Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muharam pembuka tirai hijrah penuh erti

Muharam wajar jadi titik tolak ke arah pembaharuan jiwa dan amal
Jun 27, 2025 | 5:30 AM
Muharam, Hijrah, Tahun Baru
Pembentukan kalendar Hijrah menunjukkan bagaimana Islam mengatur kehidupan umatnya berlandaskan wahyu serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang mengambil kira keperluan umat. - Foto ISTOCKPHOTO

Muharam merupakan pembuka tirai kepada tahun baru dalam kalendar Hijrah Islam.

Ia bukan sahaja istimewa kerana dianggap sebagai salah satu daripada empat bulan Haram iaitu suci, bahkan juga kerana ia berkait rapat dengan peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu pembentukan kalendar Islam oleh khalifah kedua, Sayidina Umar Al-Khattab ra.

Peristiwa ini mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan kepimpinan Islam dalam memanfaatkan masyarakat dan meninggalkan warisan berterusan.

Jasa Khalifah Umar Al-Khattab

Ketika Umar ra dilantik sebagai khalifah, beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang bijaksana dan sangat tegas dalam melaksanakan keadilan.

Di bawah kepimpinan beliau, terdapat banyak perubahan dan sumbangan kepada sistem pentadbiran yang lebih tersusun.

Beliau dianggap sebagai seorang yang berilmu dan berwawasan sehingga keputusan beliau sering kali memenuhi keperluan masyarakat Islam.

Contoh kebijaksanaan beliau dapat dilihat sejak zaman Rasulullah saw lagi. Diriwayatkan bahawa Sayidina Umar berkata:

“Aku telah bersetuju dengan Tuhanku dalam tiga perkara: Aku berkata kepada Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika kita mengambil Makam Ibrahim sebagai tempat solat’, lalu turunlah ayat: (Dan jadikanlah Makam Ibrahim itu sebagai tempat solat) (Surah Al-Baqarah, ayat 125). Aku juga berkata, ‘Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memerintahkan isteri-isterimu untuk berhijab kerana mereka bercakap dengan lelaki yang baik dan jahat’, lalu turunlah ayat hijab. Dan ketika isteri-isteri Nabi cemburu, aku berkata kepada mereka, ‘Mudah-mudahan Tuhannya jika menceraikan kamu akan menggantikan kamu dengan isteri-isteri yang lebih baik’, lalu turunlah ayat itu.” (HR Bukhari).

Selepas kewafatan Baginda saw, Umar ra terus menunjukkan kebijaksanaannya dalam mengeluarkan fatwa dan dasar pentadbiran.

Di antara sumbangan beliau adalah memperkenalkan sistem dana negara untuk anak-anak yatim atau anak-anak yang dititipkan.

Kesemua itu menunjukkan kebijaksanaan ijtihad Umar dan kedudukan beliau sebagai sahabat Nabi saw yang dijadikan panduan dan contoh buat umat Islam.

Pembentukan kalendar Islam

Salah satu daripada ijtihad beliau yang paling bermakna adalah pembentukan kalendar Hijrah.

Sebelum itu, umat Islam belum mempunyai sistem kalendar rasmi yang bersifat tetap.

Tarikh-tarikh penting sering kali ditandakan berdasarkan peristiwa besar seperti Tahun Gajah, Tahun Wafat Rasulullah saw dan sebagainya.

Bulan-bulan yang dikenali seperti Muharam dan sebagainya tetap digunakan, namun tiada kiraan tahun yang seragam.

Susunan bulan juga berbeza pada zaman Baginda saw dan selepas Islam berkembang.

Pada awalnya, Muharam tidak dianggap sebagai bulan pertama.

Penting untuk difahami bahawa kalendar bukan sekadar alat untuk menandakan masa, ia merupakan sistem yang diperlukan manusia supaya kehidupan mereka lebih tersusun.

