Dalam institusi kekeluargaan, terdapat pelbagai bentuk hubungan yang wujud hasil daripada perkahwinan, dan antaranya ialah hubungan dengan besan dan biras.
Besan merujuk kepada ibu bapa menantu.
Sementara biras pula ialah pasangan kepada adik-beradik ipar.
Hubungan ini, walaupun tidak diikat secara langsung dengan nasab atau pertalian darah, tetap mempunyai kedudukan penting dalam membina kesejahteraan keluarga besar yang harmoni dan diberkati.
Dalam masyarakat hari ini, tidak dinafikan ada kalanya hubungan dengan besan dan biras menjadi renggang atau tegang akibat salah faham dan campur tangan yang tidak wajar dalam rumah tangga anak.
Oleh itu, amat penting untuk kita memahami peranan, adab dan tanggungjawab dalam hubungan ini menurut ajaran Islam.
Apabila berlaku konflik rumah tangga antara anak dengan menantu, besan dan biras boleh memainkan peranan besar dalam meredakan keadaan – bukan merumitkan lagi masalah.
Allah swt berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu.” (Surah Al-Hujurat ayat 10).
Prinsip persaudaraan yang disebutkan dalam ayat ini boleh diterapkan dalam konteks hubungan kekeluargaan yang lebih luas, termasuk besan dan biras, yang bertindak sebagai pendamai apabila anak-anak mereka menghadapi ujian dalam rumah tangga.
Sebagai contoh, jika seorang besan mendapat tahu anaknya sering mengadu mengenai pasangannya, beliau tidak seharusnya terus menyalahkan dan memarahi menantu.
Sebaliknya, beliau boleh berbincang dengan besannya secara tertutup dan berhemah untuk menentukan punca sebenar dan mencadangkan agar pasangan muda itu diberi ruang serta bimbingan.
Begitu juga, sekiranya seorang biras terdengar pergaduhan antara pasangan adik-beradik iparnya, beliau boleh membantu dengan menjadi orang tengah yang dipercayai, tanpa menambahkan api kemarahan atau menyebarkan masalah rumah tangga itu kepada orang luar.
Pendekatan yang sepatutnya diambil ialah membantu anak-anak dan adik-beradik ipar memperbaiki hubungan suami isteri melalui nasihat, doa, dan ruang untuk berkomunikasi, bukan dengan mencampuri urusan dalaman secara keterlaluan sehingga mengeruhkan lagi keadaan.
Komunikasi yang baik adalah huraian utama dalam menyelesaikan konflik, apatah lagi jika ia adalah konflik yang berlaku dalam keluarga.
Ini merupakan satu kategori amalan merapatkan silaturahim yang amat dicintai Allah swt.
Baginda bersabda:
“Bukanlah orang yang menyambung silaturahim itu orang yang membalas (kebaikan), tetapi orang yang benar-benar menyambung silaturahim ialah yang menyambungnya ketika hubungan itu telah diputuskan.” (HR Bukhari).
Maka usahlah kita menjadi besan dan biras yang menyumbang kepada konflik sehingga kita yang menjadi punca putusnya silaturahim.
Islam amat menekankan adab dalam setiap hubungan, termasuk hubungan dengan besan dan biras.
Walaupun tiada nas khusus tentang adab sesama mereka, namun prinsip umum dalam Islam cukup untuk dijadikan panduan.
Dalam Surah Al-Isra’; ayat 23, Allah swt memerintahkan agar kita berbuat baik kepada ibu bapa, dan prinsip itu boleh diluaskan kepada ibu bapa mentua, besan, serta biras sebagai tanda penghormatan kepada keluarga yang turut menjadi sebahagian daripada jaringan kekeluargaan kita.
Antara adab utama yang perlu dijaga ialah tidak mencela, tidak meninggi diri, dan tidak membanding-bandingkan latar belakang atau kemampuan keluarga.
Kita juga harus menjaga aib dan rahsia anak menantu serta adik-beradik ipar, dan tidak menjadikan pertemuan dengan besan atau biras sebagai ruang untuk menyindir, membuka aib atau mengadu tentang kesilapan mereka.
Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah swt dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR. Bukhari dan Muslim).
Sebagai contoh, kadangkala biras berasa cemburu apabila salah seorang mendapat lebih perhatian atau pujian dalam kalangan keluarga.
Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan kecil hati dan mewujudkan jurang komunikasi.
Maka, setiap individu, khususnya besan, harus bijak mengawal perasaan dan tidak menanam dalam hati anak-anak perasaan benci atau dendam yang tidak perlu sehingga mereka terperangkap dalam kitaran persaingan yang toksik.
Begitu juga antara biras, adalah penting untuk berhati-hati ketika berbicara, terutama apabila menyentuh kejayaan anak masing-masing.
Kadangkala, perbualan seperti ini boleh membawa kepada nada merendahkan pihak lain, seolah-olah menilai mereka sebagai ibu bapa yang kurang berjaya hanya kerana anak mereka tidak meraih pencapaian yang sama.
Hubungan yang baik dengan besan dan biras dapat membawa kesan besar terhadap keharmonian keluarga.
Apabila mereka saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain, anak menantu serta adik-beradik ipar akan lebih selesa dan tidak tertekan.
Hal ini juga membantu dalam proses mengasuh cucu serta pengurusan majlis keluarga kerana adanya persefahaman antara dua pihak keluarga.
Sebaliknya, jika hubungan besan dan biras tegang, ia boleh memberi tekanan emosi kepada anak-anak dan menantu serta mencetuskan suasana yang tidak sihat dalam kalangan keluarga besar.
Contohnya, dalam keadaan apabila dua keluarga ingin menganjurkan majlis untuk anak yang sama, tetapi mempunyai pandangan dan bajet berbeza, konflik mudah tercetus.
Dalam keadaan ini, kedua-dua belah besan dan biras perlu bersikap terbuka dan bertolak ansur.
Mereka boleh duduk bersama dan mencari jalan tengah, seperti membahagikan tanggungjawab dan kos secara adil dan saling menghormati keputusan masing-masing.
Selain itu, kadangkala salah seorang biras dilihat lebih rapat dengan mentua berbanding yang lain, lalu menimbulkan salah faham seolah-olah wujud layanan yang berat sebelah.
Dalam hal ini, komunikasi terbuka dengan penuh hormat serta tidak berprasangka buruk sangat penting.
Jelaskan secara baik sekiranya anda rasa tersisih, dan elakkan memendam perasaan terlalu lama.
Walaupun hubungan biras dan besan bukanlah hubungan yang dekat seperti keluarga kandung, ia tetap menyumbang kepada keharmonian keluarga.
Jika timbul perasaan yang kurang senang di dalam hati biras dan besan yang mungkin mendorong kepada percakapan dan perbuatan yang kurang elok, maka ingatlah pesanan Baginda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (HR Bukhari).
▶ Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg