WUJUDKAN KETENANGAN di tempat kerja
Elak pembulian dan gangguan seksual
Kes buli sering kali disebut dalam konteks persekolahan, namun pada masa kini terdapat banyak kes buli yang berlaku di tempat kerja.
Justeru tempat kerja yang toksik memberi kesan yang negatif, serta mengganggu kehidupan peribadi seseorang.
Maka tulisan ringkas ini ingin meningkatkan kesedaran berkenaan isu ini, serta beberapa pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat-ayat Al Quran dan hadis Nabi saw.
Pembulian di tempat kerja
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), gangguan dan pembulian di tempat kerja terjadi apabila seseorang menunjukkan tingkah laku yang mengakibatkan gangguan atau tekanan kepada orang lain.
Ini termasuk penggunaan kata-kata kesat terhadap pekerja lain, seperti memaki hamun dan ucapan berbentuk diskriminasi.
Pembulian di tempat kerja juga berlaku apabila majikan mengambil kesempatan dengan membebankan pekerja dengan tugas tambahan yang tidak wajar, memaksa mereka bekerja melebihi waktu yang ditetapkan, serta menggunakan ancaman pemecatan untuk memanipulasi pekerja agar mematuhi arahan mereka.
Sudah tentu kelakuan seperti ini dicegah oleh agama, lebih-lebih lagi jika anda seorang majikan Muslim yang membawa imej agama melalui perilaku anda, khususnya dalam cara melayani pekerja di bawah tanggungan anda.
Baginda saw pernah menasihati sesiapa yang memiliki hamba yang bekerja untuk mereka dalam sebuah hadis yang berbunyi:
“Bagi seorang hamba, makanan dan pakaiannya adalah haknya dan dia tidak boleh dibebani kecuali dengan apa yang mampu dilakukannya. Maka jika kalian membebani mereka, bantulah mereka dan janganlah – wahai hamba-hamba Allah – menyeksa makhluk yang serupa dengan kalian.” (HR Bukhari).
Makna hadis ini ditujukan kepada setiap majikan dan ketua, agar mereka mempunyai sifat kemanusiaan.
Jika seorang hamba pun dilarang oleh agama daripada dibebani dengan perkara yang tidak mampu dan melebihi apa yang dijanjikan, apatah lagi pekerja di bawah tanggungan anda.
Pada masa kini, kita melihat ramai pekerja yang diperlakukan lebih teruk daripada seorang hamba, terpaksa mematuhi setiap arahan majikan tanpa sebarang belas kasihan.
Begitu juga ada majikan yang menahan dan menunda gaji pekerjanya dengan alasan supaya mereka dapat melakukan kerja yang lebih tanpa dibayar.
Baginda saw memberi ancaman yang berat buat golongan seperti ini di dalam hadis Qudsi yang berbunyi:
“Allah berkata: ‘Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat: (di antaranya).... seorang lelaki yang mengupah pekerja lalu mengambil manfaat penuh daripadanya tetapi tidak memberikan upahnya.’’ (HR Bukhari).
Ingatlah, pekerja anda bukanlah mesin yang boleh menghasilkan kerja tanpa henti. Mereka juga manusia yang mempunyai kehidupan sendiri dan keperluan peribadi.
Begitu juga sebagai teman kerja, tidak wajar bagi anda menganggap seseorang sebagai alat untuk mencapai satu tujuan, terutama bagi mereka yang sanggup menyakiti orang lain semata-mata untuk mendapatkan pangkat lebih tinggi.
Gangguan seksual di tempat kerja
Antara bentuk buli yang paling ketara di tempat kerja adalah apabila rakan sekerja atau majikan sendiri melakukan gangguan seksual terhadap mangsa.
Mangsa sering diancam dengan pemecatan jika mereka tidak memenuhi kehendak pelaku.
Pekerja mungkin tertekan akibat gangguan tersebut, atau lebih buruk lagi, menjadi mangsa pencabulan.
Ada juga rakan sekerja yang cenderung menyebarkan gambar-gambar mangsa yang bersifat tidak senonoh dalam kumpulan WhatsApp untuk hiburan, jelas melanggar privasi mangsa.
Mangsa perempuan sering kali menjadi sasaran jenaka seksual oleh rakan lelaki, yang boleh menjejaskan kesihatan mental.
Ini bukanlah fenomena baru.
Allah swt telah merakamkan kes yang sama dalam Al-Quran sebagai peringatan kepada setiap manusia agar menghindari perbuatan sedemikian.
Dalam Surah Yusuf, Allah swt menceritakan bagaimana Nabi Yusuf as, yang bekerja sebagai pembantu rumah dan hamba, telah digoda oleh isteri tuannya untuk melakukan hubungan terlarang dengannya. Firman Allah swt yang berbunyi:
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: ‘Marilah ke mari, aku bersedia untukmu.’ Yusuf menjawab: ‘Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu ); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.” (Surah Yusuf, ayat 23).
Kisah ini turut menunjukkan bahawa mangsa gangguan bukan hanya terdiri daripada wanita.
Terdapat juga kes di mana lelaki menjadi mangsa gangguan seksual dan pembulian di tempat kerja.
Jika anda diganggu oleh rakan sekerja, jangan berdiam diri dan segera laporkan kepada pihak pengurus.
Jika anda mendapati pihak pengurusan tidak mengambil tindakan, teruskan laporan kepada pihak polis.
Seperti yang dilakukan oleh Nabi Yusuf as, mohonlah perlindungan dan bantuan daripada Allah swt, serta jauhkan sejauh mungkin daripada pelaku.
Pastikan juga anda tidak bersendirian dan dikelilingi teman-teman yang dapat memberi sokongan.
Ingat bahawa menjaga maruah dan kesihatan mental jauh lebih penting daripada terus bertahan di tempat kerja yang berbahaya.
Bersabar dalam mencari pekerjaan baru adalah lebih baik untuk jangka panjang berbanding menderita di tempat kerja semasa hanya demi pendapatan dan menjaga pangkat yang boleh dicari penggantinya.
Ketahui hak sebagai pekerja
Salah satu cara terbaik untuk mengelak daripada menjadi mangsa buli adalah dengan mengenal pasti hak anda sebagai pekerja dan memahami tindakan yang perlu diambil jika berlaku gangguan.
Langkah ini membantu mengenal pasti bila pembulian itu berlaku, terutamanya jika anda diberikan tugasan di luar kemampuan dan dipaksa melaksanakannya.
Ia juga penting agar anda mengetahui saluran yang betul untuk meluahkan masalah, serta mencari penyelesaian daripada hanya menderita dalam diam.
MOM turut menyediakan beberapa talian bantuan yang boleh dihubungi sekiranya anda memerlukan sokongan.
Satu langkah penting untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat adalah dengan membela rakan sekerja anda jika mereka menjadi mangsa buli.
Walaupun anda bukan sasaran gangguan, itu tidak bermakna anda harus berdiam diri.
Sikap ini bukan sahaja menyokong mangsa malah menyampaikan mesej yang jelas bahawa pembulian tidak diterima di tempat kerja. Baginda saw bersabda:
“Bantulah saudaramu, sama ada dia melakukan kezaliman atau dizalimi.” Seorang lelaki bertanya, ‘Wahai Rasulullah, aku akan membantunya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana aku membantu jika dia melakukan kezaliman?’ Baginda bersabda, ‘Halanglah dia – atau cegahlah dia – daripada melakukan kezaliman; itulah bentuk bantuan kepadanya.’ (HR Muslim).
Ingatlah para majikan dan teman kerja, setiap kezaliman yang anda lakukan dan anggap remeh, akan dipersoalkan dan dihukum oleh Allah swt.
Baginda saw telah memberikan amaran yang sangat keras:
“Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya, sama ada terhadap kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia memohon maaf daripadanya hari ini, sebelum tiba hari di mana tiada lagi dinar dan dirham (Hari Akhirat).” (HR Ibn Hibban).
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

