Tanggungjawab di sebalik jawatan, amanah kerja
Surah Al-Baqarah ayat 246 hingga 248 menceritakan tentang Bani Israel setelah wafatnya Nabi Musa as, ketika mereka meminta seorang raja untuk memimpin perang di jalan Allah swt.
Nabi mereka ketika itu memperingatkan bahawa mereka mungkin tidak akan menepati janji, dan benar, ketika perang diwajibkan, kebanyakan daripada mereka berpaling.
Allah swt kemudian memilih Thalut sebagai raja, meskipun beliau bukan daripada golongan orang kaya.
Nabi mereka menjelaskan bahawa Allah swt memilihnya kerana ilmunya yang luas dan tubuhnya yang kuat.
Namun, Bani Israel meremehkannya kerana kedudukan sosial dan kekayaannya yang rendah sambil mendakwa bahawa mereka lebih layak untuk diberi kuasa dan jawatan tersebut.
Di antara pengajaran kisah ini adalah supaya berhati-hati daripada mengejar jawatan dan kedudukan semata-mata untuk memuaskan nafsu sendiri, kerana ia adalah suatu ujian yang berat.
Sebahagian individu mendambakan pangkat dan jawatan yang tinggi sehingga mereka sanggup menganiaya sesiapa sahaja yang menghalang mereka daripada mencapai matlamat tersebut, bahkan rakan terdekat mereka sendiri.
Jika mereka tidak mendapat apa yang didambakan, hasad akan menguasai fikiran dan kebencian akan mendorong mereka menyakiti orang yang mendapat kenaikan pangkat tersebut.
Ini adalah kesan negatif daripada keinginan yang melampau.
Seperti dalam kisah ini, jawatan dan pangkat adalah anugerah dan pada masa yang sama ujian daripada Allah swt kepada hamba-hamba-Nya.
Jika anda diberikan jawatan yang tinggi, anda harus sedar bahawa ia datang dengan tanggungjawab yang lebih besar dan harus dilaksanakan dengan amanah tanpa menyakiti atau menzalimi orang di sekeliling.
Jika jawatan itu diberikan tanpa anda memintanya, itulah yang terbaik, sebagaimana sabda Rasulullah saw kepada sahabatnya:
“Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta jawatan kepemimpinan. Sesungguhnya jika ia diberikan kepadamu kerana permintaanmu, maka engkau akan diserahkan kepadanya (tanpa bantuan Allah). Tetapi jika ia diberikan kepadamu tanpa permintaan, maka engkau akan dibantu dalam melaksanakannya.” (HR Bukhari).