Imam Ibn Taymiyyah menyatakan bahawa sistem hari, minggu dan tahun adalah sebahagian daripada ajaran yang berpaksikan wahyu. Allah swt berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 36:

“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan dalam kitab Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi; di antaranya empat bulan Haram.”

Justeru, sistem kalendar Islam yang berasaskan bulan adalah satu ketetapan yang selari dengan wahyu.

Muharam sebagai bulan pertama

Kalendar Islam mula dibentuk apabila muncul keperluan untuk menetapkan sistem tarikh yang seragam bagi tujuan surat-menyurat rasmi dan pengurusan umum.

Sayidina Umar ra mengadakan mesyuarat bersama para sahabat yang lain untuk menentukan dari mana harus dimulakan kiraan tahun.

Pelbagai cadangan dikemukakan, antaranya bermula dari kelahiran Baginda saw, ada pula yang menyuarakan bahawa tahun harus dikira daripada permulaan wahyu diturunkan ataupun kewafatan Rasulullah saw.

Namun akhirnya dipersetujui bahawa permulaan tahun Hijrah adalah saat hijrahnya Baginda saw dari Makkah ke Madinah kerana ia menandakan peralihan besar dalam sejarah umat Islam, iaitu secara simbolik daripada fasa penindasan kepada fasa pembentukan negara Islam.

Walaupun peristiwa hijrah berlaku pada Rabiulawal, para sahabat sepakat untuk memilih Muharam sebagai permulaan tahun dalam kalendar Hijrah.

Ini kerana Muharam merupakan bulan yang datang selepas musim haji dan merupakan bulan yang digunakan oleh orang Arab untuk memulakan Tahun Baru.

Tambahan pula, bulan ini telah pun menjadi antara bulan-bulan suci yang dimuliakan sejak zaman dahulu lagi.

Maka, ia sesuai dijadikan bulan pertama kerana keutamaan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Kalendar Hijrah juga mempunyai keunikan tersendiri berbanding kalendar Masihi.

Kalendar Masihi berdasarkan pusingan matahari dan mempunyai kiraan tetap untuk setiap tahun, manakala kalendar Islam berdasarkan pusingan bulan dan bilangan harinya boleh berubah antara 29 dengan 30 hari.

Ini menjadikan bulan-bulan Islam sentiasa berputar mengelilingi musim dan tidak tetap pada satu waktu sepanjang tahun.

Keunikan itu memberikan umat Islam peluang untuk mengalami kelebihan bulan-bulan tertentu dalam pelbagai musim sepanjang kehidupan mereka.

Hargai warisan agama

Pembentukan kalendar Hijrah oleh Sayidina Umar ra bukan sekadar satu langkah pentadbiran, malah merupakan warisan agama yang amat besar maknanya.

Ia menunjukkan bagaimana Islam mengatur kehidupan umatnya berlandaskan wahyu serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang mengambil kira keperluan umat.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya berasa bangga dengan sejarah dan identiti ini.

Antara cara menghargai usaha ini ialah dengan mengenali bulan-bulan dalam kalendar Hijrah sebagaimana kita biasa dengan kalendar Masihi, meskipun kita tidak menggunakannya secara harian.

Kita juga perlu mendidik anak-anak tentang kepentingan kalendar Islam dan memahami keistimewaan setiap bulan.

Usaha ini akan membantu kita secara peribadi untuk lebih peka dan bersedia menghadapi bulan-bulan yang penuh dengan peluang keampunan dan ganjaran amal seperti Ramadan, Syaaban dan Muharam.

Justeru Muharam sebagai pembuka tirai tahun Hijrah wajar dijadikan titik tolak kepada pembaharuan jiwa dan amal.

Tahun Baru sering dijadikan simbol perubahan dan permulaan bagi kebanyakan orang.

Maka, marilah kita manfaatkan peluang sempena kedatangan Tahun Baru Hijrah ini sebagai detik permulaan untuk memperbaiki diri dan berusaha menjadi hamba Allah swt yang terbaik.

Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg