MANUSIA mungkin biasa bertanya soalan berikut: Dari mana kita datang? Kenapa kita di dunia ini? Ke mana tujuan kita selepas ini?
Sebagai seorang Muslim, kita dapat menjawab soalan-soalan itu dengan yakin. Kita dicipta Allah swt, dengan itu, tujuan utama kita dalam kehidupan ialah menyembah Allah swt dengan membina hubungan dengan-Nya.
Konsep tauhid, menurut Ustaz Khairulzaman Rahmat, ialah membina hubungan dengan Allah swt dan melakukan ibadah kerana-Nya adalah misi yang diberi kepada setiap Nabi dan Rasul dari setiap era, termasuk Nabi Muhammad saw.
"Kita tahu Nabi saw dihantar kepada kita sebagai Nabi terakhir untuk membawa dua perkara utama, iaitu Al-Quran dan membina tauhid. Untuk mendidik manusia tentang tujuan hidup iaitu tauhid," terang Ustaz Khairulzaman di kuliah dalam talian anjuran Masjid Al-Islah dengan topik Syirik: Menyekutukan Tuhan.
ERTI SYIRIK
Namun, kita perlu tahu bahawa bertentangan daripada tauhid ialah syirik. Ia datang daripada perkataan Arab syarakah, yang bermaksud mengongsi.
Makna holistik bagi syirik ialah menyekutukan Allah swt dalam hal berkaitan ibadah dan menyamakan aspek ketuhanan kepada yang selain daripada Allah swt.
Ibadah pula bermaksud apa sahaja (perbuatan fizikal atau rohani) yang disukai Allah swt, menurut Ustaz Khairulzaman.
Contoh perbuatan fizikal ialah solat manakala contoh rohani pula ialah kesabaran.
Salah satu contoh menyamakan aspek ketuhanan ialah memakai benang di tangan kerana percaya ia boleh melindungi anda.
Maknanya anda telah mengaitkan salah satu aspek ketuhanan, iaitu pelindung, pada benang itu, walhal hanya Allah swt yang mampu melindungi kita.
SEJARAH SYIRIK
Ustaz Khairulzaman menceritakan bahawa manusia selepas Nabi Adam hanya menyembah Allah sahaja hinggalah zaman kaum Nabi Nuh.
Nabi Adam seorang nabi tetapi bukan seorang rasul. Nabi Nuh rasul pertama.
"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: 'Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa dan Yaghuth dan Ya'uuq, serta Nasr." (Surah Nuh: 23)
Ayat ini mencerminkan penyembahan berhala pertama. Sebelum zaman Nabi Nuh, terdapat beberapa orang alim, iaitu Wadd, Suwaa, Yaghuth, Ya'uuq, dan Nasr.
Selepas mereka meninggal dunia, kerana kealiman mereka, ada yang ingin memberi penghormatan terhadap mereka.
Menurut Ustaz Khairulzaman, syaitan dan iblis kemudian datang menyerupai manusia dan berbisik kepada orang-orang itu agar membuat patung bagi mengingati mereka.
Patung-patung itu dibuat dengan hasrat menghormati orang-orang alim itu, namun anak-anak generasi seterusnya mengubah penghormatan itu kepada penyembahan. Di situlah bermulanya syirik.
"Daripada sejarah ini, kita boleh belajar beberapa perkara. Nombor satu, kita boleh lihat syirik bukan mempercayai tuhan lain sahaja, tetapi ia juga berkaitan dengan ibadah.
"Contohnya, kita percaya pada satu objek - rantai, cincin, atau apa sahaja - dan kita percaya objek itu boleh melindungi kita. Kita percaya Allah boleh lindungi kita. Dan kita juga percaya cincin itu boleh lindungi kita," ujar Ustaz Khairulzaman.
Beliau menekankan kita sepatutnya hanya beribadah dan percaya bahawa hanya Allah swt dapat melindungi kita (tauhid).
DUA JENIS SYIRIK
Syirik dibahagi kepada dua macam, iaitu syirik besar dan syirik kecil.
Sesiapa yang melakukan syirik besar terkeluar daripada agama Islam. Ia terjadi apabila kita mengaitkan sifat ketuhanan kepada objek atau orang dan kita beribadah kepadanya. Contohnya, apabila seseorang menduakan tuhan dan juga melakukan sihir dengan meminta pertolongan seperti daripada jin dan sebagainya.
Satu lagi contoh sihir ialah astrologi. Seperti dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: "Barangsiapa mempelajari salah satu cabang ilmu nujum (ramalan perbintangan) maka ia telah mempelajari salah satu cabang ilmu sihir."
Ia syirik kerana pengetahuan tentang masa depan (atau tentang perkara yang tidak dapat dilihat), sesuatu aspek ketuhanan, diberi kepada bintang dan anda telah melakukan seakan ibadah apabila cuba mendapatkan pengetahuan dari bintang.
Syirik kecil ialah perbuatan, kepercayaan atau kata-kata yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam tetapi dilihat sebagai melakukan dosa besar.
Contohnya ialah riak, iaitu melakukan sesuatu untuk Allah tetapi pada masa sama anda menunjuk-nunjukkan kepada orang lain.
APA PERLU LAKUKAN?
Ustaz Ustaz Khairulzaman menasihati, pertama sekali kita perlu faham bahawa syirik adalah sesuatu yang berbahaya kerana ia melanggar tujuan kehidupan kita.
Kedua, kita perlu berhati-hati akan apa yang kita katakan, lakukan, dan kita harus mengambil berat perkara-perkara ini, terutama jika ia berkaitan kepercayaan kita.
Beliau memberi contoh pada zaman ini, apa yang dikira perkara remeh, seperti mempercayai nombor yang memberi nasib malang atau perkara khurafat lain walau dilihat sebagai kecil, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa.
Kita perlu sentiasa meminta Allah melindungi kita, keluarga dan rakan-rakan kita daripada syirik dan bahayanya.
Ustaz Khairulzaman berkongsi doa yang bermaksud: "Ya Allah, aku berlindung pada-Mu daripada perbuatan syirik dan aku memohon ampun kepada-Mu atas perbuatan syirik yang tidak aku sedari".
Beliau mengakhiri kuliahnya dengan menasihati perlunya mempelajari lebih lanjut apa itu syirik dan tauhid.
Kita perlu mengetahui apa yang membahayakan agar dapat mengelakkan diri daripadanya.
Ilmu dapat mengelakkan kita daripada perbuatan syirik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg