini adalah modal yang paling berharga dalam membina keluarga yang utuh.
“
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”
