SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pentingnya luang masa bersama seisi keluarga

Pentingnya luang masa bersama seisi keluarga

Walau sudah punya keluarga sendiri, peruntuk waktu temui adik-beradik agar bertambah kasih sayang dan perkuat ikatan perpaduan
Dec 5, 2021 | 5:30 AM

Pentingnya luang masa bersama seisi keluarga

HARGAI MASA BERSAMA KELUARGA: Ustazah Nurul Huda (empat dari atas) menekankan pentingnya meluangkan masa bersama ibu bapa dan adik-beradik selain bersama suami dan anak-anaknya. Gambar menunjukkan beliau bersama adik-beradik dan ibunya, Ustazah Rawiyah Marwan (bawah, kiri) dan ayahnya, Ustaz Khamsani Karim (dua dari bawah, kiri). - Foto ihsan NURUL HUDA KHAMSANI
HARGAI MASA BERSAMA KELUARGA: Ustazah Nurul Huda (empat dari atas) menekankan pentingnya meluangkan masa bersama ibu bapa dan adik-beradik selain bersama suami dan anak-anaknya. Gambar menunjukkan beliau bersama adik-beradik dan ibunya, Ustazah Rawiyah Marwan (bawah, kiri) dan ayahnya, Ustaz Khamsani Karim (dua dari bawah, kiri). - Foto ihsan NURUL HUDA KHAMSANI -

Musim cuti sekolah sudah pun tiba. Ada ibu bapa yang memikirkan tentang rancangan menarik dan bermakna buat anak-anak. Namun, ia bukan sekadar bagaimana mengisi masa tetapi mengambil kira keberkatan masa yang diluangkan bersama anak-anak. HIDAYAH minggu membincangkan mengenai masa yang bermakna dan diberkati.

MASA cuti cukup berharga bagi ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak, terutama yang sudah bersekolah.

Tempoh cuti panjang, seperti cuti sekolah akhir tahun sekarang, merupakan peluang keemasan bagi ibu bapa mengukuhkan dan pererat hubungan mereka melalui kegiatan yang boleh dilakukan bersama anak-anak.

Namun, ada kalanya apabila ibu bapa terlalu tertumpu kepada keluarga mereka sendiri, hubungan yang selama ini telah dibina dengan anggota keluarga besar mungkin terabai.

Justeru, demi membina asas yang kukuh dalam membentuk keluarga yang berjaya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik dari segi hubungan mereka bersama ibu bapa dan adik-beradik mereka sendiri.

Demikian pandangan Ustazah Nurul Huda Khamsani, 34 tahun, yang menekankan pentingnya usaha untuk menambah rasa kasih sayang serta perpaduan antara anggota keluarga.

Beliau akui, mencari masa untuk diluangkan bersama ibu bapa dan adik-beradik menjadi lebih sukar selepas mempunyai keluarga sendiri, namun ini boleh ditangani jika masa diatur dengan bijak.

"Kita perlu bijaksana dalam mengatur masa dan cuba adakan pertemuan. Biasanya ini perlu dirancang lebih awal.

"Ini boleh menambah rasa kasih sayang. Apabila ada pertemuan, akan bertambah kasih sayang, apabila ada kasih sayang, maka kuatlah perpaduan," katanya.

Ustazah Nurul Huda, yang bekerja sebagai Pengurus di pusat Al-Quran, Majiidah Training Centre, merupakan ibu kepada dua anak - Fursanul Haq, lima tahun, dan Majidah Amani, dua tahun.

Beliau bekerja di tempat yang sama dengan beberapa anggota keluarganya yang lain, termasuk suaminya, Ustaz Md Zulkifli Fadzil, 33 tahun, yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di pusat itu.

Walau keluarganya besar, dengan tujuh adik-beradik, dan menjadikannya lebih sukar untuk mengatur masa, ia tidak menjadi penghalang bagi Ustazah Nurul Huda dan keluarganya.

Menurut beliau, Isnin merupakan 'Hari Keluarga' bagi beliau sekeluarga, dengan mereka biasanya akan beriadah dan bersarapan bersama.

"Selain itu kami juga luangkan masa bincang tentang isu semasa, isu keluarga, agama dan sebagainya.

"Memang dengan adik-beradik yang ramai ini, agak mencabar nak berkumpul full squad terutama dengan jadual yang berlainan.

"Namun jika ada yg tidak berkesempatan untuk bertemu pada Isnin, ia akan diganti dengan hari lain dalam minggu tersebut atau ditangguhkan ke minggu yang seterusnya," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ustazah Nurul Huda akui konflik dalam keluarga bukan sesuatu yang dapat dielakkan sepenuhnya.

"Konflik merupakan asam garam dalam kehidupan berkeluarga. Komunikasi merupakan sesuatu yg sangat penting apabila berlaku sesuatu konflik.

"Setelah berkomunikasi dan menasihati, saya akan memberi ruang kepada individu terlibat untuk berfikir dengan tenang. Toleransi hanya akan terlaksana apabila seseorang itu berada dalam keadaan tenang," katanya.

Tambahnya, doa dan solat malam merupakan penawar luka dan duka baginya kerana ia mampu memberi kekuatan rohani yang boleh membangkitkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Ustazah Nurul Huda berkata semangat untuk mencuba dan berbuat sebaik mungkin kepada keluarga didorong oleh ayat keenam dalam surah At-Tahrim.

Di dalam ayat itu, Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnnya ialah manusia dan batu..."

"Ayat ini memberi saya motivasi untuk selalu cuba berbuat sebaik mungkin untuk keluarga. Matlamat akhir yang ingin dicapai ialah kami dapat berkumpul bersama-sama di syurga nanti," ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg