Ramadan peluang mohon keampunan

Langkah demi langkah, nafas terus dihela. Ramadan yang tiba, yang dinanti-nantikan sebelas bulan lamanya, kini tinggal sisa-sisanya sahaja.
Semakin hari, di corong radio, siang dan malam bergema irama dan dendangan lagu Raya yang sekali gus mengingatkan kita bahawa Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Ramadan bulan keampunan
Ramadan sinonim dengan Rahmah dan Maghfirah (pengampunan). Rugilah kita andai ia pergi dan kita tidak memperoleh rahmah-Nya dan keampunan-Nya.
Sebagai insan yang biasa, kita tidak pernah terlepas dari melakukan dosa hinggakan adalakanya, kita merasakan diri terlalu kotor dengan bintik-bintik noda dan malu untuk kembali kepada Yang Maha Luas Pengampunannya hinggakan terdetik di hati, Allah sudi ke nak pandang aku lagi?
Andai dosa tersebut ditarik hijabnya dan diketahui manusia, hina dan dinalah dirinya.
Tetapi itu pandangan manusia, bukanlah pandangan Sang Pencipta Manusia yang memandang setiap hambaNya dengan pandangan Rahmah dan sentiasa membuka gerbang dan pintu taubatNya seluas-luasnya.
Pulanglah sebelum berpulang
Setiap langkah kita kepada Allah, seribu langkah Allah datang kepada kita.
Biar hina di pandangan manusia, biar dicemuh mulut-mulut mereka, asalkan kita ikhlas untuk benar-benar kembali kepadaNya, Allah akan mengampunkan kita dan Dia tidak peduli betapa kotornya diri kita sebaliknya Dia tetap menerima kita.
Di dalam sebuah hadis Qudsi riwayat At-Tirmidhi, Allah ada berfirman yang bermaksud, "andai saja anak Adam itu datang kepadaNya dengan dosa setinggi langit dan seluas bumi, Allah akan ampunkannya dan tidak mempedulikan perihalnya selagi mana hamba tersebut benar-benar ingin kembali padaNya."
Kita sering menangguhkan taubat kita dan menyangka usia muda tidak akan dijemput ajal.
Al-Imam Al-Ghazali pernah bertanya muridnya, "apakah yang paling dekat dalam dunia ini?"
Mereka kemudian menjawab, orang tua, guru, teman dan kaum kerabat mereka.
Al-Imam Al-Ghazali kemudiannya berkata bahawa jawapan mereka semua itu adalah benar tetapi mati adalah yang paling dekat.
Bangkit segera andai 'terjatuh'
Setiap dari kita pasti tidak pernah terlepas dari melakukan kemaksiatan. Namun, yang mungkin membezakan kita adalah, siapakah antara kita yang terjatuh ke kancah dosa itu, akan segera bangkit dan memohon keampunan Allah dan siapakah pula yang bila mana jatuh, dibiarkannya lalu terus tersungkur alam lumpuran dosa.
Ada masanya, setelah kita benar-benar ikhlas bertaubat dan berusaha kembali kepada Allah, kita terjatuh dan terjatuh lagi.
Namun, janganlah jadikan itu sebagai penyebab kita berputus asa dan tidak kembali kepada jalan Allah.
Allah juga ada mengingatkan kita dalam Surah Az-Zumar pada ayat 53,
"Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Dalam sebuah Hadis Qudsi riwayat Bukhari pula, ada diceritakan perihal seorang hamba yang bertaubat kemudian tergelincir lagi dan membuat maksiat semula sehingga beberapa kali.
Namun, setiap kali beliau terjatuh, beliau benar-benar insaf dan memohon keampunan Allah.
Lalu Allah pun berfirman, "hambaku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hambaku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau."
Hadis ini bukanlah menggalak manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan perihal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya dan kemudiannya terjatuh ke dalam dosa.
Dan setiap kali beliau melakukan dosa, beliau ikhlas memohon keampunan dan beliau tetap diampun oleh Allah swt.
- Penulis lulusan Universiti Al-Azhar, dan kini bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Belia dan Masyarakat Muis.

