Syukur adalah salah satu resipi kebahagiaan.
Melalui rasa syukur, kita mengingatkan diri akan nikmat yang Allah swt kurniakan, sama ada melalui usaha dan doa, atau rezeki yang datang tanpa disangka.
Justeru, ini menjadikan kita lebih bahagia dalam menjalani kehidupan.
Namun, ketika diuji, kita juga perlu bersyukur.
Ujian mengingatkan kita kepada Allah swt dan membantu kita menjadi lebih positif.
Daripada ujian itu, kita belajar dan mensyukuri rahmat Allah swt yang melimpah.
Syukur adalah perasaan atau sikap berterima kasih dan penghargaan atas segala nikmat, anugerah dan kebaikan yang diterima.
Syukur bukan hanya dengan kata-kata, tetapi juga melalui tindakan, seperti memberi kepada orang lain, menjaga kebersihan, atau menjalani hidup dengan penuh pengiktirafan dan kesyukuran terhadap nikmat yang telah diberikan.
Dalam agama, syukur adalah pengakuan dan penerimaan terhadap takdir yang diberikan oleh Allah swt.
Kufur nikmat adalah tindakan dengan seseorang tidak menghargai anugerah Allah swt, bahkan menggunakan nikmat itu berbuat dosa.
Sikap kufur ini boleh timbul dalam diri sesiapa sahaja, termasuk orang yang beriman.
Ini membuktikan bahwa keyakinan atau keimanan sahaja tidak cukup untuk mencegahnya.
Kufur nikmat bukanlah kekufuran akidah, tetapi ia tetap dianggap tindakan yang boleh mendatangkan akibat buruk.
Contohnya, Allah swt mengurniakan kita kecerdasan akal dan tubuh badan yang sihat, tetapi kita menggunakan kelebihan itu untuk melakukan maksiat seperti menipu atau mengambil hak orang lain.
Apabila kita lupa mengingati Allah swt saat menerima nikmat, kita akan rasa tidak pernah cukup dan tidak bahagia, hanya melihat kekurangan seolah-olah tiada nikmat yang diberikan.
Firman Allah swt dalam surah Ibrahim, ayat 7, mengenai ganjaran bagi mereka yang bersyukur:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras’.”
Ayat ini menegaskan bahawa apabila kita bersyukur kepada Allah swt atas segala nikmat-Nya, Allah swt akan melipatgandakan kurniaan-Nya kepada kita.
Namun, jika kita kufur atau tidak mensyukuri nikmat tersebut, balasannya adalah azab yang pedih.
Oleh itu, ayat ini menjadi peringatan penting untuk kita sentiasa menghargai dan mensyukuri segala nikmat yang telah Allah swt berikan.
Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan rasa syukur:
1) Salah satu cara mensyukuri nikmat Allah swt adalah dengan mengenang kembali segala nikmat yang pernah kita terima. Melihat semula gambar atau video yang pernah dirakam boleh membantu kita mengingat nikmat yang Allah swt kurniakan, termasuk saat-saat indah bersama insan tersayang yang sentiasa ada di waktu susah dan senang.
2) Selain itu, luangkan masa untuk merenung dan muhasabah, betapa banyak permintaan, lintasan hati dan doa yang telah Allah swt kabulkan. Pastinya, tidak terkira banyaknya. Bahkan, rezeki sering datang apabila tidak dijangka, sebagai tanda kasih sayang-Nya yang tiada penghujungnya.
3) Kita juga boleh menzahirkan rasa syukur dengan meningkatkan amalan ibadah. Contohnya, berinfak mengikut kemampuan kita, menyumbangkan tenaga membantu anggota keluarga, berkhidmat di masjid, atau menyertai mana-mana organisasi kebajikan. Melalui usaha ini, kita bukan sahaja mensyukuri nikmat Allah swt malah turut menyebarkan kebaikan kepada orang lain.
Untuk mengelakkan kufur nikmat, kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang betapa banyaknya nikmat yang telah Allah swt kurniakan dan menghargainya dengan hati yang ikhlas. Berikut adalah beberapa cara untuk menghindari kufur nikmat:
Syukur dengan ucapan dan perbuatan – Setiap kali dikurniakan nikmat, ucapkan rasa syukur kepada Allah swt, sama ada melalui doa atau dengan melaksanakan amal ibadah seperti solat, sedekah, atau membantu orang lain. Ini adalah cara kita menunjukkan penghargaan terhadap nikmat yang diberikan.
Hayati kelebihan dan kesusahan – Jangan hanya melihat nikmat dari sudut kebendaan, tetapi juga hargai kesihatan, hubungan yang baik, serta masa dan ilmu yang diperoleh. Setiap perkara, baik yang besar mahupun yang kecil, adalah nikmat yang patut disyukuri.
Elak sifat tamak – Sifat tamak, atau keinginan untuk sentiasa mendapatkan lebih tanpa menghargai apa yang telah dimiliki, boleh mengakibatkan kita kehilangan rasa syukur. Tumpukan perhatian kepada apa yang telah diberikan dan berusaha secara positif untuk mencapai yang lebih baik.
Ingat mereka yang lebih susah – Merenung keadaan orang yang kurang bernasib baik dapat mengingatkan kita untuk lebih bersyukur atas segala nikmat yang kita miliki. Ini juga membantu mengurangkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang belum kita capai.
Bersikap tawakal dan reda – Menerima segala ketentuan Allah swt dengan penuh keikhlasan, baik dalam ujian mahupun kesenangan, menunjukkan sikap syukur yang mendalam. Keimanan yang kukuh membantu kita melihat setiap keadaan sebagai ujian dan peluang untuk memperbaiki diri.
Dengan menjaga hati dan sentiasa bersyukur, kita dapat menghindari sikap kufur nikmat serta hidup dalam kedamaian dan kebahagiaan.
Dengan kedatangan bulan Syaaban, mari kita bersama menanamkan azam baru untuk menjadi hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.
Semoga kita dikurniakan istiqamah agar mudah untuk terus beramal soleh, terutama pada Ramadan yang akan datang dan seterusnya hingga akhir hayat.
Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.
“
“Kufur nikmat adalah tindakan dengan seseorang tidak menghargai anugerah Allah swt, bahkan menggunakan nikmat itu berbuat dosa. Sikap kufur ini boleh timbul dalam diri sesiapa sahaja, termasuk orang yang beriman. Ini membuktikan bahwa keyakinan atau keimanan sahaja tidak cukup untuk mencegahnya. Kufur nikmat bukanlah kekufuran akidah, tetapi ia tetap dianggap tindakan yang boleh mendatangkan akibat buruk. Contohnya, Allah swt mengurniakan kita kecerdasan akal dan tubuh badan yang sihat, tetapi kita menggunakan kelebihan itu untuk melakukan maksiat seperti menipu atau mengambil hak orang lain.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg