1. Meniatkan semua kerja baik sebagai ibadat

Rasulullah saw bersabda: "Segala amal itu tergantung niatnya dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai dengan niatnya." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Niatkan semua amalan baik kita sebagai ibadat. Bangun pagi, bersiap-siap untuk pergi ke sekolah atau pejabat, bekerja keras untuk membantu keluarga hinggalah memasak, membasuh dan melipat kain untuk keluarga adalah ibadat.

Jangan hadkan ibadat kepada solat dan puasa sahaja. Perbanyakkanlah berbuat baik kepada sesiapa di sekeliling anda.

Berbuat baik tidak terhad di masjid atau di antara orang Islam sahaja. Bertegur sapa antara jiran, memberikan sedikit juadah berbuka kepada mereka dan membantu mereka ketika mereka memerlukan adalah amalan yang sangat dianjurkan.

2. Meringankan beban orang sedang berpuasa

Rasulullah saw bersabda: "Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutup aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba- Nya itu suka menolong saudaranya." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ringankan beban orang yang sedang berpuasa seperti membantu ibu menyiapkan sahur agar beliau boleh berehat atau beribadat lebih lama dan mulakan kerja sukarela di rumah bukan hanya di masjid. Contohnya membantu mengemas rumah, buat persiapan Hari Raya, membuat kuih, memasangkan langsir dan mencuci bilik air.

3. Memperbanyakkan zikrullah

Rasulullah saw bersabda: "Dua kalimat yang ringan diucapkan lisan, berat di timbangan dan dicintai oleh Ar-Rahman (Allah): Subhaanallaahi Wa Bihamdihi Subhaanallaahil Adzim". (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Untuk meraih pahala yang lebih, rajin-rajinlah berzikir ketika membuat kuih, memasak, mengemas dan ketika mendodoikan anak. Jangan kita meremehkan amalan berzikir yang dapat menenangkan jiwa dan minda kita.

Lain-lain isu Ramadan dan wanita

1. Niat khatam Al-Quran dalam Ramadan terjejas kerana datang bulan.

Daripada Ibnu Mas'ud ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Khatam atau tidak, serahkan kepada Allah selepas berusaha sedaya mungkin. Antara usaha itu termasuklah merancang masa dengan baik dan memperuntukkan masa yang tetap untuk membacanya.

Namun, membaca Al-Quran adalah satu proses muhasabah diri. Jadi jangan terburu-buru mengkhatamkan Al-Quran dalam Ramadan hingga lupa menghayati setiap ayat di dalamnya.

Baca dengan tenang dan dengan rasa seronok. Fokus kepada pembacaan dan penghayatan Al- Quran. Banyakkan bacaannya dan bertadabbur maknanya dan fikirkan tentang bagaimana ia boleh mengubah diri supaya menjadi Muslimah yang lebih baik.

Bawa kitab tafsir Quran bersama anda dan baca di dalam MRT, bas atau ketika orang lain sedang tarawih atau qiyamul lail.

2. Boleh pakai gincu atau pelembab bibir semasa berpuasa?

Gunakan tidak batal puasa. Kalau terjilat dan terasa, ludahkan ia. Kalau tertelan, tidak batal.

3. Hukum berpuasa Ramadan kerana ingin kurus?

Antara hikmah puasa adalah untuk menyihatkan badan. Tarawih juga adalah suatu senaman yang menyihatkan tubuh badan.

Ramadan mungkin memberi suntikan semangat kepada kita untuk lebih mengamalkan gaya hidup sihat.

Boleh sahaja kita berazam mengurangkan berat badan dalam Ramadhan. Asalkan niat kita untuk berpuasa sebagai satu ibadat tidak berubah.