Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Titip kemesraan antara mentua dengan menantu

Oct 11, 2020 | 5:30 AM
JAGA HUBUNGAN KASIH SAYANG: Sebagaimana kita sayangi ibu bapa kandung, begitu jugalah kita perlu sayang menyayangi antara mentua dengan menantu. - Foto ISTOCKPHOTO
JAGA HUBUNGAN KASIH SAYANG: Sebagaimana kita sayangi ibu bapa kandung, begitu jugalah kita perlu sayang menyayangi antara mentua dengan menantu. - Foto ISTOCKPHOTO -

ISLAM menganjurkan agar umatnya menjaga hubungan istimewa antara mentua dan menantu, sama seperti menjaga ahli keluarganya sendiri.

Namun begitu, banyak kes yang melibatkan ketegangan antara hubungan seorang mentua dan menantu sehingga menghilangkan keberkatan dalam sesebuah perkahwinan yang tercipta.

ANGGAP SEPERTI KELUARGA SENDIRI

Dalam sesi Zoom Berita Minggu, Ustaz Pasuni Maulan sempat menyampaikan panduan menjaga hubungan antara mentua dan menantu.

Katanya lebih lanjut: "Hubungan antara mentua dan menantu ialah satu hubungan yang perlu dikekalkan.

Bukan setakat waktu bertunang sahaja hendak berbaik, tetapi selepas pernikahan juga hendaklah diperkukuhkan lagi.

"Setiap pasangan perlu menganggap ibu dan bapa mentua itu seperti ibu bapa mereka kandung masing-masing.

"Mereka juga perlu menjadikan keluarga mentua seperti sebahagian daripada keluarga sendiri.

"Bagi mentua pula, mereka harus menganggap menantu itu sebagai anak mereka sendiri.

Dengan peranan tersebut, ia akan menjalin hubungan dua hala yang mesra."

HORMATI MENTUA

Menurut Ustaz Pasuni lagi, terdapat tiga golongan yang harus dilayan seperti ibu bapa sendiri.

Pertama, ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita.

Kedua, ibu bapa yang melahirkan pasangan kita.

Ketiga ialah guru-guru yang mengajar dan memimpin kita.

"Jadi, penghormatan kepada mereka adalah sesuatu yang diperlukan. Justeru, adab dan tatasusila harus diketengahkan dalam kehidupan berkeluarga.

"Tujuan pernikahan juga adalah untuk meramaikan jumlah keluarga. Sebahagian daripada masyarakat hari ini dapat mempratikkan tujuan tersebut.

"Namun, terdapat sebilangan besar yang sukar untuk mengamalkannya sehingga mereka merasakan bahawa mentua itu tidak penting.

"Apabila wujudnya perasaan sedemikian, tentulah pihak yang sebelah lagi akan terasa hati. Akhirnya, ia turut menyebabkan hubungan suami dan isteri tergugat.

"Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menghormati mentua dan keluarga mentua," jelas Ustaz.

HUBUNGAN RASULULLAH DENGAN MENANTU

Ustaz Pasuni Maulan turut menceritakan hubungan antara Rasulullah saw dan menantunya, Sayidina Ali.

Jelas ustaz pada suatu masa, Rasulullah saw pernah menziarahi rumah menantunya, Sayidina Ali.

Namun, beliau tiada di rumah. Kemudian, anak Rasulullah saw, Sayidatina Fatimah Az- Zahra, memberitahu bahawa Sayidina Ali tiada di rumah kerana berlaku suatu pertelingkahan antara beliau dengan suaminya.

"Rasulullah saw tidak memberikan komen yang banyak. Lalu, baginda segera keluar mencari dan terjumpa menantunya di sebuah masjid. Tanpa banyak bicara, Rasulullah saw menasihati Sayidina Ali supaya pulang ke rumah. Jadi, inilah sikap bapa mentua yang boleh dicontohi.

"Maksudnya, seorang bapa mengambil tindakan yang diperlukan, apabila berlaku ketegangan dalam hubungan anak dan menantu.

"Sekiranya anak-anak telah mendirikan rumah tangga, maka ibu bapa perlu menjadi penasihat. Jangan pula menjadi mentua yang 'mulut koyak,' dan melebih-lebih," pesan Ustaz Pasuni secara santai.

RASULULLAH MENASIHATI PUTERI BAGINDA

Dalam sebuah hadis, puteri Rasulullah saw, Sayidatina Fatimah pernah mengadu keletihan kepada suaminya, Sayidina Ali kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilaksanakan.

Kemudian, Sayidatina Fatimah menemui ayahandanya, baginda Rasulullah saw untuk meminta seorang pembantu bagi meringankan beban dan tugasnya di rumah.

Lantas, baginda bersabda:

"Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akhbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu." (HR Bukhari)

"Di sebalik kalimah-kalimah yang diajarkan itu, terdapat konsep konsentrasi hidup sebagai seorang Mukmin. Oleh itu, seseorang itu akan berasa tenang, walaupun berada dalam keadaan yang mencabar.

"Baginda tahu bahawa Sayidina Ali bukanlah orang yang kaya. Maka, itulah nasihat Rasulullah kepada Fatimah Az-Zahra untuk membaiki ketegangan yang terjadi," sebut Ustaz Pasuni.

JALIN KEMESRAAN ANTARA MENANTU DENGAN MENTUA

Ustaz Pasuni berpesan:

"Sekiranya mampu, bawalah ibu dan bapa mentua berjalan-jalan atau belanja makan. Jika tiada kemampuan, pergilah melawat ke rumah mentua dengan membawa buah tangan dan sebagainya.

"Hendaklah sentiasa ziarah-menziarahi antara satu dengan lain kerana perbuatan-perbuatan seperti ini akan mengukuhkan kemesraan antara menantu dengan mentua.

"Setelah seseorang itu sah menjadi mentua kita, kita tidak boleh meninggikan suara kerana mereka sama seperti ibu bapa kandung. Maka, adab dan percakapan perlu dijaga kerana komunikasi menjadi satu elemen yang penting.

"Apa yang lebih baik, kita jangan banyak mengadu kerana aduan tersebut akan menimbulkan banyak perkara negatif. Berusahalah untuk menjadi menantu dan mentua kesayangan.

"Jika sesebuah hubungan itu berlangsung dengan baik, ertinya seseorang itu berjaya membina persekitaran yang baik.

"Persekitaran yang baik pasti membantu untuk meneruskan kehidupan berkeluarga dengan sokongan ibu bapa dan mentua."

"Jadi, hubungan sempurna tersebut mesti terus terjalin. Jangan abaikan hubungan antara mentua dengan menantu kerana disitulah akan timbulnya keberkatan."

Sekiranya mampu, bawalah ibu dan bapa mentua berjalan-jalan atau belanja makan. Jika tiada kemampuan, pergilah melawat ke rumah mentua dengan membawa buah tangan dan sebagainya. Hendaklah sentiasa ziarah-menziarahi antara satu sama lain kerana perbuatan-perbuatan seperti ini akan mengukuhkan kemesraan antara menantu dan mentua. Setelah seseorang itu sah menjadi mentua kita, kita tidak boleh meninggikan suara kerana mereka sama seperti ibu bapa kandung. Maka, adab dan percakapan perlu dijaga kerana komunikasi menjadi satu elemen yang penting. Apa yang lebih baik, kita jangan banyak mengadu kerana aduan tersebut akan menimbulkan banyak perkara negatif. Berusahalah untuk menjadi menantu dan mentua kesayangan.'' - Ustaz Pasuni Maulan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg