Musim cuti telah pun tiba, dan suasana masyarakat menunjukkan ramai yang mengambil peluang itu untuk berehat dan melepaskan tekanan kerja sepanjang tahun.
Ada yang meluangkan cuti tahunan mereka dengan melancong ke luar negara, ada yang sekadar menyeberang ke negara jiran untuk beberapa hari dan ada juga yang memilih untuk melakukan ‘staycation’ atau cuti inap di hotel atau resort berdekatan tanpa perlu memikirkan perjalanan jauh.
Apa jua bentuk percutian yang dipilih, ia merupakan masa yang dinanti-nantikan oleh ramai untuk menyegarkan fikiran, mengukuhkan hubungan keluarga dan menikmati kelapangan yang jarang diperoleh dalam rutin harian.
Namun, perlu diingat meskipun kita bercuti, tanggungjawab kita kepada Allah swt tidak pernah berhenti.
Hukum agama tidak terangkat hanya kerana seseorang sedang bercuti atau berehat daripada urusan dunia.
Menjadi seorang Muslim bererti kita sentiasa memastikan kewajipan agama tetap dilaksanakan dalam apa jua keadaan – sama ada ketika bekerja, belajar, berehat mahupun ketika melancong.
Kita harus memahami percutian bukan alasan yang sah untuk melonggarkan prinsip agama.
Tidak ada istilah solat ditinggalkan kerana sedang melancong, aurat tidak dijaga kerana sedang di pantai, atau batas agama diabaikan kerana ingin menikmati suasana baru.
Sebaliknya, percutian seharusnya menjadi peluang mengenal Allah swt melalui keindahan alam ciptaan-Nya, menghargai nikmat waktu lapang dan mensyukuri rezeki yang memungkinkan seseorang keluar daripada rutin harian.
Justeru, memahami tanggungjawab agama kekal berjalan walaupun ketika bercuti adalah penting agar perjalanan kita sentiasa dalam lindungan dan keredaan-Nya.
Solat adalah asas utama agama dan ia merupakan ibadah yang tidak gugur dalam apa jua keadaan kecuali jika seseorang hilang akal.
Oleh itu, walaupun seseorang sedang bercuti, solat tetap wajib ditunaikan mengikut waktunya.
Namun, Islam sebagai agama yang penuh rahmat menyediakan pelbagai kemudahan bagi musafir melalui rukhsah (kelonggaran). Allah swt berfirman dalam Surah Al Hajj, ayat 22:
“Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama.”
Antara rukhsah bagi mereka yang bermusafir ialah kemudahan menjamakkan (menghimpunkan) dan mengqasarkan (memendekkan) solat.
Ini memudahkan seseorang yang sedang dalam perjalanan untuk tetap melaksanakan solat tanpa terbeban oleh kesulitan musafir.
Jamak membolehkan dua solat dihimpunkan dalam satu waktu – sama ada jamak takdim (mendahulukan) atau jamak takhir (melewatkan) – mengikut kesesuaian jadual perjalanan.
Qasar pula bermaksud memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat, sekali gus mengurangkan keletihan dan memudahkan seseorang beribadah dengan lebih sempurna.
Kemudahan itu menunjukkan betapa Allah swt sangat memahami keadaan hamba-Nya.
Sewaktu bermusafir, kita pasti melalui pelbagai cabaran seperti perubahan jadual, kepenatan fizikal, atau perjalanan yang tidak menentu.
Oleh itu, syariat menyediakan alternatif agar seorang Muslim tetap dapat mengerjakan solat tanpa tekanan.
Namun, rukhsah itu hanya boleh diamalkan apabila syaratnya dipenuhi.
Jarak perjalanan mesti melebihi dua marhalah, kira-kira 82 kilometer, dan perjalanan dikira bermula setelah seseorang melepasi bangunan terakhir negerinya seperti lapangan terbang atau pusat imigresen.
Selain itu, menurut mazhab As-Syafii, seseorang hanya dianggap musafir selama empat hari, tidak termasuk hari tiba dan hari pulang.
Jika tempoh berada di destinasi melebihi had itu, maka hukum musafir gugur dan solat perlu dilakukan seperti biasa tanpa jamak dan qasar.
Salah satu persoalan yang sering timbul adalah bagaimana hendak menunaikan solat ketika berada di dalam pesawat.
Ini merupakan cabaran besar bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh melalui penerbangan antarabangsa.
Jalan terbaik adalah merancang lebih awal ketika menempah tiket penerbangan.
Jika boleh, pilih waktu penerbangan yang membolehkan solat dilakukan sama ada sebelum berlepas atau selepas mendarat.
Dengan cara itu, seseorang tidak perlu menunaikan solat dalam keadaan kurang selesa di dalam pesawat.
Namun, jika pilihan waktu tidak tersedia atau penerbangan telah pun ditempah, solat tetap wajib dilaksanakan di dalam pesawat.
Sekiranya pesawat mempunyai ruang solat khas, gunakan kemudahan itu.
Jika tidak, kebanyakan ulama kontemporari berpendapat solat boleh dilakukan di tempat duduk dengan rukuk dan sujud secara isyarat, memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk memenuhi rukun berdiri dan rukun lain secara sempurna.
Dalam situasi itu, seseorang hendaklah berusaha menghadap kiblat jika mampu.
Jika tidak, solat dilakukan menghadap apa jua arah yang termampu. Allah swt berfirman dalam Surah At-Taghabun, ayat 16:
“Bertakwalah kepada Allah sedaya upaya kamu.”
Ayat ini menjadi asas bagi kaedah di mana ibadah boleh dilakukan mengikut kemampuan ketika berada dalam situasi terdesak.
Meskipun begitu, kewajipan solat tidak gugur kerana syariat menyediakan kemudahan agar solat tetap dapat ditunaikan walaupun dalam keadaan mencabar seperti penerbangan.
Akhirnya, percutian bukan sekadar masa merehatkan badan atau memastikan mental kembali segar.
Ia juga perlu dijadikan kesempatan memperbaharui hubungan dengan Allah swt.
Melancong tidak bermaksud segala hukum terangkat sehingga membuatkan kita berasa bebas melakukan apa sahaja.
Justeru, jadual perjalanan dan kegiatan yang dirancang sewajarnya mengikut dan mengambil kira waktu solat serta keperluan mendapatkan makanan halal yang dibenarkan.
Begitu juga, jangan kita melihat solat, menutup aurat dan ibadah lain sebagai beban yang menjejaskan percutian.
Sebaliknya, anggap kewajipan itu sebagai sebab Allah swt menurunkan keberkatan dan rahmat dalam perjalanan kita. Nabi saw bersabda:
“Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu. Kenalilah Allah ketika lapang, nescaya Allah mengenalimu ketika susah.” (HR Bukhari).
Hadis ini mengajarkan sesiapa yang menjaga hubungan dengan Allah swt ketika senang, Allah akan menjaga dan memeliharanya ketika beliau berada dalam kesempitan.
Ketika bercuti, kita juga tidak terlepas daripada kemungkinan menghadapi situasi sukar.
Itulah saat keberkatan serta penjagaan Allah swt sangat diperlukan.
Maka percutian adalah nikmat dan peluang halal untuk dinikmati.
Namun, seorang Muslim tetap terikat dengan amanah Tuhan di mana sahaja dia berada.
Nikmatilah percutian dengan hati yang gembira, namun jangan lupa kita tetap hamba Allah swt setiap masa.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg