Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan, rahmat dan keampunan.
Ia adalah bulan umat Islam dididik menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mengawal nafsu daripada melakukan perkara yang dilarang Allah swt.
Namun, kejayaan sebenar Ramadan bukan diukur semata-mata pada amalan yang dilakukan sepanjang bulan tersebut, malah sejauh manakah latihan Ramadan itu berjaya membentuk peribadi dan akhlak seorang Muslim selepasnya.
Inilah hakikat sebenar seorang ‘siswazah’ Ramadan – insan yang berjaya mengekalkan disiplin dan amalan yang dibentuk dalam Ramadan dalam kehidupan seharian.
Allah swt telah menjelaskan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 17, tentang lima ciri utama orang bertakwa, yang menjadi penunjuk kepada kejayaan seorang ‘siswazah’ Ramadan.
Firman Allah swt: “Dan (juga) orang-orang yang sabar, orang-orang yang benar, orang-orang yang tetap taat, orang-orang yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan orang-orang yang memohon ampun di waktu sahur.”
Ayat ini memberikan gambaran tentang sifat orang yang bertakwa, yang seharusnya menjadi matlamat utama setiap Muslim selepas berakhirnya Ramadan.
Lima ciri ini merupakan penunjuk kejayaan bagi seorang ‘siswazah’ Ramadan dalam meneruskan kecemerlangan ibadah dan akhlak selepas tamatnya madrasah Ramadan.
1. Sabar (As-Sobirin): Ketahanan diri dalam hadapi ujian
Sabar adalah sifat utama yang diasah sepanjang Ramadan.
Berpuasa selama lebih 12 jam setiap hari menuntut kekuatan fizikal dan mental.
Sabar dalam menahan lapar, dahaga, serta mengawal emosi merupakan latihan berharga yang membentuk ketahanan jiwa.
Seorang ‘siswazah’ Ramadan yang berjaya akan terus mempraktikkan sifat sabar ini dalam menghadapi cabaran kehidupan harian.
Dalam konteks kehidupan, sabar bukan sahaja dalam menghadapi musibah bahkan dalam menunaikan ketaatan kepada Allah swt dan meninggalkan maksiat.
2. Jujur (As-Sodiqin): Ikhlas dalam perbuatan dan perkataan
Ramadan melatih kita bersikap jujur dalam melakukan ibadah.
Puasa adalah ibadah yang hanya diketahui oleh Allah swt dan diri sendiri.
Keikhlasan dalam berpuasa melatih seorang Muslim bersikap jujur dan benar dalam kehidupan harian.
Seorang ‘siswazah’ Ramadan yang berjaya akan terus mengekalkan kejujuran dalam semua urusan – dalam pekerjaan, pergaulan dan tanggungjawab sosial.
Jujur dalam perbuatan dan perkataan adalah asas kepada kepercayaan dan keharmonian dalam masyarakat.
3. Taat (Al-Qanitin): Tekal dalam ibadah dan kepatuhan
Ramadan membentuk sikap istiqamah dalam melakukan ibadah.
Solat tarawih, qiamullail, tadarus Al-Quran dan zikir yang dilakukan secara berterusan melatih jiwa agar tetap taat kepada Allah swt.
Seorang ‘siswazah’ Ramadan yang berjaya akan terus mengekalkan ketaatan itu selepas Ramadan dengan memperbanyakkan solat sunat, bacaan Al-Quran dan memperbaiki mutu solat fardu.
Ketaatan yang dibentuk dalam Ramadan adalah bukti ketaatan yang sebenar kepada perintah Allah swt.
4. Dermawan (Al-Munfiqin): Kecintaan kongsi rezeki
Ramadan juga melatih sifat dermawan dalam diri setiap Muslim.
Amalan bersedekah, membayar zakat fitrah, memberi makan kepada orang yang berbuka puasa adalah bentuk latihan untuk menumbuhkan sifat murah hati.
‘Siswazah’ Ramadan yang berjaya akan terus mengekalkan sifat ini dengan memperbanyak sedekah, membantu orang yang memerlukan dan berinfak di jalan Allah swt.
Bersedekah bukan sahaja mendekatkan diri kepada Allah swt, bahkan membersihkan harta dan menyuburkan rasa kasih sayang dalam masyarakat.
5. Beristighfar di waktu sahur (Al-Mustaghfirin Bil Ashar): Jaga hubungan dengan Allah swt
Amalan qiamullail dan beristighfar di waktu sahur adalah lambang kepatuhan seorang hamba kepada Allah swt.
Ramadan melatih kita untuk bangun malam, solat tahajud dan memohon keampunan daripada Allah swt.
‘Siswazah’ Ramadan yang berjaya akan terus menjadikan amalan qiamullail dan istighfar sebagai rutin harian walaupun selepas Ramadan.
Allah swt amat mencintai hamba yang bangun di waktu malam untuk memohon keampunan dan merintih di hadapan-Nya.
Kejayaan sebenar seorang ‘siswazah’ Ramadan bukan diukur pada banyaknya ibadah yang dilakukan dalam Ramadan semata-mata, malah sejauh mana disiplin ibadah dan akhlak yang dibentuk itu mampu dikekalkan dalam kehidupan harian selepas Ramadan.
Ramadan adalah madrasah yang membentuk peribadi Muslim sejati – sabar dalam menghadapi cabaran, jujur dalam perbuatan, taat dalam ibadah, dermawan kepada orang lain dan merendah hati kepada Allah swt dengan istighfar dan taubat.
Sebagai ‘siswazah’ Ramadan, kita seharusnya menjadikan lima ciri ini sebagai panduan dalam kehidupan.
Jika sifat-sifat ini terus diamalkan, maka Ramadan telah berjaya membentuk diri kita menjadi hamba Allah swt yang bertakwa.
Semoga Allah swt mengurniakan kita kekuatan untuk terus istiqamah dalam kebaikan dan menjadikan Ramadan sebagai titik perubahan ke arah kehidupan yang lebih dekat dengan-Nya.
Ingat bahawa setelah Ramadan berlalu, semangat dan roh Ramadan perlu terus hidup dalam diri seorang Muslim sepanjang hayat.
Penulis ialah guru Al-Quran dan Bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan juga guru di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg