Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zulhijah punya kelebihan bagai ‘pesta amal soleh’

Jun 16, 2023 | 5:30 AM
Ustaz Bahrul-Ulum
Ustaz Bahrul-Ulum - Foto Ustaz Bahrul-Ulum

USTAZ MOHAMMAD BAHRUL-ULUM BIN BUANG

Di Singapura, 1 Zulhijah 1444H bakal disambut pada Selasa, 20 Jun 2023.

Alhamdulillah, sebanyak 900 kuota rasmi telah diperuntukkan bagi bakal haji tahun ini. Sudah tentu rukun Islam kelima ini merupakan detik yang sangat dinantikan oleh jemaah yang bakal berangkat pergi dan dirindukan oleh mereka yang telah menjejakkan kaki ke sana.

Namun, bagi yang berada di tanah air, peluang yang cukup besar untuk meningkatkan amalan dan ibadah pada bulan ini masih terbentang luas.

Ia tidak terhad hanya pada mereka yang berada di Tanah Haram kerana Allah yang Maha Penyayang tetap menyebarkan kemuliaan Zulhijah buat seluruh umat Islam, bagi yang bersungguh-sungguh mencari reda-Nya.

MAKSUD ZULHIJAH

Zulhijah bermaksud ‘yang memiliki haji’. Ia adalah kerana ibadah haji hanya ditunaikan pada bulan tersebut.

Menariknya, jika Ramadan dikenali dengan kelebihan 10 malam terakhir, Zulhijah pula lebih menonjol dengan kelebihan pada 10 hari terawal.

Ia selari dengan firman Allah swt bermaksud: “Demi waktu fajar. Dan malam yang 10 (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Al-Fajr, 89: 1-2).

Menurut Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan Ibnu Kathir, ‘malam yang 10’ merujuk kepada 10 malam pertama dalam Zulhijah.

KEISTIMEWAAN ZULHIJAH

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 10 hari awal Zulhijah dianggap istimewa kerana terhimpun beberapa ibadah utama dan besar nilainya iaitu solat, puasa, sedekah dan haji.

Ia berbeza dengan bulan lain kerana tidak semua ibadah dapat dilaksanakan serentak sebegitu.

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyah menjelaskan bahawa kelebihan 10 hari awal Zulhijah dilihat pada hari siangnya. Padanya terdapat hari al-Tarwiyah (8 Zulhijah), hari Arafah (9 Zulhijah) dan hari al-Nahr iaitu korban (10-13 Zulhijjah).

PESTA AMAL SOLEH

Anjuran beramal dalam tempoh masa ini bukan bermakna tidak perlu melaksanakan ibadah pada masa lain.

Peluang ini sebenarnya merupakan titik permulaan proses mendidik diri melakukan pelbagai amal soleh secara konsisten pada masa akan datang.

Banyak amalan yang boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan takwa kepada Allah swt. Antara ibadah khusus yang boleh dilaksanakan ialah:

– Berpuasa pada 1-9 Zulhijah, khususnya pada hari Arafah (bagi mereka yang tidak menunaikan haji)

– Beribadah di malam hari (qiamullail)

– Memperbanyak bacaan Al-Quran

– Melazimi solat sunat

– Berzikir, takbir, tahlil dan tahmid

– Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa

Selain itu, terdapat ibadah umum yang sangat dianjurkan, seperti:

– Melakukan ibadah korban

– Berbuat baik pada ibu bapa

– Menghubungkan silaturahim sesama manusia

– Membantu golongan yang memerlukan

– Bertutur perkara-perkara yang baik

TEMPOH TERHAD, GANJARAN HEBAT

Sudah tentu 10 hari awal Zulhijah merupakan satu tempoh singkat yang wajar dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam dalam pelbagai bentuk dan cara.

Allah swt turut merahmati waktu tersebut dengan menyediakan ganjaran yang besar kepada sesiapa sahaja yang melakukan amalan kebaikan.

Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang amal soleh dilakukan lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (di awal Zulhijah)”. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah?” Baginda saw berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (HR Bukhari).

KUMPUL PAHALA, RAIH RAHMAT

Semoga 10 hari ini dapat benar-benar diraikan sebagai pesta amalan soleh sepenuh daya. Rebut tawaran ini, lakukan ibadah terbaik, kumpulkan pahala sebanyaknya.

Mudah-mudahan, kehadiran Zulhijah dapat mengubah kita menjadi lebih cakna terhadap ibadah berbanding sebelum ini.

Semoga kasih dan rahmat Allah swt juga terus melimpah buat kita melalui ibadah yang dilaksanakan dengan penuh rasa kehambaan, pengharapan dan keikhlasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg