Pepatah ada mengatakan 'kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah berkorban nyawa...' Ruangan HIDAYAH kali ini menampilkan bagaimana seorang anak boleh memuliakan dan berbakti kepada orang tua, terutama adab apabila berdepan dengan ibu serta kelebihan bagi mereka yang berbuat demikian di samping amaran balasan bagi anak-anak yang biadab dan menderhakai ibu bapa.
DEWASA ini, ramai mengambil ringan tingkah dan pertuturan tatkala berada di hadapan orang tua, lebih-lebih lagi insan yang bergelar ibu, emak, ummi, mama dan pelbagai gelaran manja lain.
Maklumlah, ibu sentiasa berada di rumah, lebih berlemah-lembut dan penyayang berbanding ayah, yang biasanya lebih tegas dan keluar bekerja.
Namun, Islam amat menikitikberatkan adab dan tertib umatnya ketika bersama orang tua.
"Berbakti kepada orang tua, terutama ibu, sangat besar pahalanya di sisi Allah.
"Islam menempatkan ibu dalam darjat kemuliaan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan seorang ayah. Begitulah yang disebutkan berulang kali dalam Al-Quran dan hadis.
"Ibu yang selalu lebih banyak ada untuk anaknya dan ibulah yang paling dekat dengan anaknya. Selalunya ibu berperanan sebagai pengurus rumah dan juga pencari nafkah; perlu membahagi waktu dan seluruh tenaga untuk melalukan semua tugasan di rumah dan pekerjaan.
"Sakit bersalin ibarat 20 tulang dipatahkan serentak. Allah mencipta kaum hawa yang lembut tapi mampu menahan sakit yang sangat hebat," jelas Ustazah Nurul Nafiah Suwanda, Mudirah, Alive di Masjid Mujahidin.
Arahan berbakti dan memuliakan orang tua ini, sambung beliau, dijelaskan Allah swt dalam surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kededua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kededua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."
Mengulas mengapa keutamaan diberikan kepada ibu, Ustazah Nurul Nafiah, yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang fikah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata:
"Seorang ibu mengalami tiga fasa kepayahan iaitu kehamilan, kemudian melahirkan dan menyusukan.
"Disebabkan itu, ibu berhak mendapatkan kebaikan tiga kali lebih besar dibandingkan ayah."
CARA MULIAKAN IBU BAPA
Tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa amat besar sehinggakan Allah swt menyebut dalam beberapa ayat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.
CARA YANG DIAJARKAN RASULULLAH
Abdullah ibnu Masu'd pernah bertanya kepada Rasulullah saw mengenai apakah amalan yang paling dicintai Allah swt?
Rasulullah saw, dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, menyatakan tiga perkara:
Malik Rabiah menceritakan, ketika para sahabat bersama Rasulullah saw, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya:
"Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka?
Rasulullah saw menjawab: "Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan kededuanya." (HR Abu Daud).
ANAK DERHAKA TIDAK AKAN CIUM BAU SYURGA "Sesungguhnya aroma syurga itu tercium dari jarak perjalanan seribu tahun, dan demi Allah tidak akan mendapatinya barang siapa yang derhaka kepada orang tuanya." (HR Thabrani)
PERINTAH BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kededua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kededua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman, ayat 14)
SEKILAS BIODATA
Ustazah Nurul Nafiah Suwanda ialah Mudirah Alive Masjid Mujahidin. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang fikah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg