Surah Al-Baqarah ayat 257 hingga 259 menyebut tentang beberapa isu berkaitan bersedekah.
Allah swt menyebutkan perumpamaan mereka yang bersedekah secara ikhlas seperti kebun di tanah tinggi dan subur – apabila dituruni hujan, kebun itu mengeluarkan hasil yang berlipat ganda.
Keikhlasan inilah yang menjadikan sedekah seseorang itu berharga di sisi Allah swt.
Malah, walaupun usahanya nampak sedikit, jika niatnya benar-benar tulus, ganjaran daripada Allah swt sangat besar.
Walau hujan tidak lebat, tanah yang subur tetap menghasilkan buah-buahan yang banyak dan bermutu.
Pada ayat ke 267, Allah swt mengingatkan orang-orang beriman yang ingin bersedekah bahawa jika mereka ingin memberi sesuatu, hendaklah mereka memberikan sesuatu yang baik dan bukan sesuatu yang mereka sendiri tidak mahu serta menjauhinya.
Firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian daripada hasil usaha baik yang kamu peroleh dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan untuk kamu dari bumi. Janganlah kamu memilih yang buruk daripadanya untuk kamu infakkan.” (Surah Al-Baqarah: 267)
Ayat ini mengajarkan kepada kita infak yang dilakukan hendaklah daripada hasil yang baik dan bermutu, bukan sekadar memberikan sesuatu yang tidak berharga atau tidak berguna, seolah-olah sedekah itu sama seperti membuang sampah sebagai alternatif.
Namun, jika ingin bersedekah dalam bentuk pakaian atau barangan yang tidak lagi digunakan, pastikan ia masih dalam keadaan yang boleh dipakai dan dimanfaatkan.
Jangan memberi sesuatu yang sudah rosak atau koyak, sehingga jika seseorang memberikannya kepada kita, kita sendiri akan berasa terhina dan tidak dihargai.
Hal ini selari dengan etika persaudaraan dalam Islam yang mengajar kita mencintai saudara kita sebagaimana kita mencintai diri sendiri.
Ingatlah bahawa Allah swt hanya menerima sesuatu yang bermutu, maka kita juga seharusnya memberikan sesuatu yang bernilai dan bermutu tinggi ketika bersedekah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg