MASJID Darul Makmur yang sudah dibangunkan selama 34 tahun, kini memerlukan kerja-kerja peningkatan agar ia dapat menerima lebih ramai lagi jemaah apabila siap kelak.
Tentunya dengan siapnya peningkatan ini, ia mampu memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.
Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Mengikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun dan Canberra.
Oleh itu, pihak masjid sedang mengumpulkan dana untuk kerja-kerja peningkatan yang akan bermula tidak lama lagi.
Ia mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma dari masyarakat agar semua proses berjalan dengan lancar apabila ia bermula kelak.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, walaupuan pihak masjid mendapat sokongan padu dari masyarakat Islam setempat, jumlah dana yang diperlukan belum lagi mencukupi.
"Setakat ini, kami menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat. Usaha pengumpulan dana yang sedang dijalankan buat masa ini belum pun mencapai separuh dari sasaran kami dan ia perlu dipertingkat lagi agar jumlah dana yang kami sasarkan dapat dicapai," jelas Encik Izuan.
Berkongsi mengenai program masjid buat masa ini, Pegawai Agama Masjid Darul Makmur (MRO), Ustaz Muhammad Safwan Ismani, berkata:
"Pada waktu ini, kami menyediakan program pembelajaran Islam yang mudah diikuti dalam talian dengan kepelbagaian tajuk dan struktur yang sistematik.
"Contohnya, kami menganjurkan kuliah agama yang diadakan secara berterusan sepanjang minggu. Kemudian, kami mengadakan program bersiri yang membincangkan topik-topik terpilih untuk dibahaskan seperti siri Al-Quran, Tauhid dan lain-lain.''
Menurut pihak masjid, perancangan apabila selesai peningkatan masjid nanti, ruang yang lebih luas dan auditorium yang lebih selesa dapat dimanfaatkan oleh semua jemaah.
"Antara fokus utama sewaktu peningkatan ini ialah untuk menambah ruang dewan solat bagi keselesaan jemaah, membina dewan serbaguna dan auditorium yang dapat menampung lebih ramai peserta apabila masjid menganjurkan acara dan program.
"Ruang yang lebih luas yang dapat dibahagikan kepada beberapa zon secara tersendiri juga akan dipertimbangkan dalam lakaran pelan peningkatan masjid agar dapat memenuhi langkah pengurusan selamat pada masa hadapan jika diperlukan.
"Bilik-bilik darjah untuk kegunaan madrasah aLIVE di Masjid Darul Makmur juga akan ditambah sehingga 12 buah bilik daripada hanya tujuh sekarang. Ini akan dapat menampung lebih ramai pelajar madrasah mingguan yang jumlah penyertaan kian meningkat.''
Buat masa ini, terdapat lebih 1,000 pelajar mengikuti program aLIVE secara sambilan di Masjid Darul Makmur.
Usaha ini semua dilakukan agar pihak masjid dapat mengemudi program pendidikan agama yang sesuai dalam membentuk modal insan yang bukan sahaja berintelektual tinggi, malah generasi Muslim yang berakhlak mulia dan murni.
Berkongsi rayuan beliau, Ustaz Muhammad Safwan, berkata:
"Kami berharap masyarakat dapat menyokong usaha masjid mencari dana bagi kos peningkatan. Sewaktu tempoh peningkatan masjid nanti, operasi tadika dan madrasah hujung minggu akan dipindahkan ke Masjid Assyafaah buat sementara waktu.
"Oleh itu, harap proses peningkatan akan berjalan dengan lancar dan tepat pada waktu yang ditentukan agar pelajar dan program kami boleh kembali diadakan di Masjid Darul Makmur seperti sediakala," jelas Ustaz Muhammad Safwan lagi.
CARA MENYUMBANG
Derma bagi Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:
PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Ref: Wakaf/Infaq)
Bank Transfer ke Akaun: OCBC Current 581-652138001 (Ref: Wakaf/Infaq)
Melalui cek ke atas nama: 'MASJID DARUL MAKMUR' dan hantar melalui pos ke: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
Hadir ke Pejabat Masjid Darul Makmur (pada waktu pejabat).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg