Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penting imbangi kerjaya, tanggungjawab keluarga bagi elak konflik

Kekalkan hubungan dengan Allah agar rumah tangga sentiasa diberkati
Dec 5, 2025 | 5:30 AM
keluarga, rumah tangga, islam, agama, romm, bersamamu
Anak memerlukan perhatian, kasih sayang dan bimbingan ibu bapa agar dapat berkembang dengan sihat. Bagi pasangan yang mempunyai anak, kesibukan kerja yang melampau atau yang memerlukan komitmen tinggi boleh memberi kesan negatif kepada anak. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Dalam kehidupan moden yang serba pantas, ramai pasangan suami isteri terperangkap dalam kesibukan kerja sehingga, tanpa disedari, mengabaikan peranan mereka dalam rumah tangga.

Perkara itu menjadi salah satu punca utama pertikaian rumah tangga yang kerap berlaku.

Kesibukan bekerja bukan sahaja menjejas hubungan antara suami isteri, bahkan boleh memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan emosi dan perkembangan anak.

Allah swt mengingatkan manusia agar tidak terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga lalai terhadap tanggungjawab keluarga dan juga akhirat.

Firman-Nya dalam Surah Al-Munafiqun, ayat 9:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan barang siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Ayat ini memberi peringatan bahawa kesibukan dalam mengumpul harta dan bekerja tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, isteri dan ibu bapa.

Antara masalah yang boleh timbul apabila suami isteri terlalu sibuk dengan pekerjaan adalah seperti berikut:

Kurang masa bermutu bersama pasangan

Apabila pasangan terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing, masa bermutu bersama pasangan semakin berkurangan.

Komunikasi menjadi lebih terbatas dan perbualan harian hanya berkisar tentang urusan kerja atau masalah di tempat tugas.

Lama-kelamaan, hubungan menjadi renggang kerana kurang perhatian dan ruang untuk berbincang tentang perasaan, harapan dan masalah yang dihadapi bersama. Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap Tuhanmu, hak terhadap dirimu sendiri dan hak terhadap keluargamu. Maka berikanlah setiap hak kepada yang berhak menerimanya.” (HR Bukhari).

Hadis ini menekankan kepentingan keseimbangan dalam kehidupan.

Kita tidak seharusnya menumpukan perhatian kepada satu aspek sehingga mengabaikan aspek lain yang sama pentingnya.

Abai tanggungjawab sebagai suami isteri

Mengikut konteks, kebanyakan keluarga di Singapura menyaksikan kedua-dua suami dan isteri bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.

Oleh itu, tanggungjawab seorang suami atau isteri bukan sahaja terletak pada mencari rezeki, bahkan dalam memenuhi keperluan emosi dan fizikal pasangan.

Apabila seseorang terlalu sibuk dengan pekerjaan, mereka mungkin lupa untuk memberikan perhatian, kasih sayang dan sokongan moral kepada pasangan.

Keadaan itu berpotensi menimbulkan perasaan terabai, yang seterusnya boleh mencetuskan ketegangan dan pertelingkahan dalam rumah tangga. Nabi saw bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (HR At-Tirmidzi).

Justeru sebagai umat Islam, kita disarankan agar meneladani akhlak Rasulullah saw dalam melayani keluarga dengan penuh kasih sayang dan perhatian.

Kesan terhadap anak

Bagi pasangan yang mempunyai anak, kesibukan kerja yang melampau atau yang memerlukan komitmen tinggi boleh memberi kesan negatif kepada anak.

Anak memerlukan perhatian, kasih sayang dan bimbingan ibu bapa bagi perkembangan yang sihat.

Jika ibu bapa sering tiada atau terlalu letih untuk meluangkan masa bersama anak, anak mungkin berasa diabaikan dan mencari perhatian di tempat lain, yang seterusnya berpotensi membawa kepada masalah tingkah laku. Allah swt berfirman dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”

Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab membesarkan anak, malah mendidik mereka dengan nilai Islam supaya terpelihara daripada keburukan dunia dan akhirat.

Tidak imbangi tanggungjawab kerja, keluarga

Bekerja keras untuk mencari rezeki adalah satu keperluan, namun apabila seseorang meletakkan kerjaya sebagai keutamaan mutlak sehingga mengabaikan keluarga, keseimbangan dalam kehidupan akan terganggu.

Tekanan kerja yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang mudah marah, cepat letih dan kurang sabar dalam menguruskan hal rumah tangga.

Ini seterusnya meningkatkan risiko pergaduhan dan salah faham antara pasangan. Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah seseorang diberikan kebaikan yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, kesabaran dalam menguruskan rumah tangga dan pekerjaan amat penting untuk mengelakkan konflik.

Kurang ibadah, muhasabah diri

Dalam Islam, rumah tangga yang harmoni terbina atas asas keimanan dan ketakwaan.

Kesibukan kerja kerap membuatkan seseorang lalai dalam menunaikan ibadah dan melakukan muhasabah diri.

Apabila hubungan dengan Allah swt semakin jauh, hubungan dengan pasangan dan keluarga juga akan terjejas.

Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa menjaga keseimbangan antara dunia dengan akhirat dalam kehidupan berkeluarga. Allah swt berfirman dalam Surah Al-Qasas, ayat 77:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia…”

Ayat ini menekankan kepentingan keseimbangan antara mencari rezeki di dunia dengan memastikan kebahagiaan akhirat tidak terabai.

Cara imbangi kerjaya, kehidupan berkeluarga

1) Tetapkan keutamaan: Kenal pasti kepentingan dalam hidup dan susunlah jadual kerja serta keluarga dengan lebih seimbang.

2) Luangkan masa bermutu: Rancang kegiatan bersama pasangan dan anak, walaupun hanya untuk berbual, makan atau beriadah bersama.

3) Komunikasi yang baik: Sentiasa berkomunikasi secara terbuka dan jujur dengan pasangan mengenai tekanan kerja dan harapan dalam rumah tangga.

4) Pembahagian tugas yang adil: Kerja rumah dan penjagaan anak tidak seharusnya dibebankan kepada satu pihak sahaja. Suami dan isteri perlu bekerjasama dalam melaksanakan tugasan harian dalam rumah tangga.

5) Perbaiki hubungan dengan Allah: Luangkan masa untuk solat berjemaah, membaca Al-Quran bersama, menghadiri program masjid bersama dan mendekatkan diri kepada agama agar rumah tangga lebih diberkati.

Kesimpulan

Pembahagian masa dalam pekerjaan memainkan peranan besar dalam keharmonian rumah tangga.

Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi punca utama pertelingkahan antara suami isteri serta memberi kesan negatif kepada anak.

Oleh itu, setiap pasangan perlu bijak menguruskan masa dan memastikan keluarga tetap menjadi keutamaan dalam kehidupan.

Semoga Allah swt memberkati setiap rumah tangga yang dibina atas dasar sakinah, mawaddah dan rahmah, serta disertakan dengan tanggungjawab dan keseimbangan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Amin.

Penulis ialah Pengurus Masjid Assyafaah dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

"Pembahagian masa dalam pekerjaan memainkan peranan besar dalam keharmonian rumah tangga. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi punca utama pertelingkahan antara suami isteri serta memberi kesan negatif kepada anak. Oleh itu, setiap pasangan perlu bijak menguruskan masa dan memastikan keluarga tetap menjadi keutamaan dalam kehidupan.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg