Topik diikuti
Pergi ke BHkuMembina keamanan bermula daripada tanggungjawab diri dan masyarakat
Islam beri panduan bagaimana manusia boleh bina ketenangan dalam diri dan pada masa yang sama menyumbang kepada keamanan orang di sekeliling
Membina keamanan bermula daripada tanggungjawab diri dan masyarakat
Setiap manusia mendambakan kehidupan yang aman.
Namun dunia hari ini terus menyaksikan peperangan, pertelingkahan dan permusuhan yang menyebabkan manusia kehilangan tempat tinggal, keluarga dan perasaan selamat.
Dalam kehidupan seharian pula, konflik mungkin berlaku dalam bentuk yang lebih dekat – dalam keluarga, antara jiran, di tempat kerja malah melalui kata-kata di media sosial.
Keadaan ini menimbulkan satu persoalan iaitu jika semua manusia inginkan keamanan, mengapakah kedamaian begitu sukar untuk dipertahankan?
Hakikatnya, keamanan tidak hadir dengan sendiri. Ia perlu dibina dan dipelihara.
Bahkan usaha membina keamanan boleh bermula daripada diri sendiri, kemudian keluarga, masyarakat dan akhirnya negara.
Bagi umat Islam, keamanan bukan sahaja berkaitan kehidupan di dunia, malah merupakan antara nikmat besar yang perlu dihargai.
Islam memberikan panduan bagaimana manusia boleh membina ketenangan dalam dirinya dan pada masa yang sama menyumbang kepada keamanan orang di sekelilingnya.
Keamanan bermula daripada diri sendiri
Keamanan yang lebih menyeluruh sebenarnya bermula daripada diri sendiri.
Seseorang yang mampu membina ketenangan dalam dirinya, mengawal emosi, menjaga tutur kata dan menghormati orang lain sedang menyumbang kepada keamanan dalam lingkungan yang mungkin kelihatan kecil, tetapi mempunyai kesan yang besar.
Dalam Islam, Allah swt menjelaskan bahawa antara sumber keamanan bagi manusia ialah pengabdian diri kepada-Nya.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-An’am ayat 82 yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Dalam Surah Quraisy pula, Allah swt mengingatkan manusia agar menyembah dan mengabdikan diri kepada-Nya kerana Dialah yang memberikan makanan ketika lapar dan perasaan aman dalam diri apabila dalam ketakutan.
Di samping kekuatan rohani, Islam juga mengajar umatnya agar menjaga keperluan fizikal dan kehidupan dengan sebaiknya, seperti mempelajari ilmu, menghiasi diri dengan akhlak yang baik, menjaga kesihatan dan melakukan perkara-perkara yang dapat menggalakkan kehidupan yang sejahtera.
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bangun pada waktu pagi dalam keadaan aman pada dirinya, sihat tubuh badannya dan cukup makanan sehariannya, maka seolah-olah dunia telah dikumpulkan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan bahawa rasa aman merupakan antara nikmat besar dalam kehidupan.
Apabila seseorang mempunyai kekuatan rohani, mental dan fizikal yang baik, kesan dan manfaatnya bukan sahaja dirasakan oleh dirinya, tetapi juga oleh mereka yang berada di sekelilingnya.
Kedamaian dibina dari rumah
Dalam kehidupan rumah tangga, kedamaian dan ketenangan yang diimpikan memerlukan usaha bersama suami dan isteri.
Begitu juga dalam keluarga, setiap anggotanya perlu sama-sama berusaha menghidupkan suasana kasih sayang, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Rumah merupakan antara tempat pertama seseorang belajar tentang keamanan.
Di situlah seorang anak belajar bagaimana perbezaan diselesaikan, bagaimana kemarahan dikawal, bagaimana kesalahan dimaafkan dan bagaimana orang lain dihormati.
Apabila rumah menjadi tempat yang menyemaikan kasih sayang dan nilai-nilai yang murni, nilai tersebut akan turut dibawa bersama apabila seseorang berinteraksi dengan masyarakat.
Keluarga yang baik dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni, manakala masyarakat yang harmoni pula menyediakan suasana yang baik untuk keluarga terus berkembang.
Justeru, keamanan sesebuah masyarakat tidak boleh dipisahkan daripada apa yang berlaku dalam keluarga.
Nilai seperti kasih sayang, tanggungjawab, keadilan dan saling menghormati yang dipupuk di rumah boleh menjadi asas kepada hubungan yang lebih baik dalam masyarakat.
