SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Qada solat hanya dengan sebab yang munasabah

Qada solat hanya dengan sebab yang munasabah

Jan 29, 2021 | 5:30 AM

Qada solat hanya dengan sebab yang munasabah

Ustaz Mohamad H Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.
Ustaz Mohamad H Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah. -

SOLAT ialah satu rukun utama yang diwajibkan kepada umat Islam dalam waktu yang telah ditetapkan.

Pernyataan ini sesuai dengan firman Allah swt yang terdapat dalam surah An-Nisaa':

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.

"Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (4:103)

Berpandukan ayat di atas, jelas sekali bahawa Allah swt memerintahkan supaya menunaikan perintah kewajipan bersolat dalam waktu tertentu.

SOLAT AWAL WAKTU

Setiap waktu solat memiliki permulaan dan pengakhirannya. Tetapi, solat pada awal waktu adalah yang paling bernilai.

Seperti sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

"Anak kunci syurga ialah solat." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Dalam menghuraikan hadis ini, Ustaz Mohamad Rais berkata:

"Apabila kita tidak menjumpai kunci yang sebenar, maka kita akan terkapai-kapai untuk mencari pintu syurga yang diidamkan. Untuk mencari pintu syurga ini, kita hendaklah menjaga waktu solat dengan penuh kesungguhan dan ketekunan."

Keutamaan ini selari dengan pertanyaan yang pernah diajukan kepada Nabi saw tentang "Apakah amalan yang paling utama?; Lalu, baginda menjawab: Solat pada awal waktu." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

JANGAN SENGAJA LAMBATKAN SOLAT

Ustaz Mohamad Rais menambah: "Keberkatan boleh dicari melalui ketepatan menunaikan solat pada waktunya. Namun begitu, ramai orang yang terpaksa melewatkankan solat kerana tidak sempat untuk mengerjakannya dalam waktu yang ditetapkan.

"Kita disyariatkan supaya sembahyang dalam waktu yang diaturkan. Jangan pula sembahyang di luar waktunya kerana kita boleh dikategorikan sebagai orang yang lalai.

"Kalau tidak sengaja seperti tertidur, maka ia dimaafkan. Tetapi, jika sengaja melambatkan-lambatkan solat dan solat di luar waktu, maka tidak boleh. Apa-apa pun, perkara yang lebih afdal adalah sembahyang di awal waktu.

"Hikmahnya, orang yang berjaya menjaga waktu solat pasti memiliki personaliti yang lebih amanah, rajin dan berdedikasi dalam melaksanakan sesuatu perkara."

HUKUM SOLAT DI LUAR WAKTU

"Pada asalnya, hukum solat pada bukan waktunya adalah haram. Tetapi, hukum ini boleh berubah berdasarkan situasi tertentu.

"Contohnya, kita terpaksa menangguhkan solat kerana urusan pekerjaan yang dikhuatiri akan menimbulkan kemudaratan jika kita meninggalkan pekerjaan pada ketika itu.

"Sekiranya kita tidak dapat mengelakkan keadaan-keadaan tertentu atau tidak sengaja terlepas waktu solat, maka dibolehkan untuk sembahyang di luar waktu.

"Islam tidaklah kejam kerana banyak kelonggaran diberikan kepada manusia untuk mengadaptasikan urusan duniawi yang seimbang dengan perkara ukhrawi," ujar beliau.

QADA SOLAT

Ketika berbincang lebih lanjut, Ustaz Mohamad Rais menyatakan bahawa penyelesaian terbaik bagi mereka yang terlepas waktu solat adalah dengan menqada solat.

Namun ia perlu disertakan dengan sebab-sebab munasabah yang tidak dapat dihalang.

"Contohnya, seorang guru yang mempunyai kelas atau pengawal keselamatan yang perlu bertugas dari 12.30 tengah hari hingga 5 petang. Mereka tidak berupaya menunaikan solat zuhur dalam waktu zuhur.

"Jadi, perbuatan seperti ini dimaafkan kerana dia terlepas waktu zuhur dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.

"Dia tidak sengaja untuk melambatkan solat, maka dia perlu qada solatnya. Bagaimanapun, jika keadaan ini sering berlaku, maka seseorang itu perlu mencari jalan untuk keluar daripada situasi tersebut," terang ustaz.

BERDOSA RINGANKAN SOLAT

"Sekiranya dia sengaja melambat-lambatkan solat tanpa alasan kukuh sehingga terpaksa solat di luar waktu, maka ia dianggap sebagai satu dosa.

"Jangan pula sengaja meringan-ringankan solat. Dosa yang datang itu bukan dosa kerana tidak solat, tetapi dosa kerana melengah-lengahkan waktu solat sehingga mendatangkan kecuaian."

Larangan ini disertakan dengan sebuah hadis - Rasulullah saw bersabda mafhumnya:

"Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan (uzur menurut syarak), maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar daripada pintu dosa-dosa besar.'' (HR Al-Hakim).

BIODATA

Ustaz Mohamad H Rais lulusan Sarjana Muda bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau merupakan mantan Presiden Kanan Mahkamah Syariah.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg