Ketibaan Syaaban menandakan semakin hampir umat Islam dengan bulan mulia, Ramadan al-mubarak.
Syaaban mengandungi pelbagai kejadian dan peristiwa yang wajar diingati dan direnung akan hikmahnya.
Antara peristiwa istimewa tersebut adalah:
Peristiwa perpindahan kiblat dari Baitulmakdis ke Kaabah di Makkah berlaku pada bulan ini iaitu pada 15 Syaaban.
Selepas peristiwa Hijrah, umat Islam solat menghadap ke arah Baitulmakdis yang juga merupakan kiblat bagi kaum Yahudi.
Kaum Yahudi menjadikan peluang ini sebagai cara menghina umat Islam kerana masih menggunakan kiblat yang sama dengan mereka.
Namun, umat Islam tidak menghiraukan cercaan itu dan tetap teguh menunaikan perintah Allah swt.
Tetapi Nabi Muhammad saw tidak tergamak melihat umatnya dihina, lalu Baginda berdoa kepada Allah swt agar memindahkan kiblat ke arah Kaabah.
Lalu Allah swt menjawab dalam firman-Nya melalui Surah Al-Baqarah ayat 144:
“Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering menengadah ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu, bahawa (pemindahan kiblat) itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan.”
Ketika Perang Uhud, panglima perang kaum kafir Quraisy, Abu Sufyan, berkata kepada orang Islam bahawa mereka akan kembali menyerang di Badar pada tahun berikutnya.
Rasulullah saw bersama-sama 1,500 sahabat terdiri termasuk 10 pahlawan berkuda datang menanti kedatangan orang Musyrik di Badar pada Syaaban tahun keempat Hijrah.
Namun, Abu Sufyan bersama 2,000 tentera dan 50 pasukan berkuda berhenti di pertengahan jalan, kemudian kembali ke Makkah kerana beliau berasakan pada tahun tersebut akan berlakunya kemarau.
Tentera Islam menunggu selama lapan hari sebelum kembali ke Madinah tanpa berlaku sebarang peperangan.
Selain peristiwa yang dinyatakan, terdapat peristiwa lain yang berlaku dalam Syaaban iaitu kewafatan dua wanita yang dekat di hati Nabi saw iaitu puteri Baginda, Sayidah Ummu Kultsum, dan isterinya Hafsah binti Umar Ibn Khattab ra.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg