Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga yang menipu pembeli dimurkai Allah dan dikutuk malaikat

Nov 14, 2021 | 5:30 AM
USTAZ AHMAD NAFIS: Rasulullah saw memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak jujur dan berbohong dalam penjualannya.
USTAZ AHMAD NAFIS: Rasulullah saw memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak jujur dan berbohong dalam penjualannya. -

PADA zaman globalisasi hari ini, skop perniagaan sudah makin meluas dan ia tidak lagi khusus untuk syarikat atau kedai yang besar sahaja.

Malahan situasi norma baru juga telah menyebabkan masyarakat beralih kepada bidang perniagaan demi mencari sesuap nasi.

Oleh itu, sesiapa sahaja boleh memasuki gerbang perniagaan sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan bersama teknologi digital yang lebih produktif serta canggih.

Apabila kita sudah memasuki arena perniagaan, maka kita perlu fahami tentang beberapa perkara dalam membentuk ekonomi perniagaan yang patuh kepada syariat Islam.

KEPENTINGAN PERNIAGAAN DALAM ISLAM

Ustaz Ahmad Nafis Mohammed Roslan berkata, penglibatan seseorang dalam perniagaan sangat dianjurkan dalam agama demi pembangunan masyarakat Islam itu sendiri.

Hal ini kerana, sesebuah masyarakat akan menjadi mundur, jika perniagaan ekonomi di tempat itu tidak berkembang.

"Contohnya, sesebuah tempat yang tidak maju dari segi ekonomi akan menyebabkan kemunduran masyarakat. Lihat sahaja impak ekonomi yang menimpa setelah berlakunya pelbagai sekatan akibat wabak di seluruh negara.

"Kesannya, ekonomi tidak dapat diteruskan dalam suasana yang normal.

"Maka, ekonomi sesebuah negara itu akan jatuh sehingga menyebabkan penutupan kedai, pembuangan pekerja, pengecilan sumber kewangan dan sebagainya.

"Natijahnya, rakyat akan mengalami krisis seperti hilang punca pendapatan dan lain-lain.

"Sebab itu, perniagaan sangat penting dan ia perlu dijalankan secara telus. Sebagai peniaga, kita ingin menyokong pembeli Islam dan pembeli Islam juga ingin menyokong penjual yang beragama Islam supaya ekonomi Islam terus berjalan dengan maju," ujar Ustaz Ahmad Nafis.

ETIKA PERNIAGAAN

Sebagai seorang yang beragama Islam, terdapat adab dan etika yang perlu diikuti dalam urusan perniagaan.

Menerusi Facebook Masjid Darul Ghufran, Ustaz Ahmad Nafis berpesan:

"Pertama sekali, pastikan niat itu ikhlas kerana Allah swt. Jangan niat untuk mendapat untung semata-mata. Insya-Allah, perniagaan itu akan menjadi suatu ibadah untuknya.

"Seseorang peniaga itu juga perlu memastikan barang-barang yang dijual itu adalah dari sumber yang halal. Ia menjadi satu syariat yang perlu diikuti agar kita terpelihara dan mendapat rezeki yang berkat.

"Kita juga tidak boleh memonopoli barang (penguasaan sepenuhnya). Contohnya, seseorang itu memborong semua barang-barang untuk dirinya, kemudian dijual dengan harga yang mahal untuk waktu yang tertentu. Perbuatan itu tidak dibenarkan sama sekali.

"Peniaga juga mesti jujur dalam perniagaan. Akhir sekali, peniaga mesti menjauhi urusan riba yang secara terangnya adalah haram disisi Islam. Hukum orang yang memberi dan mengambil riba adalah dosa besar. Jadi, ambil tahu tentang urusan ini daripada asatizah yang lebih pakar."

KEDUDUKAN BERSAMA PARA NABI DI AKHIRAT

Tambah Ustaz Ahmad Nafis, terdapat beberapa hadis khas untuk para peniaga dan usahawan bagi menunjukkan betapa pentingnya perniagaan yang jujur dalam Islam.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id ra, bahawa Nabi saw bersabda:

"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid." (Riwayat al-Tirmizi)

"Kelebihan peniaga yang jujur adalah kedudukan mereka di hari akhirat akan diangkat bersama para anbia, orang jujur dan orang yang syahid. Kita hanyalah manusia biasa dan sukar untuk mendapatkan pahala seorang nabi, para sahabat, dan para syuhada.

"Namun, kita boleh mendapatkan status seperti itu dan bersama dengan para nabi, orang jujur dan para syuhada di hari kebangkitan nanti. Dengan syarat, kita menjadi peniaga yang sentiasa bercakap benar dan jujur.

ANCAMAN UNTUK PENIAGA YANG MENIPU

Baginda saw telah bersabda: "Sesiapa yang menjual sesuatu yang ada aibnya (kecacatan atau kerosakan), lalu dia tidak menjelaskan kepada pembelinya, maka mereka akan berada dalam murka Allah dan selalu dikutuk oleh para malaikat."

"Itulah amaran keras yang diberi oleh Rasulullah kepada para peniaga yang tidak jujur dan berbohong dalam penjualannya.

"Mereka menyembunyikan kerosakan yang ada pada barang yang hendak dijual. Mungkin produk itu sudah hendak basi atau hampir rosak, tetapi mereka tetap menjual kepada pelanggan, tanpa memberitahu hak pembelinya.

"Peniaga seperti ini akan mendapat hukuman berbentuk murka Allah swt dan kutukan para malaikat. Berniaga itu tidak salah, tetapi biarlah kita berniaga dengan jujur.

"Kalau ada kecacatan pada sesebuah barang, segera maklumkan kepada pembeli. Kalau mereka reda dengan kerosakan, maka tidak mengapa untuk meneruskan urusan jual beli," jelas ustaz.

  1. Ustaz Ahmad Nafis Mohammed Roslan memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar As-Sharif dan berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah Masjid Darul Ghufran.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg