LANDSKAP kehidupan di serata dunia banyak berubah ekoran Covid-19 - daripada perkara harian hingga kepada beribadat seperti solat berjemaah dan sebagainya.
Zulhijah, bulan paling utama daripada empat bulan haram dengan kelebihan mempertingkatkan ketakwaan menerusi amalan soleh dan meninggalkan kemaksiatan, masih dalam suasana Covid-19.
Keistimewaan 10 hari pertama bulan ini dijelaskan hadis Nabi saw bahawa tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini - baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijah. (Riwayat al-Bukhari:969, Abu Daud:2438, Ibn Majah:1727, al-Tirmizi:757).
Apabila ia adalah perkara yang paling disukai Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal di sisi-Nya.
Sebahagian ulama menyatakan 10 malam awal Zulhijah lebih afdal daripada 10 malam akhir Ramadan. Oleh itu, perjuangan pada 10 hari terawal Zulhijah wajar lebih tinggi.
Dalam Zulhijah terdapat ibadat yang tidak ada di bulan lain, iaitu haji dan korban.
Lantaran wabak, masyarakat Islam Singapura sudah dua tahun tidak dapat menunaikan haji di Makkah dan korban di Singapura.
Namun ini tidak harus menghalang kita menghidupkan 'roh' haji dan korban.
Berdasarkan sejarah, sudah 40 kali Masjidil Haram ditutup bermula tahun 865 hingga 1987 atas pelbagai sebab seperti perang, kebakaran dan wabak penyakit.
Ibadah haji dan umrah pernah dibatalkan di zaman Rasulullah saw pada tahun keenam Hijrah.
Namun, usah jadikan kekecewaan tidak dapat menunaikan haji atau umrah menyelubungi hati, sebaliknya sebagai peluang membuat persiapan haji pada tahun mendatang dari sudut ilmiah, ekonomi, kesihatan mental dan fizikal.
Allah berfirman: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah:216.)
Ia tidak menghalang kita merebut peluang kelebihan Hari Arafah - berpuasa sunat dan berdoa pada 9 Zulhijah.
Hadis Nabi menyatakan "Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang". (Riwayat Muslim: 1977)
Dan usah lepaskan peluang memperbanyakkan doa pada hari itu.
Korban adalah ibadah sunat yang sangat dituntut bagi menghampirkan diri kepada Allah.
Selain hikmah daripada peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya, terdapat kisah korban oleh dua anak Adam (Habil dan Qabil) - seorang mempersembahkan korban dengan memberi yang terbaik dengan penuh ikhlas, dan seorang tidak bersemangat dengan korban yang kurang bernilai. Allah menerima korban yang dipersembahkan oleh yang soleh.
Walaupun tidak dapat dilaksanakan di sini, terdapat peluang melaksanakan korban di luar negara.
Yang penting, ia dapat memupuk sikap prihatin dan peduli sesama saudara Islam, khususnya kepada golongan kurang kemampuan.
Korban bukan sekadar mengeluarkan perbelanjaan untuk menempah dan menyembelih korban bagi mendekatkan diri kepada Allah. Usah berebut melakukan korban kerana ingin bersama penganjur atau memilih korban yang paling murah.
Yang Allah mahukan ialah keikhlasan, ihtisab (mengharap pahala dari-Nya) dan niat yang soleh.
Ini harus menjadi motivasi ketika berkorban iaitu ikhlas, bukan riak atau berbangga, dan bukan kerana seseorang atau sudah menjadi rutin tahunan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg