Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tingkat ketakwaan, pererat silaturahim dalam bulan Zulhijah

Jun 5, 2024 | 12:10 PM
Pada Hari Raya Aidiladha, umat Islam berkumpul untuk melaksanakan solat sunat Aidiladha di masjid, diikuti dengan ibadah korban, dengan dagingnya dibahagikan kepada jiran tetangga, fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Amalan ini bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah swt, bahkan memperkukuh ikatan kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat.
Pada Hari Raya Aidiladha, umat Islam berkumpul untuk melaksanakan solat sunat Aidiladha di masjid, diikuti dengan ibadah korban, dengan dagingnya dibahagikan kepada jiran tetangga, fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Amalan ini bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah swt, bahkan memperkukuh ikatan kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar Islam, merupakan bulan penuh keberkatan dan kemuliaan.

Pada bulan ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, salah satu daripada dua perayaan utama dalam Islam, yang disertai dengan pelbagai amalan mulia.

Jadi, apa sebenarnya kepentingan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 17 Jun nanti?

Keutamaan Zulhijah

Zulhijah adalah bulan yang sangat istimewa dalam kalendar Islam kerana mengandungi hari-hari yang penuh keberkatan dan ganjaran yang besar di sisi Allah swt.

Antara keutamaan bulan mulia ini termasuk:

1) 10 hari pertama Zulhijah

Dalam 10 hari pertama Zulhijah, semua ketaatan dan kebaikan umat Islam menjadi ibadah yang pahalanya dilipat ganda. Sabda Baginda saw:

“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini (Zulhijah). Para sahabat bertanya: Walaupun jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi (mati syahid).” (HR Al-Bukhari).

Dalam hadis ini, Rasulullah saw seolah-olah ingin memberikan dorongan yang sangat kuat kepada para sahabat dan umatnya untuk tidak melepaskan keutamaan 10 hari pertama Zulhijah.

Baginda saw bahkan membandingkannya dengan jihad di jalan Allah.

Amalan soleh yang boleh dilakukan pada 10 hari ini merangkumi segala perbuatan baik yang disukai Allah swt.

Ini termasuk solat, puasa, membaca Al-Quran, zikir, sedekah, menyantuni anak yatim, membantu orang dalam kesusahan dan seumpamanya.

2) Ibadah haji

Zulhijah juga dikenali sebagai bulan haji. Umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji, tidak kira latar belakang, budaya dan status yang berbeza.

Ibadah haji melengkapi rukun Islam yang kelima dan melaksanakannya membuktikan kepatuhan seorang Muslim dalam menjalankan keseluruhan ajaran Islam.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Imran, ayat 97:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

3) Hari Arafah

Hari Arafah pada 9 Zulhijah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.

Namun, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka dianjurkan berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunah pada hari tersebut.

Amalan yang dianjurkan

Terdapat pelbagai amalan yang digalakkan pada bulan mulia ini, di antaranya:

1) Puasa

Ada beberapa hari dalam Zulhijah di mana umat Islam digalakkan berpuasa.

Ini termasuk pada 1 hingga 7 Zulhijah, 8 Zulhijah (puasa Tarwiyah) dan 9 Zulhijah (puasa Arafah).

Menurut Imam Ibn Qudamah, hari Tarwiyah (8 Zulhijah) adalah hari para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah.

Ia juga merupakan hari Nabi Ibrahim as mendapat wahyu daripada Allah swt untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail as.

Puasa Arafah (9 Zulhijah) pula merupakan peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadah haji, merebut fadilat yang dijanjikan pada hari tersebut – pengampunan besar daripada Allah swt.

Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi saw bersabda:

“Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” (HR Muslim).

2) Takbir, tahmid dan tahlil

Bermula dari 1 Zulhijah sehingga hari terakhir tasyrik (13 Zulhijah), umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan takbir (ucapan Allahu Akbar), tahmid (ucapan alhamdulillah) dan tahlil (ucapan la ilaha illallah).

Ucapan ini bukan sahaja mengagungkan Allah, malah meningkatkan ketakwaan dan kesedaran rohani seseorang.

Firman Allah swt dalam Surah Ibrahim ayat 7:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih’.”

3) Korban

Korban berasal daripada perkataan bahasa Arab, qariba, yang bermakna dekat.

Ia juga membawa maksud mendekatkan diri kepada Allah swt dengan mengerjakan segala perintah-Nya.

Ibadah korban merupakan amalan yang begitu penting dalam Islam kerana ia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as ketika diperintahkan Allah swt untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail as.

Hukum ibadah korban adalah sunah muakkad (sangat dituntut) bagi orang-orang yang berkemampuan.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Kauthar ayat 1-2:

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Dalam pada itu, Nabi saw juga tidak pernah meninggalkan ibadah korban setelah ia disyariatkan.

4) Pererat silaturahim

Hari Raya Aidiladha adalah waktu yang sangat penting untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga, sahabat dan masyarakat.

Pada hari ini, umat Islam berkumpul untuk melaksanakan solat sunat Aidiladha di masjid, diikuti dengan ibadah korban, dagingnya dibahagikan kepada jiran tetangga, fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

Amalan ini bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada Allah swt, malah memperkukuh ikatan kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 36:

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kededua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Kesimpulan

Oleh itu, Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita tentang pentingnya pengorbanan dan ketaatan, serta mengajarkan kita untuk lebih peduli dan kasih terhadap sesama manusia.

Ia juga merupakan peluang emas bagi setiap Muslim mendekatkan diri kepada Allah swt melalui pelbagai amalan yang dianjurkan.

Semoga kita diberi kekuatan dan kesempatan untuk melaksanakan amalan-amalan ini dengan penuh keikhlasan.

Semoga Allah menerima segala usaha dan amal ibadah kita di bulan mulia ini, insya-Allah.

Penulis bertugas sebagai penyunting di Berita Harian/Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda bidang Tafsir dan Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir. Beliau telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Beliau mantan eksekutif kurikulum dan ustazah di sebuah pusat pendidikan Al-Quran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg