Topik diikuti
Pergi ke BHku'Membawang' dilarang, namun ada situasi dibolehkan
'Membawang' dilarang, namun ada situasi dibolehkan
'Membawang' dilarang, namun ada situasi dibolehkan
MEMBAWANG - satu ungkapan merujuk kepada perbuatan yang semakin difahami umum sebagai mengumpat.
Mengumpat atau gheebah ini sebenarnya adalah perbuatan yang dilarang lebih-lebih lagi apabila kita menceritakan keburukan orang kepada orang lain.
Dengan cara membawa cerita 'panas', dia akan disanjung dalam masyarakat pengumpat.
Justeru, kita perlu meninggalkan budaya mengumpat kerana dengan sibuk bercerita tentang keburukan orang lain tidak membuatkan diri dan kehidupan kita lebih baik.
Namun, ada juga situasi di mana ia dibolehkan.
Begitulah yang dikongsikan oleh Imam Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Hanan Farihin dalam kuliah dalam taliannya anjuran Masjid Ar-Raudhah berdasarkan surah An-Nisa' ayat 148 - 152.
Dari surah An-Nisa' ayat 148, yang bermaksud:
"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Ustaz Hanan mengetengahkan sebuah riwayat dalam kitab Az-Zuhd dari Imam Mujahid yang menceritakan ada seorang lelaki bertamu di rumah satu keluarga ini, dan keluarga ini sangat buruk layanannya kepadanya.
Tamu tersebut menceritakan keburukan mereka lalu Allah swt turunkan ayat ini sebagai membenarkan perbuatannya.
Ustaz Hanan menjelaskan:
"Di sini kita diperingatkan untuk kita jangan sesekali mendedahkan atau kita cuba menyiarkan atau menceritakan keburukan orang secara terang-terangan.
"Perbuatan ini dilarang kerana selain daripada membawa kepada gheebah, yakni mengumpat ia juga akan merosakkan nama baik orang yang diceritakannya kecuali jika kita ni teraniaya kiranya tidaklah ditegah untuk berbuat demikian sekiranya ada sebab-sebab yang membolehkan."
Ustaz Hanan memberikan contoh seperti kita boleh mendoakan secara terang-terangan bagi orang yang berbuat zalim kepada kita ataupun kita boleh menuntut bela kepada orang yang menganiaya kita.
Tetapi, yang sebaik-baiknya adalah seperti yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah An-Nisa' ayat 149 yang bermaksud:
"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa."
Daripada ayat ini, menurut Ustaz Hanan, jika seseorang itu dapat memaafkan orang yang telah membuat salah kepadanya padahal dia berdaya untuk membalasnya maka ada tiga kebaikan yang akan kita perolehi.
Pertama, Allah swt akan memberinya balasan yang setimpal dengan amalannya.
Kedua, akan dimaafkan kesalahannya.
Dan yang ketiga, akan pula diberi pahala oleh Allah swt.
"Semoga kita semua dikurniakan sifat pemaaf serta dijauhkan daripada segala penyakit hati yang boleh membawa akibat buruk kepada diri kita," kata Ustaz Hanan.
Ini kerana Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu Muslim atau bukan Muslim.
Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat.
- Ustaz Hanan Farihin merupakan Imam Eksekutif Masjid Ar- Raudhah. Beliau merupakan lulusan dari Universiti Yarmouk di Jordan dalam Fiqah dan Usul Fiqah (Syariah).
“
"Mengumpat atau gheebah ini sebenarnya adalah perbuatan yang dilarang lebih-lebih lagi apabila kita menceritakan keburukan orang kepada orang lain. Dengan cara membawa cerita 'panas', dia akan disanjung dalam masyarakat pengumpat. Justeru, kita perlu meninggalkan budaya mengumpat kerana dengan sibuk bercerita tentang keburukan orang lain tidak membuatkan diri dan kehidupan kita lebih baik." - Ustaz Hanan Farihin.TAKRIF UMPAT SEBAGAIMANA DIBERI RASULULLAH SAW
- Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:
Maknanya: "Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?"
Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.
Nabi saw bersabda: "Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya." (Hadis riwayat al-Muslim)
- "Beritahu kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan?
Baginda berkata: "Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya." (Hadis riwayat al-Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)
- Daripada Abi Darda' ra, Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang melarang seseorang daripada (mengaibkan) maruah saudaranya, maka Allah akan menahan mukanya daripada api neraka pada hari kiamat kelak." (Hadis riwayat al-Tirmizi)
- Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Sebagai seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia.
Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia.