Hidup bersama dalam perbezaan
Keamanan juga bukan sekadar keadaan apabila tiada peperangan atau pertelingkahan berlaku.
Sebuah masyarakat mungkin kelihatan tenang, tetapi keamanan yang sebenar memerlukan suasana yang selamat, keadilan, saling menghormati dan kesediaan untuk menyelesaikan perbezaan tanpa permusuhan.
Dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya seperti Singapura, keamanan juga bergantung pada kesediaan kita untuk hidup bersama dalam perbezaan.
Kita tidak perlu mempunyai pandangan, kepercayaan atau cara hidup yang sama untuk saling menghormati.
Namun kita perlu mengetahui batas dalam berbicara, mengelakkan prasangka dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk merendahkan orang lain.
Kehidupan yang aman tidak bermakna manusia tidak akan pernah berselisih.
Perbezaan pandangan dan salah faham tetap akan berlaku dalam keluarga, masyarakat mahupun kehidupan dalam sesebuah negara.
Yang penting adalah bagaimana perselisihan itu diuruskan.
Ada waktunya keamanan memerlukan seseorang merendahkan ego, meminta maaf, memaafkan dan membuka ruang untuk membaiki hubungan yang telah renggang.
Dalam hal ini, keamanan bukan bererti menghapuskan semua perbezaan yang wujud, tetapi ia belajar untuk mengurus perbezaan tanpa menjadikannya sebab untuk bermusuhan.
Perkara ini semakin penting dalam zaman media sosial.
Kata-kata yang ditulis ketika marah boleh tersebar dalam beberapa saat dan mencetuskan salah faham atau permusuhan.
Perbezaan pandangan yang sepatutnya boleh dibawa bincang boleh berubah menjadi pertelingkahan apabila masing-masing lebih berminat untuk menyerang daripada memahami.
Maka menjaga keamanan pada hari ini bukan sahaja melalui tindakan kita di dunia nyata.
Cara kita berbicara, menulis dan berinteraksi di ruang digital juga boleh menyumbang kepada keharmonian atau sebaliknya.
Keamanan adalah tanggungjawab bersama
Matlamat untuk mencapai kehidupan yang aman dan sejahtera bagi sesebuah negara memerlukan individu-individu yang memiliki keperibadian yang baik dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.
Membina negara yang aman juga memerlukan kerjasama yang erat antara rakyat dengan para pemimpin.
Para pemimpin bertanggungjawab membina negara yang maju dan berteraskan keadilan, agar setiap anggota masyarakat, tanpa mengira bangsa atau agama, dapat menikmati keselamatan, pendidikan, peluang dan kesejahteraan secara adil dan saksama.
Rakyat pula bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbang kepada usaha yang mendatangkan kebaikan bersama.
Keamanan tidak dapat dibina jika setiap pihak hanya menuntut haknya tetapi melupakan tanggungjawab terhadap orang lain.
Islam telah meletakkan panduan yang jelas mengenai tanggungjawab ini.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan bahawa setiap insan mempunyai tanggungjawab menurut kedudukan dan kemampuannya.
Pemimpin mempunyai amanah terhadap rakyat, ibu bapa mempunyai amanah terhadap keluarga, dan setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap kehidupan serta hubungan dengan orang di sekelilingnya.
Justeru, usaha mewujudkan keamanan bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata.
Ia memerlukan setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan amanah dan penuh tanggungjawab.
Keamanan bermula daripada kita
Sempena Hari Keamanan Antarabangsa yang jatuh pada 21 September, kita diingatkan bahawa keamanan bukan hanya tanggungjawab pemerintah, pertubuhan antarabangsa atau mereka yang terlibat dalam menyelesaikan konflik.
Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan menurut kemampuan masing-masing.
Keamanan boleh bermula daripada perkara yang kelihatan kecil – mengawal kemarahan, menjaga tutur kata, menghormati perbezaan, memelihara keharmonian keluarga dan berlaku adil terhadap orang lain.
Apabila nilai-nilai ini hidup dalam diri setiap individu, kesannya akan berkembang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Kita mungkin tidak mampu menghentikan setiap peperangan atau menyelesaikan semua konflik yang berlaku di dunia.
Namun kita mampu menentukan bagaimana kita melayan orang di sekeliling kita, bagaimana kita berhadapan dengan perbezaan dan bagaimana kita menyelesaikan perselisihan dalam kehidupan seharian.
Dunia yang aman mungkin menjadi cita-cita yang besar, tetapi usaha membinanya sentiasa boleh bermula daripada diri kita sendiri.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair