SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Mukjizat Rasulullah

Mukjizat Rasulullah

Oct 23, 2020 | 5:30 AM

Mukjizat Rasulullah

ANUGERAH ALLAH: Ustaz Muhd Syafiee Mohd menerangkan istilah mukjizat sebagai perkara yang luar biasa yang terjadi pada seorang nabi untuk menunjukkan kebenarannya dan melemahkan hujah mereka yang ingkar. - Foto ISTOCKPHOTO
ANUGERAH ALLAH: Ustaz Muhd Syafiee Mohd menerangkan istilah mukjizat sebagai perkara yang luar biasa yang terjadi pada seorang nabi untuk menunjukkan kebenarannya dan melemahkan hujah mereka yang ingkar. - Foto ISTOCKPHOTO -

MUKJIZAT yang dianugerahkan Allah swt merupakan antara keajaiban dan kemuliaan Nabi Muhammad saw.

Ini dikupas Ustaz Muhd Syafiee Mohd Hassan dalam kuliah dalam talian anjuran Masjid Al-Amin dalam Kuliah Modular Masjid Al-Amin bertajuk "Mukjizat-Mukjizat Rasulullah saw" baru-baru ini.

APAKAH ITU MUKJIZAT?

Ustaz Muhd Syafiee membuat kupasan daripada kitab Khasais Kubra Imam Suyuti.

Beliau menerangkan istilah mukjizat sebagai perkara yang luar biasa yang terjadi pada seorang nabi untuk menunjukkan kebenarannya dan melemahkan hujah mereka yang ingkar.

Syarat-syarat mukjizat mestilah dalam berbentuk perbuatan, kata-kata, ataupun terangkatnya kesan yang pada sifat perbuatan-perbuatan tertentu (contohnya api hilang kesan panasnya), luar daripada kebiasaan, terjadi pada seorang nabi, selari dengan mesej kenabian, tidak boleh ditentang, bukan pada zaman Dajjal.

AL-QURAN MUKJIZAT NABI SAW

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud:

"Tiada satu nabi kecuali telah diberikan mukjizat/bukti yang membuat manusia beriman. Sesungguh Aku, diberikan wahyu.

"Aku berharap akulah nabi yang paling ramai pengikutnya di hari akhirat."

Ustaz Muhd Syafiee menjelaskan:

"Setiap nabi pasti akan ada mukjizat; pasti akan ada kelebihannya; pasti akan ada tanda-tanda. Dan nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad saw, contohnya Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as, Nabi Sulaiman as, Nabi Daud as.

"Nabi-nabi ini semua ada mukjizat, kelebihan, bukti-bukti tersendiri dan bukti-bukti itu dapat dirasai oleh kaum mereka sendiri."

Ustaz menambah, selain daripada mukjizat dalam bentuk yang dapat dirasai atau yang dialami sendiri oleh kaum di zaman itu, Nabi saw turut diberi mukjizat dalam bentuk wahyu Al-Quran, sebuah buku yang diturunkan kepada Baginda menjadi hidayah buat kita selama-lamanya sampai akhir zaman.

KENAPA PERLU MUKJIZAT?

Mukjizat perlu ada agar dapat menguatkan keimanan, menambahkan ketaatan, merasai pengawasan Allah swt, mengetahui kemuliaan Rasulullah saw dan menghargai baginda.

DOA NABI SEBAGAI MUKJIZAT

Antara mukjizat yang Nabi saw dapat adalah doa.

Pada suatu ketika, kemarau melanda Madinah, kemudian datang seorang Arab Badwi berjumpa dengan Nabi saw dan memintanya berdoa kepada Allah swt supaya diturunkan hujan.

Nabi saw berdoa dan maka turunlah hujan. Apabila hujan turun selama beberapa hari sehingga mula akan berlaku banjir, maka orang Arab Badwi itu jumpa Nabi saw dan memintanya berdoa kepada Allah swt supaya kurangkan hujan.

Nabi saw lalu berdoa dan makbul doanya.

Sahabat Nabi saw bernama Sayidina Ali Bin Abi Talib sedang dalam keadaan sakit sehingga rasa akan mati. Nabi saw datang dan berdoa kepada Allah swt agar Sayidina Ali diberikan kesihatan dan diampunkan dosanya.

Doanya dimakbulkan dan Sayidina Ali hilang sakitnya.

Nabi saw turut berdoa kepada Allah swt supaya mengkabulkan doa pemanahnya yang bernama Saad Bin Abi Waqqas yang sentiasa membantu baginda dan sentiasa cuba sedaya upaya untuk mengamalkan ajaran Nabi saw. Beliau juga sanggup berkorban harta dan jiwa untuk agama Allah swt.

Selepas Nabi saw doa untuknya, tiada satu pun doa Saad Bin Abi Waqqas yang tidak makbul.

DOA NABI SAW UNTUK UMATNYA

Kelebihan doa Nabi saw bukan sahaja dinikmati oleh para sahabatnya di zamannya tetapi juga untuk umatnya.

Daripada Ibn Hibban, Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud:

"Ya Allah, ampunkanlah Aisyah dan seluruh dosanya yang lalu dan yang akan datang; dosanya yang terlihat atau yang tersembunyi."

Mendengar doa Baginda saw, Aisyah gembira sekali.

Kemudian Baginda bertanya "Adakah kamu suka doa aku tadi?"

Sayidatina Aisyah menjawab:

"Bagaimana mungkin aku tidak bergembira?"

Nabi saw bersabda "Demi Allah, itulah doaku untuk umatku setiap solat."

Satu lagi contoh, daripada Huzaifah bin Yaman, Huzaifah telah solat duha dengan baginda lapan rakaat dan solat itu mengambil masa yang lama. Nabi saw menjelaskan kepadanya apa yang membuat solat itu lama adalah kerana baginda telah berdoa kepada Allah swt untuk umatnya.

Nabi saw berkata bahawa dua di antara tiga permintaannya diterima Allah swt.

Walaupun doanya agar kita sentiasa bersatu ditolak Allah swt, dua doanya yang dikabulkan adalah agar umatnya sentiasa tegak dalam kebenaran dan agar umatnya tidak hancur disebabkan wabak atau musibah.

Antara doa Nabi saw untuk umatnya adalah supaya kita diredai Allah swt, diberkati waktu pagi, diampunkan dosa, dikabulkan doa umatnya yang mendoakan untuk saudaranya akan kebaikan dalam keadaannya tidak tahu.

Dengan itu mukjizat Nabi saw ini antara lain mengajar kita supaya memperbanyak selawat dan salam ke atas Nabi saw serta kelebihan berdoa bagi saudara kita secara ghaib.

  1. Ustaz Muhd Syafiee Mohd Hassan lulusan Universiti Al-Azhar fakuli Usuluddin dengan pengkhususan dalam bidang aqidah dan falsafah. Beliau merupakan Ketua Pembelajaran Islam, Masjid Al-Amin yang bertanggungjawab mengatur program dan pengisian bagi pembelajaran Islam di Masjid Al-Amin.

"Setiap nabi pasti akan ada mukjizat; pasti akan ada kelebihannya; pasti akan ada tanda-tanda. Dan nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad saw, contohnya Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, Nabi Isa as, Nabi Sulaiman as, Nabi Daud as. Nabi-nabi ini semua ada mukjizat, kelebihan, bukti-bukti tersendiri dan bukti-bukti itu dapat dirasai oleh kaum mereka sendiri." - Ustaz Muhd Syafiee Mohd Hassan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg